Perniagaan Orang Paling Kaya Singapura

Singapura mungkin dilihat sebagai sebuah negara yang kecil namun ekonominya besar dan matawang negara tersebut adalah lebih kukuh berbanding Ringgit Malaysia.

Singapura terkenal sebagai sebuah negara hub kewangan di rantau ini. Singapura merupakan negara ASEAN dengan pendapatan per kapita tertinggi pada tahun 2022 dengan USD59,797.75. 

Pendapatan per kapita ialah pendapatan purata penduduk dalam sebuah negara pada tahun tertentu.

Setakat Mac 2023, terdapat seramai 22 orang di Singapura yang mempunyai kekayaan sehingga bernilai bilion dolar. 

Sumber: forbes

Berikut merupakan senarai penuh jutawan berstatus ‘billionaire‘ di Singapura.

1. Li Xi Ting (USD15.7 Bilion)

Li Xiting
Gambar: Bloomberg

Li merupakan pengasas dan pengerusi Shenzen Mindray Bio-Medical Electronics. Untuk pengetahuan anda syarikat ini merupakan syarikat pembekal peralatan penjagaan kesihatan.

Mindray diasaskan pada tahun 1991 dan ibu pejabatnya terletak di Shenzen, China. 

Pandemik Covid-19 pada 2020 memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada kekayaan Li. Mindray telah membekalkan peranti perubatan termasuklah alat pengudaraan ke seluruh dunia. Pendapatannya meningkat dengan mendadak lalu menjadikannya individu terkaya di Singapura.

Dikhabarkan bahawa syarikat beliau menyumbang peralatan perubatan berjumlah USD4.6 juta kepada hospital yang terkesan teruk seperti di Wuhan dan Itali. 

2. Goh Cheng Lian (USD14.5 Bilion)

Goh Cheng Liang
Gambar: CelebFamily

Menduduki tempat kedua adalah Goh Cheng Lian. Beliau memperolehi kekayaannya daripada pegangan sahamnya dalam syarikat Jepun iaitu Nippon Paint Holdings, pengeluar cat keempat terbesar di dunia. 

Goh mula membuat cat di sebuah kilang kecil di Singapura sebelum bekerjasama dengan Nippon Paint pada tahun 1962. 

Pada tahun 1949, semasa sesi lelongan oleh askar British, beliau membeli beberapa cat yang dianggap telah rosak pada harga yang sangat murah. Berbekalkan sebuah buku kamus berbahasa cina berkenaan dengan kimia, beliau mula menghasilkan cat sendiri dan maka begitulah permulaan jenama beliau sendiri iaitu Pigeon Brand.

Nippon Paint telah bekerjasama dengan Universiti Tokyo untuk membuat kajian dalam menghasilkan produk baru yang menawarkan perlindungan melawan Covid-19. 

3. Zhang Yong (USD7.0 Bilion)

Gambar: mustsharenews

Sekitar tahun 2019, Zhang Yong pernah dianggap sebagai salah seorang terkaya di Singapura. Namun pada tahun 2023, kekayaannya sedikit merosot dan jatuh ke tempat ketiga. Beliau merupakan pengerusi dan pengasas Haidilao, restoran hot pot yang sangat terkenal.

Zhang menubuhkan Haidilao setelah melalui pengalaman buruk di kedai makan hot pot. Beliau merasakan beliau boleh melakukan sesuatu yang lebih baik lalu meminjam wang daripada tiga rakannya untuk memulakan perniagaan. 

Kini, Haidilao mempunyai 1,443 buah cawangan di seluruh dunia dengan 93% daripada pendapatannya datang daripada China. 

Mesti anda tak sangka dengan perniagaan rantaian restoran hot pot pun boleh menjadikan anda kaya raya.

4. Wee Cho Yow (USD7.9 Bilion)

Wee Cho Yaw to step down from UOI board, Wee Ee Cheong to succeed as  chairman, Companies & Markets - THE BUSINESS TIMES
Gambar: The Business Time

Individu keempat terkaya di Singapura ialah pengerusi United Overseas Bank, bank ketiga terbesar di Singapura. Bank UOB diasaskan oleh ayahnya Wee Khiang Cheng pada 1935 sebagai United Chinese Bank. Nama bank tersebut ditukar kepada United Overseas Bank (UOB) pada tahun 1965. 

