Selangor – MCE Holdings Bhd (MCE) hari ini secara rasmi melancarkan MCE Auto Hub, sebuah fasiliti pembuatan termaju bernilai RM50 juta yang terletak di UMW High Value Manufacturing Park, Serendah, bagi memperkukuh keupayaan Kumpulan dalam reka bentuk, kejuruteraan, pembuatan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
MCE Auto Hub yang dibangunkan di atas kawasan seluas lapan ekar merupakan fasa pertama daripada pelan pelaburan jangka panjang MCE yang bernilai sehingga RM200 juta. Hab ini dijangka menggandakan kapasiti pengeluaran Kumpulan, sekali gus memperkukuh keupayaan dalam bidang elektronik automotif dan penyelesaian mobiliti generasi baharu.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Turut hadir ialah Tan Sri Dato’ Abdul Rahman Mamat, Pengerusi MCE; Datuk Hanafi Sakri, Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), MITI; Datuk Dr Aminar Rashid, Pengerusi Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii); Azrul Reza Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MARii; Zuaida Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA); Puan Julaihah Jamaludin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor; serta wakil agensi kerajaan, rakan industri dan pemain ekosistem automotif.
Dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam industri, MCE telah berkembang menjadi pembekal elektronik automotif Tier-1 dari Malaysia yang memiliki keupayaan penuh dalam Original Equipment Manufacturing (OEM) dan Original Design Manufacturing (ODM), merangkumi reka bentuk, pembangunan serta pengeluaran produk untuk pelanggan.
YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata:
“Pelaburan ini merupakan satu langkah penting dalam pembangunan berterusan industri automotif Malaysia dan mencerminkan keyakinan terhadap MCE Holdings serta masa depan Malaysia. Dalam industri yang sangat kompetitif, pembekal tempatan perlu terus mengejar kecemerlangan pembuatan dengan memperkukuh kepakaran kejuruteraan, inovasi dan teknologi.”
Pengarah Urusan Kumpulan MCE, Dr. Goh Kar Chun (吴佳骏医生) berkata:
“Bermula dengan kontrak pertama kami membekalkan sistem penggera kawalan jauh dan sistem kunci pusat untuk pasaran domestik pada tahun 1990, MCE terus melabur bagi memperkukuh keupayaan kami. Selama bertahun-tahun, kami telah mengembangkan portfolio daripada komponen automotif tradisional kepada penyelesaian elektronik automotif dan mekatronik yang lebih maju.”
Beliau menambah:
“Hari ini, kami berkhidmat kepada pelanggan di Malaysia, ASEAN dan Amerika Syarikat dengan membekalkan penyelesaian elektronik automotif dan mekatronik yang semakin canggih. MCE Auto Hub merupakan langkah seterusnya dalam perjalanan tersebut dan mencerminkan keyakinan kami bahawa kepakaran kejuruteraan, bakat serta keupayaan pembuatan Malaysia mampu bersaing di peringkat global.”
Direka sebagai hab pembuatan yang bersedia untuk Industri 4.0, MCE Auto Hub dilengkapi dengan kawasan pengeluaran bilik bersih (clean room) serta persekitaran pembuatan yang dikawal rapi bagi memenuhi keperluan penghasilan elektronik automotif berteknologi tinggi untuk kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan juga kenderaan elektrik (EV).
Dengan hab ini mula beroperasi, Kumpulan kini mempunyai 680 pekerja, termasuk 90 jurutera, di seluruh operasinya di Johor Bahru, Port Klang dan Serendah. Ini mengukuhkan keupayaan MCE untuk menyokong portfolio projek yang semakin berkembang dalam segmen ICE dan EV.
Hab ini juga mengukuhkan kedudukan MCE dalam menyokong usaha meningkatkan kandungan tempatan dalam industri automotif, sekali gus membuka peluang kepada jurutera, syarikat teknologi dan pembekal tempatan untuk terlibat dalam reka bentuk, pembangunan dan pembuatan teknologi automotif maju di Malaysia.
Pelaburan ini selaras dengan aspirasi Kerajaan untuk memperkukuh keupayaan pembuatan berteknologi tinggi Malaysia serta menggalakkan penyertaan yang lebih besar dalam aktiviti bernilai tinggi di seluruh ekosistem automotif.
Dr. Goh turut berkata:
“Kami percaya masa depan industri automotif Malaysia akan dibina menerusi kerjasama yang lebih erat antara pengeluar kenderaan, pembekal Tier-1 dan pemain ekosistem tempatan termasuk syarikat semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E). Dengan bekerjasama, kita mampu mewujudkan lebih banyak peluang untuk teknologi yang dibangunkan di Malaysia diaplikasikan dalam industri automotif dan rantaian bekalan global, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi elektronik automotif.”
MCE Auto Hub akan menjadi hab utama pembuatan dan kejuruteraan MCE, sekali gus memperkukuh keupayaan Kumpulan dalam mereka bentuk, membangunkan dan menghasilkan penyelesaian elektronik automotif serta mekatronik bernilai tinggi untuk pelanggan di Malaysia, ASEAN dan pasaran antarabangsa.