Malaysia Sasar Berada Di Kedudukan 30 Ekonomi Terbesar Dunia Menjelang 2033 – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) — Malaysia menyasar meningkatkan ekonominya menjadi antara 30 ekonomi terbesar di dunia dalam tempoh 10 tahun, naik ke tangga ke-30 daripada kedudukan ke-37 dalam data Bank Dunia pada 2022 dengan menumpukan kepada penyerantauan dan daya saing yang lebih besar dan meningkatkan rantaian nilai, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Beliau berkata tumpuan utama adalah untuk menstruktur semula ekonomi bagi menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia.

“Jika kita hanya berpuas hati dengan keadaan sekarang, ekonomi akan terus mencatat pertumbuhan antara 4 hingga 5 peratus.

“Namun, jika kita berusaha gigih dan melaksana pembaharuan, kita mampu mencapai 5.5 peratus, malah saya percaya adalah tidak mustahil untuk kita menghasilkan pertumbuhan 6 peratus,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasakan Rakyat di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu adalah jemaah menteri, agensi kerajaan, pakar ekonomi dan tokoh industri.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, negara perlu membentuk integrasi ekonomi yang lebih besar dengan negara jiran ketika dunia sedang berdepan dengan kekangan rantaian bekalan.

“Maka, kita perlu melahirkan lebih banyak syarikat tempatan yang berdaya saing tinggi untuk menembusi pasaran rantau Asean,” katanya.

Perdana Menteri berkata, usaha kerajaan perlu melangkaui perjanjian perdagangan bebas.

“Misalnya melalui diplomasi perdagangan dan pengaturan strategik yang boleh mengembangkan integrasi pasaran bilateral dan multilateral serta memudahkan pergerakan barang, modal, modal insan dan perkongsian teknologi dengan negara jiran,” katanya.

Selain meletakkan Malaysia sebagai antara 30 ekonomi terbesar dunia, Anwar berkata Ekonomi MADANI juga menetapkan enam penanda aras lain yang mahu dicapai dalam tempoh 10 tahun.

Ia termasuk Indeks Daya Saing Global berada di tangga ke-12 teratas dunia, peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan (sasaran RMKe-12 adalah 40 peratus menjelang 2025), kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60 peratus, Indeks Pembangunan Manusia berada di tangga 25 teratas dunia, Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia dan kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai 3 peratus atau lebih rendah.

Beliau berkata kerajaan akan memperkenalkan insentif cukai berasaskan pencapaian bagi mendukung dan memberi ganjaran kepada syarikat yang menumpukan aktiviti berdampak tinggi.

“Kita mesti melaksanakan pembaharuan supaya Malaysia dapat tergolong antara 12 ekonomi terbaik di dunia dari segi daya saing dan kemudahan menjalankan perniagaan.

“Kita perlu memperhebat usaha bagi memastikan lebih banyak lagi memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan,” katanya sambil mengiktiraf komitmen pelaburan antaranya oleh Sumitomo Corporation, Tesla, Geely, Rongsheng dan Samsung Engineering.

Dalam usaha merangsang ekonomi tempatan, Anwar berkata syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu terus memacu pelaburan langsung domestik,  dan menyokong pembangunan vendor tempatan dalam sektor strategik seperti elektrik dan elektronik, ekonomi digital dan aeroangkasa.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan bersama-sama dengan GLIC akan melabur  dana tambahan sebanyak RM1 bilion secara padanan dengan dana swasta bagi menyokong syarikat pemula tempatan dan mendorong usahawan teknologi.

Geran padanan digitalisasi akan ditambah sebanyak RM100 juta bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana menyegerakan peralihan model perniagaan kepada lebih digital, katanya. 

Menurutnya kerajaan akan turut menambah peruntukan RM400 juta untuk pinjaman mikro di bawah agensi termasuk SME Corporation, Tekun, Mara dan Teraju bagi mendukung peluang keusahawanan.

Perdana Menteri berkata keutamaan kerajaan dalam tempoh terdekat adalah untuk membina semula kapasiti fiskal negara, sambil menyatakan peratusan hasil cukai ketimbang (berbanding) Keluaran Dalam Negara Kasar telah menurun kepada 12 peratus — paling rendah dalam kalangan negara-negara serantau.

