Terbitan Sulung Sukuk Wakalah UDA Catat Langganan Lebih RM500 Juta

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) — UDA Holdings Bhd telah menamatkan proses tawaran persendirian bagi penerbitan pertama Program Sukuk Wakalah dan berjaya mencatatkan langganan bernilai RM525 juta yang sepenuhnya oleh pelabur tempatan.

Terbitan ini adalah dalam bentuk Kertas Kerja Komersial Islam (ICP) dan Nota Kewangan Jangka Sederhana Islam (IMTN).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata kejayaan menerbitkan Program Sukuk Wakalah melebihi RM500 juta ini membuktikan keyakinan pelabur atas keupayaan UDA terus kekal relevan dan melaksanakan peranannya dalam pembangunan ekonomi negara.

“Saya juga ingin menyarankan UDA untuk meneroka potensi pembangunan ruang niaga di Sabah bagi membolehkan lebih ramai usahawan kecil dan sederhana mendapat faedah daripada penerbitan sukuk tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata pada tahun ini nilai projek pelancaran baharu pembangunan UDA dianggarkan sebanyak RM1.3 bilion dan kesemua hartanah tersebut dibangunkan di kawasan strategik seluruh negara serta kawasan yang telah dikenal pasti akan meningkat nilai hartanahnya pada masa depan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd Salem Kailany berkata dana yang dikumpul akan digunakan untuk membayar semula pembiayaan sedia ada, membiayai projek pembangunan komersial, perumahan, perindustrian, pembangunan projek wakaf serta modal kerja.

Beliau berkata ia juga akan meletakkan UDA di landasan tepat untuk memastikan agenda pembangunan yang dirancang dapat dijalankan mengikut strategi yang telah ditetapkan.

“UDA yang kini mempunyai jumlah aset bernilai RM3.7 bilion turut memegang rizab tanah seluas 1,014 ekar (410.35 hektar) dengan taksiran harga pasaran RM2.6 bilion.

“Hasil daripada penerbitan sukuk ini dan juga perancangan strategik yang telah digariskan, UDA mampu untuk terus komited menjadi peneraju utama dalam sektor pembangunan hartanah negara,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Bagi tahun ini, antara lokasi pelancaran projek yang telah dikenal pasti ialah di Johor, Pulau Pinang, Kedah, Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Pahang dan Terengganu.

Beliau berkata inisiatif ini seiring dengan penjenamaan UDA iaitu ‘L.I.F.E.’ yang menekankan ciri-ciri legasi, integrasi, ketelitian dan memperkasa, seterusnya bergerak ke arah kelestarian.

Ia juga diharap dapat menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat bertepatan dengan nilai Malaysia Madani, katanya.

Penasihat utama tunggal untuk pelaksanaan program sukuk ini ialah RHB Investment Bank Bhd.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Kembali Ke Fasa Pengukuhan

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO ini menurun MYR9 semasa sesi dagangan lalu untuk ditutup pada harga MYR4,597. Pada hari Jumaat, komoditi ini memulakan dagangan pada paras MYR4,604. Pada awalnya, ia jatuh ke paras terendah sesi tersebut pada MYR4,575. Ia kemudiannya melantun ke paras tertinggi sesi tersebut pada MYR4,608 dan menutup dagangan pada MYR4,597. Di samping pergerakan RSI ke bawah, penutupan dagangan terkini yang menurun menunjukkan momentum menurun kembali menguat.

Komoditi ini mungkin akan melanjutkan fasa koreksi harga dan menguji paras sokongan semula pada MYR4,390. Sementara itu, garisan SMA 50 hari masih bergerak ke paras lebih rendah, lantas mengukuhkan keadaan pasaran menurun. Sekiranya komoditi ini mencatat pergerakan menaik, paras MYR4,700 akan menahan harga daripada menembusi paras berkenaan. Selagi FCPO terus berada di bawah paras ambang MYR4,700, kami tetap akan berpegang pada bias dagangan negatif.

Para pedagang disarankan untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei (MYR4,481). Untuk menangani risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama kini berada pada MYR4,390 dan diikuti oleh paras sokongan lebih rendah pada MYR4,250. Paras rintangan pertama pula ialah MYR4,700 yang diikuti oleh paras MYR4,900.