UMW Toyota Motor Perkenal Innova Zenix Serba Baharu

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) — UMW Toyota Motor memperkenalkan Toyota Innova Zenix Kenderaan Elektrik Hibrid (HEV) dan varian Enjin Pembakaran Dalaman (ICE) serba baharu, sekali gus menandakan satu kejayaan penting dalam komitmen syarikat terhadap neutral karbon melalui pelancaran secara maya.

Varian HEV berharga RM202,000 seunit manakala model ICE berharga RM165,000 seunit, bagi pendaftaran persendirian di Semenanjung Malaysia, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Dibina dengan platform termaju Toyota New Global Architecture (TNGA), Zenix serba baharu dilengkapkan dengan Toyota Safety Sense 3.0 (TSS3.0) yang menjadi penanda aras industri baharu untuk teknologi keselamatan termaju.

“UMW Toyota Motor percaya Toyota Innova Zenix serba baharu akan memuaskan hati malah melebihi jangkaan pelanggan yang paling cerewet.

“Dengan rangkaian kuasa elektrik hibrid, Zenix serba baharu menampilkan perbezaan dan meningkatkan tahap daripada aspek kuasa, prestasi dan inovasi yang menawarkan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan sepanjang masa,” kata Presiden UMW Toyota Motor Datuk Ravindran K.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tempahan EV smart #1 Kini Dibuka Secara Rasmi

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) — Proton Holdings Bhd dan smart Malaysia menandatangani memorandum perjanjian (MoA) yang dipertingkatkan di Nanning, China hari ini dan sehubungan itu akan menerima tempahan untuk kenderaan elektrik (EV), smart #1.

Smart Malaysia ialah rakan kongsi strategik serantau bagi jenama smart, satu jenama teknologi dan automobil premium berkuasa elektrik sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zhang Qiang berkata syarikat itu berbangga berada di Asean, dengan smart Automobile bakal membuat penghantaran pertamanya bagi smart #1 di Malaysia.

“Pencapaian ini bermakna smart Malaysia kini bersedia untuk bermula dengan penghantaran kenderaan kepada pelanggan pada suku keempat 2023 dengan sembilan pengedar kami yang sudah bersiap sedia untuk menyambut mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pembeli kini boleh menempah smart #1 melalui aplikasi Hello smart dengan bayaran tempahan RM1,000 yang boleh dikembalikan semula.

Barisan model smart #1 yang akan dijual di Malaysia terdiri daripada model Pro, Premium dan BRABUS yang telah disesuaikan khusus untuk pasaran Malaysia.

Varian Pro dan Premium mempunyai reka bentuk yang bergaya dan menawarkan pengalaman pemanduan yang mengujakan sebagai kenderaan elektrik pintar.

Bagi model smart #1 BRABUS pula, ia adalah kereta super berprestasi tinggi yang menampilkan reka bentuk luaran menarik dan dalaman yang terang serta prestasi yang dipertingkatkan bagi melancarkan nadi elektrik jentera itu.

Harga di atas jalan tanpa insurans untuk smart #1 Pro, Premium dan BRABUS ialah di antara RM200,000 hingga RM250,000 seunit.

Bagi 501 pelanggan pertama yang membuat tempahan akan menerima pakej #1 ‘Early Bird’ berharga RM1,001 dalam bentuk kredit pengecasan melalui aplikasi Hello smart.

— BERNAMA