Jumlah Pinjaman KWSP FSA2 Cecah Hampir RM1 Bilion

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) — Sejumlah RM981.9 juta telah diluluskan bagi Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat 11 Jun lepas, menurut Kementerian Kewangan. 

Katanya daripada jumlah tersebut, sebanyak RM878.6 juta di bawah MBSB Bank Bhd dan baki, RM103.3 juta dengan Bank Simpanan Nasional (BSN).

FSA2 telah dipohon oleh 168,925 orang, namun yang layak hanya 88,414 orang. Daripada jumlah ini, seramai 47,696 orang bersetuju untuk menerima tawaran pembiayaan tersebut, katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara hari ini.

Ia menjawab pertanyaan lisan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff yang ingin tahu jumlah pencarum yang telah memohon dan mendapat kelulusan pinjaman menggunakan KWSP sebagai cagaran sehingga Mei 2023.

Permohonan yang tidak layak adalah disebabkan pemohon tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan seperti permohonan tidak lengkap, di luar umur kelayakan dan baki simpanan Akaun 2 tidak mencukupi.

Permohonan program FSA2 Fasa 1 dibuka sejak 7 April lalu.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

TH, Kementerian Kewangan Akan Mula Perbincangan Berkaitan Pengambilan Semula Asetnya

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) akan memulakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan berkaitan pengambilan semula asetnya yang dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd. 

Menurut TH dalam kenyataan hari ini, pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan pemindahan semula aset-aset TH yang dipindahkan kepada Kementerian Kewangan pada 2018.

“TH sentiasa terbuka kepada semua peluang pelaburan yang boleh memberi nilai tambah kepada institusi dan juga pendeposit khususnya.

“Usaha ini juga akan dikaji secara terperinci dan akan melalui proses dan tatakelola sedia ada. TH akan membuat pengumuman seterusnya berkenaan perkara ini pada masa yang sesuai,” menurut institusi pengurusan haji negara.

Urusharta Jamaah ialah sebuah syarikat tujuan khas (SPV) dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan memulakan perbincangan bagi menyerahkan semula sebahagian aset TH setelah meneliti laporan awal serta melihat TH kembali diurus dengan baik, peningkatan keyakinan pendeposit serta pengurusan cekap dan berintegriti oleh kepimpinan baharu TH.

— BERNAMA