Kerjasama Tenaga Di Laos: TNB Dijangka Catat Pulangan RM2.3 Bilion Mulai 2025

VIENTIANE, 27 Jun (Bernama) — Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Electricite du Lao (EDL) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menerokai potensi tenaga boleh baharu hidro di Laos yang dijangka memberikan pulangan RM460 juta hingga RM2.3 bilion setahun kepada TNB mulai 2025.

Langkah itu juga berpotensi meningkatkan perdagangan elektrik rentas sempadan Asean dan membantu Laos menjadi ‘The Battery of Asia’.

MoU yang ditandatangani pada Selasa sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga bertujuan meningkatkan eksport elektrik Laos ke Malaysia melalui kerjasama tiga hala Malaysia-Thailand-Laos.

Selain MoU antara TNB dan EDL, Anwar, yang juga Menteri Kewangan turut menyaksikan pemeteraian dua Memorandum Kerjasama (MoC).

MoC itu melibatkan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan Lao National Railway State Enterprise (LNRSE) dalam bidang pengangkutan kereta api serta Mutiara Perlis Sdn Bhd (MPSB) dan Thanaleng Dry Port (TDP) dalam bidang pelabuhan darat. 

Kerjasama KTMB Pertingkat Kargo ke Laos Sebanyak 40 Peratus

Kerjasama antara KTMB dan LNRSE dalam bidang pengangkutan kereta api itu termasuk pemindahan teknologi serta pembinaan kapasiti LNRSE selain mewujudkan platform tiket tunggal yang akan memudah cara perjalanan penumpang dan kargo dari Malaysia ke Laos.

Hasil kerjasama ini, kargo dari Malaysia ke Laos dianggarkan akan meningkat sebanyak 40 peratus atau 1.2 juta tan pada tahun pertama selain berpotensi mencapai tahap maksimum 2.4 juta tan setahun dan pendapatan sebanyak RM120 juta setahun.

Rangkaian kereta api ini pula akan disokong oleh Pelabuhan Darat Perlis (PIP) menerusi kerjasama  Mutiara Perlis dan Thanaleng Dry Port (TDP) yang akan memudahkan pergerakan kargo di sempadan melalui Pengaturan Pelabuhan ke Pelabuhan.

Operasi Bersama PIP dan TDP berupaya memudah cara 20 juta tan kargo dan berpotensi memberikan pulangan kepada Malaysia sebanyak RM2.3 bilion setahun di samping menyediakan 520 peluang pekerjaan langsung dan 3,400 peluang pekerjaan dalam perkhidmatan lain yang berkaitan.

Pada majlis itu, MPSB diwakili Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Wan Ahmad Zaheed Wan Mohamad manakala TDP diwakili Pengarah Urusan, Sakhone Philangam.

Lain-lain wakil syarikat ialah CEO Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin; Pengarah Urusan LNRE, Daochinda Siharath; Presiden dan CEO TNB Datuk Baharin Din; serta Pengarah Urusan EDL, Chanthaboun Soukaloun.

Majlis itu berlangsung di Pejabat Perdana Menteri Laos di sini dengan disaksikan Anwar dan Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone.

Anwar kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari di Laos mulai semalam, dan merupakan lawatan rasmi pertama beliau ke negara anggota ASEAN itu sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 Nov, 2022.

Dagangan dua hala Malaysia dan Laos melonjak sebanyak 425 peratus pada 2022 dengan nilai dagangan mencecah US$255.6 juta (RM1.19 bilion).

Malaysia kekal sebagai pelabur keempat terbesar di Laos dengan jumlah pelaburan sebanyak US$794 juta (RM3.71 bilion).

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.