Langkah BNM Kekalkan OPR Pada 3.00 Peratus Memang Dijangkakan – Penganalisis

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) — Tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras semasa 3.00 peratus sememangnya dijangkakan, kata penganalisis.

Ahli Ekonomi Kanan OCBC Bank Lavanya Venkateswaran berkata keputusan yang diumumkan pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari hari ini, juga adalah seiring dengan pandangan konsensus serta bank tersebut.

Namun, pada mesyuarat kali ini, bank pusat itu telah bertindak menyenaraikan satu lagi risiko penyusutan pertumbuhan berbanding kenyataan yang dibuat pada mesyuarat Julai lepas iaitu “penurunan pengeluaran komoditi yang lebih ketara serta berlanjutan,” sekali gus menekankan kebimbangan mengenai fenomena El Nino yang berterusan.

Dalam nota penyelidikan hari ini, beliau berkata unjuran BNM terhadap inflasi juga kekal tidak berubah berbanding kenyataan yang dibuat dalam mesyuarat sebelum ini.

“BNM menyatakan bahawa inflasi yang mereda itu akan berterusan sehingga tempoh separuh kedua 2023 berikutan kadar asas lebih tinggi daripada separuh kedua 2022,” katanya.

Malah, sama seperti kenyataan sebelum ini, bank pusat itu juga masih mengekalkan pandangan bahawa “risiko terhadap prospek inflasi kekal tinggi dan bergantung kepada dasar domestik berkaitan subsidi dan kawalan harga, haraga komoditi global dan perkembangan pasaran kewangan selain inflasi teras yang berterusan.”

Lavanya juga menyifatkan BNM tidak lagi melihat pendirian itu sebagai “sedikit akomodatif” seperti yang dinyatakan pada mesyuarat sebelum ini dan menganggap pada paras semasa OPR, pendirian dasar monetari kekal menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian berkaitan inflasi dan prospek pertumbuhan.

Sementara itu, AmBank Group pula menganggap 125 mata asas dalam normalisasi pasca-COVID-19, telah membawa kepada keseimbangan inflasi -pertumbuhan ke tahap yang diinginkan.

Berikutan itu, ia berpendapat bahawa tahun ini akan diakhiri dengan OPR kekal pada paras semasa, disokong dengan keperluan untuk mengekalkan permintaan domestik bersandarkan pandangan terhadap ketidaktentuan di peringkat luaran dan penurunan tekanan inflasi di Malaysia dengan inflasi keseluruhan susut kepada 2.0 peratus pada Julai 2023.

Mesyuarat MPC yang akan datang dijadualkan pada 1-2 Nov ini iaitu selepas pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Okt, 2023.

“Sebarang perkembangan berkenaan rasionalisasi subsidi dan pelaksanaan model upah yang progresif dengan potensi impak jangka panjang, boleh menyebabkan penilaian semula terhadap unjuran OPR bagi 2024,” katanya.

Sementara itu, RHB Investment Bank Bhd bagaimanapun melihat kemuncak OPR adalah pada paras 3.25 peratus tahun ini dengan tiada pengurangan pada separuh pertama 2024.

“Pandangan kami ini didorong oleh beberapa faktor utama; trajektori inflasi pada suku keempat 2023 kekal tidak menentu dengan potensi risiko meningkat daripada (faktor) kenaikan semula harga makanan dan komoditi, pemulihan ekonomi akan perlahan sehingga suku keempat 2023 serta Kadar Pertukaran Efektif Nominal (NEER) yang mengalami tekanan.

“Kami menjangkakan pemulihan lebih perlahan bagi prestasi perdagangan akibat kitaran rendah teknologi global dan prospek pertumbuhan China yang lemah. Penghantaran eksport berasaskan perkilangan dan komoditi yang bertambah baik akan bergantung kepada permintaan tinggi daripada rakan perdagangan utama di Amerika Syarikat dan rantau Asean,” katanya.

Ekonomi domestik pula dijangka menerima sokongan daripada kegiatan pelaburan yang berdaya tahan manakala perbelanjaan pengguna pula diramal kembali seperti biasa dalam keadaan sentimen pengguna yang suram.

Bank pelaburan itu mengunjurkan ringgit mengalami tekanan pada separuh kedua tahun ini berikutan perbezaan kadar faedah yang besar antara OPR dan Kadar Dana Persekutuan.

“Ringgit mungkin mencatatkan prestasi lebih rendah daripada jangkaan berbanding mata wang lain di Asia Tenggara manakala pemangkin aliran modal ke pasaran-pasaran lain juga berkemungkinan lebih tidak menentu.

“Kami mengekalkan unjuran gandingan dolar AS/ringgit pada akhir suku ketiga 2023 pada paras 4.65-4.75, diikuti dengan 4.70-4.80 pada akhir tahun ini,” katanya.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

Akta Sewa Beli Baharu Kukuh Hak Pengguna, Pembiayaan Lebih Telus

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang bermula bulan ini dilihat sebagai langkah penting untuk memperkukuh perlindungan pengguna, meningkatkan ketelusan pasaran pembiayaan serta memodenkan urusan sewa beli menerusi penggunaan teknologi digital.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata penguatkuasaan pindaan berkenaan memberi ruang kepada pengguna mengurangkan komitmen pinjaman sekiranya mereka membuat penyelesaian awal atau pembayaran tambahan terhadap pinjaman yang diambil.

