Hasil Kerajaan Persekutuan Meningkat 25.9 Peratus Kepada RM294.36 Bilion Pada 2022 – LKAN

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) — Hasil kerajaan persekutuan meningkat sebanyak 25.9 peratus atau RM60.61 bilion kepada RM294.36 bilion pada 2022 berbanding RM233.75 bilion yang dicatatkan pada 2021.

Manakala peruntukan muktamad perbelanjaan mengurus yang diluluskan ialah sebanyak RM236.97 bilion dan perbelanjaan mengurus berjumlah RM292.69 bilion.

“Kutipan Hasil Cukai berjumlah RM208.77 bilion, meningkat sebanyak 20.2 peratus daripada RM173.70 bilion pada 2021.

“Peningkatan ketara melibatkan kutipan cukai pendapatan petroleum berjumlah RM11.85 bilion kepada RM23.42 bilion, cukai pendapatan syarikat meningkat RM2.30 bilion kepada RM82.13 bilion dan cukai pendapatan individu yang meningkat RM6.73 bilion kepada RM33.78 bilion,” demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang dikeluarkan hari ini.

Menurut laporan tersebut hasil Bukan Cukai meningkat sebanyak 55.7 peratus kepada RM79.61 bilion pada 2022 berbanding RM51.12 bilion pada 2021, yang mana peningkatan ketara melibatkan terimaan faedah dan perolehan daripada pelaburan yang meningkat 66.3 peratus kepada RM58.22 bilion.

Kenaikan ini disumbang oleh peningkatan dividen daripada syarikat Petroliam Nasional Bhd sejumlah RM50 bilion daripada RM25 bilion pada 2021, selain peningkatan perolehan royalti petroleum kepada RM5.98 bilion.

“Lebihan hasil sebanyak RM1.66 bilion telah dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembangunan menjadikan perbelanjaan mengurus sebenar pada 2022 berjumlah RM294.357 bilion. Perbelanjaan pemberian dan kenaan bayaran tetap merupakan perbelanjaan tertinggi (RM170.243 bilion atau 57.8 peratus) daripada keseluruhan perbelanjaan mengurus,” kata laporan itu.

Perbelanjaan pembangunan kementerian dan jabatan persekutuan adalah sebanyak RM71.574 billon atau 104.5 peratus berbanding peruntukan diluluskan, termasuk sejumlah RM6.07 bilion yang dikenakan dalam tempoh Akaun Kena Bayar.

“Perbelanjaan ini adalah di peringkat Kementerian Kewangan (MOF) dan melibatkan penyaluran peruntukan kepada syarikat Danalnfra Nasional Bhd, Prasarana Malaysia Bhd serta Urusharta Jamaah Sdn. Bhd,” katanya.

Kementerian Kewangan mencatatkan perbelanjaan tertinggi sebanyak RM120.174 bilion atau 40.8 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan mengurus kerajaan persekutuan pada 2022, meningkat RM47.13 bilion atau 64.5 peratus berbanding RM73.05 bilion pada 2021.

“Peningkatan ketara perbelanjaan Kementerian Kewangan melibatkan perbelanjaan subsidi produk petroleum berjumlah RM45.18 bilion, meningkat sebanyak RM35.16 bilion atau 350.8 peratus berbanding RM10.02 bilion pada 2021.

“Perbelanjaan subsidi yang dikenakan kepada vot mengurus berjumlah RM55.44 bilion, meningkat RM42.31 bilion atau 322.1 peratus daripada RM13.134 bilion pada 2021,” katanya.

Menurut laporan tersebut, antara perbelanjaan subsidi yang tertinggi ialah subsidi barangan produk petroleum sebanyak RM45.18 bilion atau 81.5 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan tersebut

Pihak audit telah mengesyorkan kerajaan persekutuan untuk mempertingkatkan disiplin perbelanjaan mengurus, memperkasakan usaha penjanaan hasil dan pemantauan terhadap komitmen bayaran balik pinjaman.

Langkah ini, katanya, penting supaya lebihan hasil dapat dipertingkatkan bagi membiayai perbelanjaan pembangunan dan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman baharu.

Pihak audit juga menyarankan kerajaan untuk memastikan dana Kumpulan Wang Pembangunan dibelanjakan bagi projek fizikal dan bukan fizikal yang termasuk di bawah Rancangan Pembangunan Malaysia lima tahun.

“Perbelanjaan yang bertujuan sebagai penyaluran kepada syarikat bagi tujuan bayaran balik pinjaman perlu dipantau supaya tidak terus meningkat di masa hadapan,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.