Malaysia, Indonesia Akan Timbang Semula Cadangan Talian Sambungan Kuasa Sumatera-Semenanjung

BALI, 25 Ogos (Bernama) — Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk menjalankan bersama kajian kebolehlaksanaan bagi cadangan talian sambungan kuasa antara Sumatera Indonesia-Semenanjung Malaysia. 

Bagi tujuan itu, Tenaga Nasional Bhd (TNB), Syarikat Elektrik Negeri Indonesia PT PLN (Persero) dan Pusat Tenaga Asean (ACE) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk memulakan kajian kebolehlaksanaan talian sambungan kuasa tersebut, yang sekiranya menjadi kenyataan, akan menjadi sambungan kuasa rentas sempadan dasar laut yang pertama di rantau ini.

MoU tersebut ditandatangani semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga Asean ke-41 (AMEM-41), yang disaksikan oleh menteri-menteri serantau dengan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad, mewakili Malaysia.

Nik Nazmi berkata idea talian sambungan kuasa Sumatera Indonesia-Semenanjung Malaysia telah dicadangkan sejak beberapa tahun lalu, tetapi kemudian kurang diberi perhatian.

Justeru, beliau berkata MoU tersebut menunjukkan kemajuan penting yang dicatatkan oleh kedua-dua negara dan bakal mewujudkan kerjasama sama-sama menang.

“Kini, dengan harga tenaga yang lebih tinggi dan permintaan (yang semakin meningkat) terhadap tenaga boleh baharu (TBB), kami percaya talian sambungan kuasa itu berdaya maju,” kata Nik Nazmi kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian MoU tersebut, di sini, hari ini.

Kajian itu akan meliputi kebolehlaksanaan ekonomi, pelaburan dalam kemudahan yang diperlukan, sokongan pembangunan, pelaksanaan dasar, impak awal alam sekitar serta aspek teknikal.

Selain itu, Sabah Electricity Sdn Bhd, ACE dan PT PLN (Persero) juga telah memeterai MoU untuk mewujudkan kajian kebolehlaksanaan dengan skop yang sama untuk wilayah Kalimantan-Sabah.

Matlamatnya adalah untuk mencapai Kesalinghubungan Jaminan Tenaga Mampan di kawasan Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMB).

“MoU untuk kesalinghubungan Sabah dan Kalimantan juga sama. Sabah mempunyai keperluan yang besar, manakala Indonesia juga sedang membina infrastrukturnya untuk Kalimantan dengan penubuhan ibu kota baharunya. Bangunan pertama akan diduduki seawal tahun depan.

“Jadi, itu akan menjadi satu lagi faktor penting yang memberi rangsangan kepada projek tersebut,” katanya.

Nik Nazmi berkata Sabah juga sedang mengusahakan loji TBB baharu dengan lebih banyak bekalan tenaga dijangka berada dalam pasaran

“Bermula tahun depan, kita akan serahkan tenaga itu kepada kerajaan negeri. Jadi, kita nak pastikan infrastruktur elektrik, rancangannya benar-benar mencapai standard (untuk menyokong) permintaan bagi Sabah, khususnya di bahagian pantai timur,” katanya.

Kajian kebolehlaksanaan itu dijangka mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan.

TNB juga telah menjalin MoU dengan SP PowerAssets Ltd (SPPA) untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan teknikal mengenai cadangan pembangunan kemudahan sambungan kuasa kedua antara Semenanjung Malaysia dan Singapura

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Baharin Din berkata MoU itu berfungsi sebagai asas untuk penyepaduan serantau yang lebih meluas bagi tenaga boleh baharu, mendekatkan lagi rantau ini kepada aspirasi Grid Kuasa Asean yang padu.

“Integrasi itu juga memudahkan lebih banyak dagangan kuasa pelbagai hala dalam Asean, mencerminkan komitmen kita terhadap kerjasama tenaga serantau,” katanya.

MoU itu adalah bagi tempoh tiga tahun. 