Beliau berkata, penjimatan yang diperoleh bergantung kepada jumlah bayaran awal atau tambahan yang dibuat oleh pengguna sepanjang tempoh pembiayaan.

“Apabila penguatkuasaan ke atas pindaan Akta Sewa Beli bermula, ia akan memberi ruang kepada pengguna untuk mengurangkan komitmen pinjaman mereka jika mereka mengambil keputusan membuat penyelesaian awal atau pembayaran tambahan terhadap pinjaman.

“Penjimatan yang diperoleh bergantung kepada jumlah bayaran awal atau tambahan yang dibuat,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, pindaan berkenaan turut membantu pengguna membuat keputusan kewangan yang lebih memihak kepada kepentingan mereka, namun manfaat itu hanya dapat dimaksimumkan sekiranya pengguna mempunyai kefahaman dan literasi kewangan yang mencukupi.

Katanya, pengguna perlu memahami sepenuhnya perubahan yang diperkenalkan menerusi akta baharu itu supaya mereka dapat menilai pilihan pembiayaan dengan lebih tepat dan berkesan.

Beliau turut menjelaskan, pindaan yang membenarkan penggunaan dokumentasi serta tandatangan digital dalam urusan sewa beli akan memberikan manfaat daripada pelbagai sudut termasuk mempercepatkan proses transaksi dan meningkatkan tahap keselamatan.

“Transaksi dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan selamat selain membantu mengurangkan kos transaksi yang ditanggung oleh pengguna dan pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, dalam jangka panjang, pindaan berkenaan dijangka meningkatkan perlindungan kepada pengguna selain mendorong industri menawarkan perkhidmatan yang lebih mesra pelanggan serta kadar pembiayaan yang lebih kompetitif.

Sementara itu, Pengarah Pakar Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPP Wealth Managers Ltd, Mohd Sedek Jantan berkata, pindaan itu tidak semestinya menjamin penjimatan automatik kepada semua peminjam dari segi jumlah ansuran atau kadar pembiayaan yang ditawarkan.

Namun, beliau berkata, perubahan itu mewujudkan struktur pengiraan faedah yang lebih adil kerana ia mencerminkan kos pembiayaan sebenar yang ditanggung oleh pengguna melalui penggunaan kaedah baki berkurangan atau ‘reducing balance’.

“Di bawah kaedah lama, faedah dikira berdasarkan jumlah pinjaman asal sepanjang tempoh pembiayaan menyebabkan sebahagian besar bayaran pada tahun-tahun awal digunakan untuk membayar faedah.

“Sebaliknya, di bawah kaedah baki berkurangan, faedah hanya dikenakan ke atas baki prinsipal semasa. Oleh itu, setiap bayaran tambahan yang dibuat akan terus mengurangkan prinsipal dan seterusnya mengurangkan jumlah faedah yang perlu dibayar pada masa hadapan,” katanya.

Mohd Sedek berkata, sebagai contoh, pengguna yang mengambil pembiayaan kenderaan sebanyak RM100,000 bagi tempoh sembilan tahun dan membuat bayaran tambahan RM10,000 selepas lima tahun akan menikmati pengurangan baki prinsipal yang seterusnya mengurangkan caj faedah pada tahun-tahun berikutnya.

Katanya, kesan paling ketara akan dinikmati oleh pengguna yang mengamalkan disiplin kewangan yang baik termasuk membuat penyelesaian awal, bayaran tambahan secara berkala atau memilih tempoh pembiayaan yang lebih pendek.

Beliau menjelaskan, antara perkara paling penting yang perlu diberi perhatian oleh pengguna bukanlah kadar faedah yang kelihatan rendah, sebaliknya jumlah sebenar yang perlu dibayar sepanjang tempoh pinjaman.

Katanya, penggunaan kadar faedah efektif (EIR) dan kaedah baki berkurangan membolehkan pengguna melihat gambaran lebih jelas mengenai kos sebenar pembiayaan, sekali gus membantu mereka membuat keputusan berdasarkan kemampuan kewangan sebenar dan bukan sekadar tertumpu kepada jumlah ansuran bulanan.

“Ketelusan yang lebih tinggi membantu pengguna membuat keputusan yang lebih bermaklumat, mengelakkan komitmen hutang yang berlebihan dan menggalakkan amalan peminjaman yang lebih bertanggungjawab.

“Ini bukan sekadar soal formula pengiraan faedah, tetapi membantu rakyat memahami implikasi kewangan sesuatu pinjaman sebelum mereka membuat komitmen yang mungkin berlangsung sehingga tujuh atau sembilan tahun,” katanya.

— Berita Harian