Kajian Separuh Penggal RMKe-12 “Unik”, Perlu Dinilai Seratus Peratus – Rafizi

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) — Kajian separuh penggal bagi rancangan lima tahun Malaysia kali ini perlu dinilai seratus peratus kerana tanggapan ataupun perancangan yang dibuat sebelum COVID-19 sudah tidak boleh lagi dipakai, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata kajian separuh penggal kali ini boleh disifatkan sebagai rancangan yang baharu untuk negara.

Kajian separuh penggal bagi Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) yang bakal dibentangkan di Parlimen pada 11 September ini (Isnin) sebagai sesuatu yang “unik”, katanya.

“Negara kini berada dalam RMKe-12 untuk tahun 2021 sehingga 2025 dan kalau sebelum ini kajian separuh penggal (KSP) itu hanyalah untuk menilai prestasi tapi KSP untuk kali ini adalah unik kerana dua perkara.

“Pertama, COVID-19 yang berlaku pada tahun 2020 hingga 2022 telah merubah banyak perkara, justeru ia perlu dinilai seratus peratus kerana tanggapan ataupun perancangan yg dibuat sebelum itu…sekarang sudah tidak boleh diguna pakai.

“Kajian separuh penggal kali ini boleh dikatakan sebagai rancangan yang baharu untuk negara,” katanya dalam satu klip video yang dimuat naik dalam Facebook hari ini.

Sebab kedua adalah KSP kali ini bakal dibentangkan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan di mana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Ekonomi MADANI yang meletakkan dua sasaran iaitu untuk menaikan kadar siling dan lantai.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan ketika menjadi tetamu stesen radio Kool FM bulan lepas, menaikkan siling bermaksud usaha menstruktur semula ekonomi supaya negara dapat mengecapi lebih kekayaan.

Manakala definisi menaikkan lantai pula merujuk kepada membawa erti mengutamakan keadilan sosial bagi memastikan kekayaan yang dikecapi dapat dikongsi rakyat secara lebih saksama, katanya.

Ahmad berkata menaikkan siling dan lantai adalah antara sasaran dalam Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Rafizi berkata menaikkan siling adalah untuk memastikan bahawa ekonomi kita diangkat ke arah nilai yang lebih tinggi, maksudnya gaji yang lebih tinggi, kandungan teknologi dan kandungan nilai yang lebih baik dan itu akan meningkatkan prestasi ekonomi negara kita.

“Bagi menaikkan lantai pula, kita mahu pastikan bahawa jika ekonomi Malaysia berkembang dengan lebih pesat dan ada lebih banyak kekayaan yang dihasilkan daripada pertumbuhan ekonomi ini, agihannya itu adalah adil kepada semua,” kata Rafizi.

Beliau memberikan contoh di mana beberapa bulan yang lepas kerajaan telah memberikan tumpuan yang lebih kepada golongan rakyat marhaen dan bukannya kepada segelintir golongan kaya sahaja.

“Walaupun tidak gah (mega) berbanding sebelum ini (bukan projek puluhan bilion ringgit) tetapi jumlah wang dan peruntukan itu diagihkan kepada rakyat…contohnya melalui dasar gaji progresif supaya kita dapat merasai limpahan daripada ekonomi itu sampai kepada rakyat terbanyak melalui tangga gaji yang lebih baik”.

Rafizi berkata beliau yakin sekiranya perkara ini diteliti dengan baik, ia akan memberikan gambaran yang cukup jelas kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Bagi setiap tumpuan yang digariskan di dalam kajian separuh penggal ini kita pastikan bahawa manfaat yang diterima itu dijelaskan kepada rakyat, pihak swasta dan kepada kerajaan,” katanya.

Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia-12, 2021-2025 disediakan bagi mengukur pencapaian sasaran bagi tempoh dua tahun pertama serta menghadapi cabaran-cabaran getir yang menjejaskan aspirasi RMKe-12.

Penyediaan KSP RMKe-12 akan merangkumi kajian semula sasaran, strategi, inisiatif, program dan projek pembangunan bagi mencapai matlamat pembangunan serta pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Akta Sewa Beli Baharu Kukuh Hak Pengguna, Pembiayaan Lebih Telus

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang bermula bulan ini dilihat sebagai langkah penting untuk memperkukuh perlindungan pengguna, meningkatkan ketelusan pasaran pembiayaan serta memodenkan urusan sewa beli menerusi penggunaan teknologi digital.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata penguatkuasaan pindaan berkenaan memberi ruang kepada pengguna mengurangkan komitmen pinjaman sekiranya mereka membuat penyelesaian awal atau pembayaran tambahan terhadap pinjaman yang diambil.