Beliau telah mengemudi UOB selama 60 tahun dan berjaya mengembangkan perniagaan sepanjang tempoh tersebut. Lebih dari 500 buah cawangan dan pejabat berjaya dibuka di 19 buah negara. Antara kejayaan besarnya adalah menjadikan UOB sebagai bank Singapura pertama yang dibuka di Vietnam pada 1992. 

Selain itu, beliau turut berjaya membeli Overseas Union Bank pada 2001 dan Far East Bank pada 2015. 

5. Forrest Li (USD 4.9 Bilion)

Sea CEO tells staff the worst is over, but their "job is not yet done"
Gambar: Vulcan Post

Dengan nilai kekayaan sebanyak USD4.9 bilion, Forrest Li merupakan individu kelima terkaya di Singapura. Beliau merupakan pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Sea Limited. 

Sea Limited diasaskan oleh tiga orang iaitu Forrest Li, Gang Ye dan David Chen. Sea Limited merupakan syarikat pemegang pelaburan bagi Shopee, SeaMoney dan Garena. Forrest Li, sebenarnya berasal daripada Tianjin, China dan beliau mendedahkan bahawa beliau banyak meluangkan masa di kafe siber ketika di bangku sekolah. 

Setelah menamatkan pelajarannya (MBA), beliau berpindah ke Singapura bersama isterinya. Li mengasaskan Garena pada tahun 2009. Garena merupakan peneraju platform permainan atas talian. Bagi kaki gaming pastinya kenal dengan Garena.

Gambar: oneesports.gg

Tidak terhenti di situ, Forrest Li menubuhkan Sea Money, sebuah syarikat penyedia perkhidmatan kewangan dan pembayaran digital pada 2014. Tidak lama selepas itu, Li menubuhkan Shopee pada 2015. Pastinya ramai yang kenal dengan Shopee dan pernah membeli barang di platform tersebut sekurang-kurangnya sekali.

shopee

Kesemua ketiga-tiga syarikat yang ini mempunyai ramai pengguna maka tidak hairanlah kekayaan Li juga besar.

Sumber: 

  1. Wealthiest People in Singapore (March 20, 2023) – CEOWORLD magazine
  2. The Independent

Terima kasih kepada anda yang menyokong kami selama ini. Hari-hari kami bersemangat nak sebarkan ilmu tentang kewangan dan pelaburan.

Kami sedar yang majoriti pembaca kami adalah anak-anak muda yang tercari-cari panduan bagaimana untuk mula melabur. Jadi buku ini sangat sesuai bagi newbie yang nak mulakan langkah pertama.

Anda ada soalan-soalan berikut yang memerlukan jawapan?

  • Ada duit tapi tak tahu nak melabur di mana?
  • Nak melabur tapi takut kena tipu dengan scammer?
  • Bagaimana nak tahu sesuatu pelaburan itu adalah patuh Syariah atau tidak?
  • Ada banyak sangat jenis pelaburan dekat luar sana, apa yang paling sesuai dengan jiwa?
  • Dalam suasana ekonomi yang tak menentu, apakah pelaburan ‘safe haven’ yang menjadi pilihan?
  • Pelaburan tanpa tunai tu macam mana?
  • Soalan-soalan lazim berkenaan pelaburan

Jika ya, maka anda perlu miliki buku Buku Malaysia Melabur : 10 Benda Kita Kena Tahu.

Buku Malaysia Melabur juga telah berada dalam senarai MPH Best 2020 dalam kategori MPH Best Malay Non-Fiction 2020.

Sesungguhnya kami bersyukur diberi peluang oleh Allah untuk berubah menjadi lebih baik dan mendapat rezeki seperti yang diidamkan. Kami doakan semoga tuan puan juga dilimpahi rezeki yang penuh keberkatan.

Boleh miliki buku ini secara online di Shopee

Previous ArticleNext Article

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.