MITI Akan Tubuh Jawatankuasa Percepat Pelaksanaan Komitmen FDI, DDI

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) — Kementerian Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) akan menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) untuk memastikan semua komitmen berkaitan perdagangan serta pelaburan langsung asing dan domestik (FDI dan DDI) dilaksanakan secepat mungkin. 

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata jawatankuasa tersebut akan melapor secara terus kepada Majlis Pelaburan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini amat penting dari segi ketelusan dan akauntabiliti MITI dan agensi-agensinya. Juga sebab pelaburan dan perdagangan adalah enjin pertumbuhan Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran aplikasi super TradeSwift DAGANGNET, di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjalankan tugas dengan baik tetapi kementeriannya perlu menyelaraskan dengan lebih terperinci lagi bersama-sama dengan pelbagai agensi kerajaan lain, kementerian, agensi negeri dan syarikat itu sendiri

“Bagi saya, tidak cukup untuk kita mengumumkan sahaja, apa yang kita dapat dari segi komitmen pelaburan, FDI dan DDI dan eksport. Kita mesti menyelaras dan memastikan apa yang kita umumkan direalisasikan dan dilaksanakan segera mungkin.

“Oleh itu, dari segi kekerapan, jawatankuasa ini akan bermesyuarat setiap minggu supaya sebarang isu yang dibangkitkan dapat diselesaikan. Kami (jawatankuasa) boleh bermesyuarat secara dalam talian, secara maya, kami  akan melakukannya dan kemudian kami akan melaporkan (kepada media).

“Apabila kami merangka Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), saya juga menyebut bahawa kami akan melaporkan setiap suku tahun. Kita perlu lebih telus dan bertanggungjawab. Jika kita tidak berkongsi, tekanan akan menjadi terlalu tinggi. Semasa pertemuan dengan komuniti perniagaan, kami dimaklumkan bahawa Malaysia harus mengurangkan proses birokrasi,” katanya.

Menurutnya, terma rujukan (TOR) bagi Jawatankuasa itu sedang dimuktamadkan oleh ketua setiausaha (KSU) dan akan diumumkan kemudiannya.

Terdahulu dalam ucapannya, Tengku Zafrul berkata aplikasi super TradeSwift DAGANGNET itu bertujuan untuk merevolusikan proses perdagangan bagi membantu pengguna melaksana dan mengakses dokumentasi perdagangan mereka pada bila-bila masa, di mana sahaja dalam masa nyata.

“Proses perdagangan melibatkan banyak pertukaran dokumen dan sebelum ini dilakukan secara fizikal atau manual. Dalam persekitaran sedemikian, dokumen pendua diperlukan oleh pihak berkuasa dan agensi yang berbeza untuk kelulusan, yang boleh melambatkan operasi dalam komuniti perdagangan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, pengenalan e-perkhidmatan pemudahan perdagangan akan menyaksikan pertukaran dokumen perdagangan dalam kalangan perniagaan dan pihak berkuasa serta agensi yang memberi kelulusan dilakukan secara elektronik yang mana boleh menjimatkan masa dan kos, mendapat kelebihan kompetitif serta menambah baik kecekapan dan produktiviti.

“Pada skala yang lebih besar, faedah yang diraih oleh komuniti perdagangan boleh memberi sumbangan positif dalam memudahkan urusan menjalankan perniagaan bagi negara dan daya saing sebagai negara perdagangan, dan seterusnya keseluruhan ekonomi,” katanya.

Aplikasi super pemudahan perdagangan terangkum itu yang dilancarkan oleh Dagang NeXchange Bhd (DNeX) melalui anak syarikat milik penuhnya Dagang Net Technologies Sdn Bhd, menawarkan ciri nilai tambah sebagai tambahan kepada e-perkhidmatan berasaskan web syarikat, termasuk yang ditawarkan melalui tetingkap tunggal kebangsaan (NSW) bagi kemudahan perdagangan.

Ia juga menawarkan kepada pengilang, perusahaan kecil dan sederhana, pengimport dan pengeksport, ejen perkapalan dan penghantaran serta penghantar barang kemudahan melaksanakan pelbagai perkhidmatan pemudah cara perdagangan pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja dalam masa nyata.

Pengerusi eksekutif DNeX Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata dengan menggabungkan rangkaian perkhidmatan perdagangan ke dalam satu platform aplikasi mudah alih, aplikasi super itu memudahkan proses perdagangan dan menambah baik masa pusing ganti, yang membawa kepada kemudahan menjalankan perniagaan.

“Direka bentuk sebagai pusat sehenti untuk semua perkhidmatan logistik dan perdagangan rentas sempadan, ia akan membantu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab perdagangan utama dan maju di rantau ini.

“Pelancaran TradeSwift DAGANGNET ialah langkah pertama daripada banyak langkah yang kami lakukan untuk terus meningkatkan tawaran perkhidmatan kami,” katanya.

Syed Zainal berkata kumpulan itu memberi tumpuan untuk mengembangkan keupayaannya dalam bidang teknologi baharu merangkumi aplikasi generasi akan datang, kecerdasan buatan (AI) pengkomputeran awan, analisis data besar, Revolusi Perindustrian 4.0 dan perkhidmatan penyepaduan sistem.

“Memanfaatkan keupayaan teknikal dan kepakaran luas kumpulan dalam pemudahan perdagangan, kami berhasrat untuk membawa teknologi ini ke negara lain,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.