Beliau berkata, penjimatan yang diperoleh bergantung kepada jumlah bayaran awal atau tambahan yang dibuat oleh pengguna sepanjang tempoh pembiayaan.

“Apabila penguatkuasaan ke atas pindaan Akta Sewa Beli bermula, ia akan memberi ruang kepada pengguna untuk mengurangkan komitmen pinjaman mereka jika mereka mengambil keputusan membuat penyelesaian awal atau pembayaran tambahan terhadap pinjaman.

“Penjimatan yang diperoleh bergantung kepada jumlah bayaran awal atau tambahan yang dibuat,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, pindaan berkenaan turut membantu pengguna membuat keputusan kewangan yang lebih memihak kepada kepentingan mereka, namun manfaat itu hanya dapat dimaksimumkan sekiranya pengguna mempunyai kefahaman dan literasi kewangan yang mencukupi.

Katanya, pengguna perlu memahami sepenuhnya perubahan yang diperkenalkan menerusi akta baharu itu supaya mereka dapat menilai pilihan pembiayaan dengan lebih tepat dan berkesan.

Beliau turut menjelaskan, pindaan yang membenarkan penggunaan dokumentasi serta tandatangan digital dalam urusan sewa beli akan memberikan manfaat daripada pelbagai sudut termasuk mempercepatkan proses transaksi dan meningkatkan tahap keselamatan.

“Transaksi dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan selamat selain membantu mengurangkan kos transaksi yang ditanggung oleh pengguna dan pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, dalam jangka panjang, pindaan berkenaan dijangka meningkatkan perlindungan kepada pengguna selain mendorong industri menawarkan perkhidmatan yang lebih mesra pelanggan serta kadar pembiayaan yang lebih kompetitif.

Sementara itu, Pengarah Pakar Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPP Wealth Managers Ltd, Mohd Sedek Jantan berkata, pindaan itu tidak semestinya menjamin penjimatan automatik kepada semua peminjam dari segi jumlah ansuran atau kadar pembiayaan yang ditawarkan.

Namun, beliau berkata, perubahan itu mewujudkan struktur pengiraan faedah yang lebih adil kerana ia mencerminkan kos pembiayaan sebenar yang ditanggung oleh pengguna melalui penggunaan kaedah baki berkurangan atau ‘reducing balance’.

“Di bawah kaedah lama, faedah dikira berdasarkan jumlah pinjaman asal sepanjang tempoh pembiayaan menyebabkan sebahagian besar bayaran pada tahun-tahun awal digunakan untuk membayar faedah.

“Sebaliknya, di bawah kaedah baki berkurangan, faedah hanya dikenakan ke atas baki prinsipal semasa. Oleh itu, setiap bayaran tambahan yang dibuat akan terus mengurangkan prinsipal dan seterusnya mengurangkan jumlah faedah yang perlu dibayar pada masa hadapan,” katanya.

Mohd Sedek berkata, sebagai contoh, pengguna yang mengambil pembiayaan kenderaan sebanyak RM100,000 bagi tempoh sembilan tahun dan membuat bayaran tambahan RM10,000 selepas lima tahun akan menikmati pengurangan baki prinsipal yang seterusnya mengurangkan caj faedah pada tahun-tahun berikutnya.

Katanya, kesan paling ketara akan dinikmati oleh pengguna yang mengamalkan disiplin kewangan yang baik termasuk membuat penyelesaian awal, bayaran tambahan secara berkala atau memilih tempoh pembiayaan yang lebih pendek.

Beliau menjelaskan, antara perkara paling penting yang perlu diberi perhatian oleh pengguna bukanlah kadar faedah yang kelihatan rendah, sebaliknya jumlah sebenar yang perlu dibayar sepanjang tempoh pinjaman.

Katanya, penggunaan kadar faedah efektif (EIR) dan kaedah baki berkurangan membolehkan pengguna melihat gambaran lebih jelas mengenai kos sebenar pembiayaan, sekali gus membantu mereka membuat keputusan berdasarkan kemampuan kewangan sebenar dan bukan sekadar tertumpu kepada jumlah ansuran bulanan.

“Ketelusan yang lebih tinggi membantu pengguna membuat keputusan yang lebih bermaklumat, mengelakkan komitmen hutang yang berlebihan dan menggalakkan amalan peminjaman yang lebih bertanggungjawab.

“Ini bukan sekadar soal formula pengiraan faedah, tetapi membantu rakyat memahami implikasi kewangan sesuatu pinjaman sebelum mereka membuat komitmen yang mungkin berlangsung sehingga tujuh atau sembilan tahun,” katanya.

— Berita Harian