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

microLEAP, CASB Dan HDC Lancar Inisiatif Nasional Bantu PMKS Akses Pembiayaan Bagi Kontrak Kerajaan

KUALA LUMPUR – Jun 30, 2026 – Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta kontraktor kecil yang terlibat dalam perolehan kerajaan menerusi sistem ePerolehan bakal mendapat manfaat daripada akses yang lebih luas kepada pembiayaan, latihan dan sokongan perniagaan menerusi kerjasama strategik antara microLEAP PLT (microLEAP), Commerce Access Sdn Bhd (CASB) dan Halal Development Corporation Berhad (HDC).

Inisiatif ini bertujuan meningkatkan tahap kesediaan PMKS untuk mendapatkan pembiayaan serta memperluas kesedaran mengenai kemudahan pembiayaan yang ditawarkan di bawah Program SARANA, iaitu skim pembiayaan yang ditawarkan melalui pengendali platform pembiayaan antara rakan setara (P2P) yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Kontrak kerajaan menawarkan peluang pertumbuhan yang besar kepada PMKS. Namun, banyak perniagaan berdepan cabaran modal kerja ketika melaksanakan projek, termasuk keperluan pembelian bahan, kos operasi dan perbelanjaan pelaksanaan sebelum pembayaran diterima daripada agensi kerajaan.

Bagi menangani cabaran tersebut, kerjasama ini menggabungkan penyelesaian pembiayaan, program pembangunan kapasiti dan sokongan ekosistem bagi membantu PMKS melaksanakan kontrak kerajaan dengan lebih berkesan setelah kontrak diperoleh.

Sebagai salah satu pengendali platform P2P yang mengambil bahagian dalam Program SARANA, microLEAP menyediakan kemudahan pembiayaan patuh Syariah kepada kontraktor dan pembekal kerajaan yang layak. Skim ini menawarkan pembiayaan invois bagi menyokong aliran tunai selepas penyerahan kerja atau bekalan, serta pembiayaan pelaksanaan kontrak bagi membantu perniagaan memenuhi keperluan modal kerja sebelum projek dimulakan.

Kerjasama ini akan menampilkan empat bengkel serantau meliputi Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak, dengan program sulung dijadualkan berlangsung di Ibu Pejabat Halal Development Corporation (HDC) pada 28 Julai 2026.

Bengkel-bengkel tersebut akan memberikan pendedahan mengenai proses perolehan kerajaan, kesediaan mendapatkan pembiayaan, pelaksanaan projek serta kemudahan pembiayaan yang tersedia kepada perniagaan yang terlibat dalam ekosistem ePerolehan.

Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar, berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh penyertaan PMKS dalam projek dan peluang perniagaan sektor awam.

“Ramai PMKS mempunyai keupayaan untuk melaksanakan projek kerajaan, namun berdepan cabaran mendapatkan modal kerja pada peringkat kritikal pelaksanaan projek. Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat merapatkan jurang tersebut dengan menggabungkan penyelesaian pembiayaan, bimbingan praktikal dan sokongan ekosistem bagi membantu lebih banyak perniagaan berkembang melalui kontrak kerajaan.

“Dengan menggabungkan akses kepada pembiayaan, perkongsian ilmu dan penglibatan industri, kami berharap lebih banyak PMKS dapat melaksanakan kontrak dengan lebih berkesan serta memperkukuh pertumbuhan perniagaan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Commerce Access Sdn Bhd, Puan Hajah Afidah Kamaruddin, berkata inisiatif berkenaan akan membantu meningkatkan tahap kesediaan PMKS untuk menyertai perolehan kerajaan.

“Commerce Access Sdn Bhd (CASB) ialah sebuah syarikat penyumberan luar proses perniagaan (Business Process Outsourcing) dan penyedia pengalaman pelanggan (Customer Experience) yang ber ibu pejabat di Petaling Jaya.  CASB menyediakan khidmat pusat panggilan (inbound dan outbound), pengalaman pelanggan (CX), latihan serta penyampaian perkhidmatan digital untuk membantu pelanggan kerajaan dan korporat meningkatkan khidmat  pengalaman pelanggan serta kecekapan operasi,” katanya.

Empat bengkel yang dirancang itu dijangka melibatkan ratusan PMKS di seluruh negara, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai kemudahan pembiayaan yang tersedia di bawah Program SARANA serta meningkatkan penyertaan PMKS dalam ekosistem perolehan kerajaan.