11 Projek Pengangkutan, Logistik Baharu Diperkenalkan – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) — Sebanyak 11 projek pengangkutan dan logistik baharu diperkenalkan bagi memastikan pembangunan infrastruktur negara yang mampan dan berdaya tahan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Projek-projek berkenaan adalah pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B; Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang; perluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang; pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang; dan naik taraf Lebuhraya Timur-Barat dari Gerik, Perak ke Jeli, Kelantan.

Yang lain-lain termasuk perluasan perkhidmatan Bus Rapid Transit (BRT) dan bas dalam bandar termasuk di Johor Bahru dan Lembah Klang; naik taraf Lebuhraya Senai-Desaru; pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (dari Yong Peng ke Senai Utara) secara berfasa; pembinaan Sarawak-Sabah Link Road II; dan naik taraf jalan dari Tanah Rata ke Kea Farm, Cameron Highlands.

“Selain itu, pembangunan pelabuhan baharu di Pulau Carey dijangka dapat mengukuhkan Pelabuhan Klang sebagai hab pemindahan kapal serantau,” katanya sewaktu membentangkan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) 2021-2025 di Parlimen hari ini.

“Kerajaan juga akan menambah baik kerja-kerja penyenggaraan infrastruktur pengangkutan bagi memanjangkan jangka hayat jalan raya, aset rel dan peralatan navigasi udara,” kata Perdana Menteri.

Menurut Anwar, anjakan utama pengukuhan jaringan pengangkutan awam akan menyediakan akses dan ketersambungan yang lebih baik bagi memastikan lebih ramai rakyat menikmati perkhidmatan pengangkutan awam yang semakin cekap, berdaya harap, mampu bayar dan selamat.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

Akta Sewa Beli Baharu Kukuh Hak Pengguna, Pembiayaan Lebih Telus

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang bermula bulan ini dilihat sebagai langkah penting untuk memperkukuh perlindungan pengguna, meningkatkan ketelusan pasaran pembiayaan serta memodenkan urusan sewa beli menerusi penggunaan teknologi digital.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata penguatkuasaan pindaan berkenaan memberi ruang kepada pengguna mengurangkan komitmen pinjaman sekiranya mereka membuat penyelesaian awal atau pembayaran tambahan terhadap pinjaman yang diambil.

Beliau berkata, penjimatan yang diperoleh bergantung kepada jumlah bayaran awal atau tambahan yang dibuat oleh pengguna sepanjang tempoh pembiayaan.

“Apabila penguatkuasaan ke atas pindaan Akta Sewa Beli bermula, ia akan memberi ruang kepada pengguna untuk mengurangkan komitmen pinjaman mereka jika mereka mengambil keputusan membuat penyelesaian awal atau pembayaran tambahan terhadap pinjaman.

“Penjimatan yang diperoleh bergantung kepada jumlah bayaran awal atau tambahan yang dibuat,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, pindaan berkenaan turut membantu pengguna membuat keputusan kewangan yang lebih memihak kepada kepentingan mereka, namun manfaat itu hanya dapat dimaksimumkan sekiranya pengguna mempunyai kefahaman dan literasi kewangan yang mencukupi.

Katanya, pengguna perlu memahami sepenuhnya perubahan yang diperkenalkan menerusi akta baharu itu supaya mereka dapat menilai pilihan pembiayaan dengan lebih tepat dan berkesan.

Beliau turut menjelaskan, pindaan yang membenarkan penggunaan dokumentasi serta tandatangan digital dalam urusan sewa beli akan memberikan manfaat daripada pelbagai sudut termasuk mempercepatkan proses transaksi dan meningkatkan tahap keselamatan.

“Transaksi dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan selamat selain membantu mengurangkan kos transaksi yang ditanggung oleh pengguna dan pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, dalam jangka panjang, pindaan berkenaan dijangka meningkatkan perlindungan kepada pengguna selain mendorong industri menawarkan perkhidmatan yang lebih mesra pelanggan serta kadar pembiayaan yang lebih kompetitif.

Sementara itu, Pengarah Pakar Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPP Wealth Managers Ltd, Mohd Sedek Jantan berkata, pindaan itu tidak semestinya menjamin penjimatan automatik kepada semua peminjam dari segi jumlah ansuran atau kadar pembiayaan yang ditawarkan.

Namun, beliau berkata, perubahan itu mewujudkan struktur pengiraan faedah yang lebih adil kerana ia mencerminkan kos pembiayaan sebenar yang ditanggung oleh pengguna melalui penggunaan kaedah baki berkurangan atau ‘reducing balance’.

“Di bawah kaedah lama, faedah dikira berdasarkan jumlah pinjaman asal sepanjang tempoh pembiayaan menyebabkan sebahagian besar bayaran pada tahun-tahun awal digunakan untuk membayar faedah.

“Sebaliknya, di bawah kaedah baki berkurangan, faedah hanya dikenakan ke atas baki prinsipal semasa. Oleh itu, setiap bayaran tambahan yang dibuat akan terus mengurangkan prinsipal dan seterusnya mengurangkan jumlah faedah yang perlu dibayar pada masa hadapan,” katanya.

Mohd Sedek berkata, sebagai contoh, pengguna yang mengambil pembiayaan kenderaan sebanyak RM100,000 bagi tempoh sembilan tahun dan membuat bayaran tambahan RM10,000 selepas lima tahun akan menikmati pengurangan baki prinsipal yang seterusnya mengurangkan caj faedah pada tahun-tahun berikutnya.

Katanya, kesan paling ketara akan dinikmati oleh pengguna yang mengamalkan disiplin kewangan yang baik termasuk membuat penyelesaian awal, bayaran tambahan secara berkala atau memilih tempoh pembiayaan yang lebih pendek.

Beliau menjelaskan, antara perkara paling penting yang perlu diberi perhatian oleh pengguna bukanlah kadar faedah yang kelihatan rendah, sebaliknya jumlah sebenar yang perlu dibayar sepanjang tempoh pinjaman.

Katanya, penggunaan kadar faedah efektif (EIR) dan kaedah baki berkurangan membolehkan pengguna melihat gambaran lebih jelas mengenai kos sebenar pembiayaan, sekali gus membantu mereka membuat keputusan berdasarkan kemampuan kewangan sebenar dan bukan sekadar tertumpu kepada jumlah ansuran bulanan.

“Ketelusan yang lebih tinggi membantu pengguna membuat keputusan yang lebih bermaklumat, mengelakkan komitmen hutang yang berlebihan dan menggalakkan amalan peminjaman yang lebih bertanggungjawab.

“Ini bukan sekadar soal formula pengiraan faedah, tetapi membantu rakyat memahami implikasi kewangan sesuatu pinjaman sebelum mereka membuat komitmen yang mungkin berlangsung sehingga tujuh atau sembilan tahun,” katanya.

— Berita Harian