“Walaupun pembaharuan fiskal diperlukan, kerajaan ini menjamin tidak akan sekali-kali mengabaikan nasib rakyat dalam menghadapi cabaran kos sara hidup dan akan terus menyediakan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Sebanyak 10 Syarikat Pemula Niaga Cip Tempatan Dipilih Sertai Kohort Pertama Semiconstart Malaysia

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) — Sebanyak 10 syarikat pemula niaga semikonduktor Malaysia dipilih untuk program inkubasi semikonduktor kebangsaan yang julung kali diadakan, Semicon Start Malaysia, yang bertujuan membantu mengkomersialkan teknologi buatan tempatan dan membangunkan syarikat teknologi.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MIDC) Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata program selama setahun itu akan menyediakan syarikat-syarikat berkenaan untuk beralih daripada syarikat pemula niaga kepada firma peringkat pertengahan yang mampu bersaing di peringkat global.

“Dalam jangka masa pendek, kami akan menyediakan 10 syarikat ini untuk benar-benar mendepani segala cabaran bagi beralih daripada sebuah syarikat pemula niaga kepada syarikat peringkat pertengahan. Ia amat mencabar.

“Tawaran awam permulaan (IPO) masih terlalu awal pada pandangan saya, tetapi ia merupakan objektif utama; itulah yang kami mahukan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Semicon Start Malaysia di sini hari ini.

Semicon Start Malaysia ialah program inkubasi semikonduktor peringkat kebangsaan yang direka untuk menyokong pertumbuhan syarikat semikonduktor berpotensi tinggi dari Malaysia dan yang berpangkalan di Malaysia dalam segmen bernilai lebih tinggi bagi rantaian nilai semikonduktor global.

Semicon Start Malaysia, yang diterajui oleh MIDC dengan kerjasama Silicon Catalyst UK, ialah program pertama di negara ini untuk membantu syarikat pemula niaga semikonduktor membangunkan perniagaan mereka. Program ini membantu mereka menghadapi cabaran industri seperti kos prototaip yang tinggi.

Abdul Rahman berkata program itu bertujuan menyediakan syarikat semikonduktor Malaysia untuk menjadi pemain global, sambil menambah kohort pertama itu hanyalah sebagai permulaan dan lebih banyak syarikat dijangka menyertai kohort berikutnya pada masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan M’IDC Mohammad Hazani Hassan berkata program itu memberi tumpuan kepada usaha membina syarikat produk Malaysia dengan menyokong syarikat pemula niaga daripada peringkat awal pembangunan teknologi sehinggalah ke fasa pengkomersialan.

Beliau berkata sebahagian besar syarikat yang mengambil bahagian kini berada pada tahap kesediaan teknologi (IRL) 4 hingga 6 dan program berkenaan bertujuan untuk membantu mereka meningkat ke sekurang-kurangnya TRL 8 sebelum mengkomersialkan produk mereka.

“Tetapi yang paling penting (adalah) bagaimana kita membina asasnya. Dari hari pertama lagi, kita mendedahkan syarikat-syarikat ini kepada pentas antarabangsa, termasuk para pelabur, rakan kongsi, mentor dan juga pelanggan,” katanya.

Mohammad Hazani berkata program itu telah menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) supaya sekurang-kurangnya empat daripada 10 syarikat berkenaan dapat melangkah ke peringkat seterusnya dengan memperoleh pelaburan baharu dan rakan kongsi strategik.

Beliau berkata sebanyak RM10 juta diperuntukan untuk fasa pertama program itu dan setelah selesai, MIDC merancang untuk menyokong syarikat yang mengambil bahagian dengan peruntukan sebanyak RM10 juta lagi di samping memanfaatkan pembiayaan daripada firma modal teroka, termasuk Khazanah Nasional Bhd dan pelabur antarabangsa.

Di bawah program Semicon Start Malaysia, syarikat yang terpilih boleh menerima sokongan inkubasi sehingga RM1 juta bagi setiap syarikat, bersama laluan pembangunan berstruktur selama 26 hari.

Kohort pertama yang berlangsung dari 1 Julai, 2026 hingga 30 Jun, 2027, telah dipilih daripada 39 permohonan.

Mohammad Hazani berkata M’IDC turut merancang untuk membentuk kohort kedua daripada syarikat-syarikat pemula niaga yang selebihnya.

— BERNAMA