Hab logistik antarabangsa Shah Alam dijangka tawar 5,000 peluang pekerjaan – Amirudin

SHAH ALAM, 17 Julai (Bernama) — Projek pembangunan Hab Logistik Antarabangsa Shah Alam (SAILH) di Seksyen 16, di sini dengan nilai pelaburan kira-kira RM2 bilion dijangka mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan baharu menjelang 2028, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata hab logistik itu dimiliki sepenuhnya oleh Global Vision Logistics Sdn Bhd (GVL) yang akan dibina di atas tapak seluas 28.73 hektar, dengan fasa pertamanya dijangka siap pada 2025. 

“Saya melihat pembangunan hab ini sebagai satu cara untuk menambah lagi peluang pekerjaan untuk masyarakat Selangor khususnya dan untuk fasa pertama, 3,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran SAILH di sini hari ini.

Fasa pertama SAILH merangkumi kompleks gudang setinggi empat tingkat, kemudahan tempat letak kereta empat tingkat dan pejabat satu tingkat di samping bangunan tambahan termasuk kerja-kerja pengujian dan pentauliahan.

Bernama sebelum ini melaporkan IJM Construction Sdn Bhd telah memenangi kontrak daripada GVL bernilai RM653.6 juta untuk membangunkan fasa pertama SAILH, yang merupakan hab logistik bertauliah hijau pertama di negara ini dan antara yang terbesar di rantau Asean. 

Amirudin dalam pada itu berkata sektor perkhidmatan di negeri itu dilihat semakin menarik dan dijangka terus berkembang dalam tempoh empat atau lima tahun lagi.

“Sektor perkhidmatan menyumbang kepada 60 peratus kepada pembangunan ekonomi Selangor dan pertumbuhannya meningkat 13 peratus, berpadanan dengan trend global.

“Selangor juga sedang menuju dan hampir menyaingi Singapura dari segi pecahan atau pun beralih dari (sektor) pembuatan kepada perkhidmatan,” katanya. 

Sementara itu, mengulas laporan media berkenaan projek perumahan Rumah Selangorku yang terbengkalai di Morib, Kuala Langat, beliau berkata projek itu telah dirujuk kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk tindakan selanjutnya. 

“Projek perumahan terbengkalai ini merupakan salah satu isu yang perlu diselesaikan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Itu memang sedang diteliti oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dan kita sedang mengambil beberapa tindakan yang agresif.

“Kita tak banyak projek sebegitu, (projek perumahan) Morib adalah salah satu yang besar. Jadi saya akan minta pihak KPKT terutamanya memasukkan projek itu sebagai yang boleh diselesaikan,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

microLEAP, CASB Dan HDC Lancar Inisiatif Nasional Bantu PMKS Akses Pembiayaan Bagi Kontrak Kerajaan

KUALA LUMPUR – Jun 30, 2026 – Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta kontraktor kecil yang terlibat dalam perolehan kerajaan menerusi sistem ePerolehan bakal mendapat manfaat daripada akses yang lebih luas kepada pembiayaan, latihan dan sokongan perniagaan menerusi kerjasama strategik antara microLEAP PLT (microLEAP), Commerce Access Sdn Bhd (CASB) dan Halal Development Corporation Berhad (HDC).

Inisiatif ini bertujuan meningkatkan tahap kesediaan PMKS untuk mendapatkan pembiayaan serta memperluas kesedaran mengenai kemudahan pembiayaan yang ditawarkan di bawah Program SARANA, iaitu skim pembiayaan yang ditawarkan melalui pengendali platform pembiayaan antara rakan setara (P2P) yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Kontrak kerajaan menawarkan peluang pertumbuhan yang besar kepada PMKS. Namun, banyak perniagaan berdepan cabaran modal kerja ketika melaksanakan projek, termasuk keperluan pembelian bahan, kos operasi dan perbelanjaan pelaksanaan sebelum pembayaran diterima daripada agensi kerajaan.

Bagi menangani cabaran tersebut, kerjasama ini menggabungkan penyelesaian pembiayaan, program pembangunan kapasiti dan sokongan ekosistem bagi membantu PMKS melaksanakan kontrak kerajaan dengan lebih berkesan setelah kontrak diperoleh.

Sebagai salah satu pengendali platform P2P yang mengambil bahagian dalam Program SARANA, microLEAP menyediakan kemudahan pembiayaan patuh Syariah kepada kontraktor dan pembekal kerajaan yang layak. Skim ini menawarkan pembiayaan invois bagi menyokong aliran tunai selepas penyerahan kerja atau bekalan, serta pembiayaan pelaksanaan kontrak bagi membantu perniagaan memenuhi keperluan modal kerja sebelum projek dimulakan.

Kerjasama ini akan menampilkan empat bengkel serantau meliputi Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak, dengan program sulung dijadualkan berlangsung di Ibu Pejabat Halal Development Corporation (HDC) pada 28 Julai 2026.

Bengkel-bengkel tersebut akan memberikan pendedahan mengenai proses perolehan kerajaan, kesediaan mendapatkan pembiayaan, pelaksanaan projek serta kemudahan pembiayaan yang tersedia kepada perniagaan yang terlibat dalam ekosistem ePerolehan.

Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar, berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh penyertaan PMKS dalam projek dan peluang perniagaan sektor awam.

“Ramai PMKS mempunyai keupayaan untuk melaksanakan projek kerajaan, namun berdepan cabaran mendapatkan modal kerja pada peringkat kritikal pelaksanaan projek. Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat merapatkan jurang tersebut dengan menggabungkan penyelesaian pembiayaan, bimbingan praktikal dan sokongan ekosistem bagi membantu lebih banyak perniagaan berkembang melalui kontrak kerajaan.

“Dengan menggabungkan akses kepada pembiayaan, perkongsian ilmu dan penglibatan industri, kami berharap lebih banyak PMKS dapat melaksanakan kontrak dengan lebih berkesan serta memperkukuh pertumbuhan perniagaan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Commerce Access Sdn Bhd, Puan Hajah Afidah Kamaruddin, berkata inisiatif berkenaan akan membantu meningkatkan tahap kesediaan PMKS untuk menyertai perolehan kerajaan.

“Commerce Access Sdn Bhd (CASB) ialah sebuah syarikat penyumberan luar proses perniagaan (Business Process Outsourcing) dan penyedia pengalaman pelanggan (Customer Experience) yang ber ibu pejabat di Petaling Jaya.  CASB menyediakan khidmat pusat panggilan (inbound dan outbound), pengalaman pelanggan (CX), latihan serta penyampaian perkhidmatan digital untuk membantu pelanggan kerajaan dan korporat meningkatkan khidmat  pengalaman pelanggan serta kecekapan operasi,” katanya.

Empat bengkel yang dirancang itu dijangka melibatkan ratusan PMKS di seluruh negara, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai kemudahan pembiayaan yang tersedia di bawah Program SARANA serta meningkatkan penyertaan PMKS dalam ekosistem perolehan kerajaan.