Mogok Boleh Jejas Rantaian Bekalan, Perlu Kerjasama Pihak Terbabit Atasi Isu – Pakar

KUALA LUMPUR, 26 Oktober (Bernama) — Tindakan mogok oleh kumpulan pemandu pengusaha lori baru-baru ini, boleh menjejaskan rantaian bekalan, industri terbabit selain memberi impak sosial dan ekonomi.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Logistik dan Pengangkutan, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr. Rohafiz Sabar, ini juga berpotensi untuk menyebabkan kos meningkat yang terpaksa ditanggung oleh pengguna.

“Perbuatan mogok itu menyebabkan penghantaran tertunda dan menjadikan ketersediaan produk di pasaran tempatan dan luar negara terjejas.

“Peningkatan kos juga mungkin berlaku dan syarikat berkemungkinan terpaksa menggunakan cara pengangkutan alternatif yang selalunya lebih mahal. Ini mengakibatkan peningkatan kos logistik yang mungkin ditanggung oleh pengguna perniagaan serta pengguna akhir,” katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas kumpulan pemandu dan pengusaha lori yang mogok selama tiga hari di beberapa negeri pada 17 Oktober lepas, atas alasan menyatakan bantahan terhadap operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

 Mengulas selanjutnya, Rohafiz berkata perniagaan yang mengalami cabaran untuk mengekalkan tahap inventori optimum, akan turut menyebabkan ketidakpastian penawaran produk di pasaran yang menyukarkan syarikat untuk menguruskan inventori secara berkesan.

Berikutan itu, katanya, pengguna akhir barangan akan mengalami kekurangan produk tertentu yang membawa kepada ketidakselesaan dan potensi kenaikan harga dan seterusnya boleh mempengaruhi tingkah laku pengguna dan corak perbelanjaan mereka.

“Bagi kes serius, kehilangan pekerjaan mungkin juga akan terjadi. Mogok yang berpanjangan berisiko menyebabkan kehilangan pekerjaan dalam pelbagai sektor ekonomi negara,” katanya.

Sehubungan itu, bagi menangani masalah berkaitan, Rohafiz menegaskan bahawa kerjasama dan integrasi kerajaan dan sektor swasta dalam mengatasi mogok terbabit dapat menjadi strategi efektif untuk menanganinya.

“Komunikasi dan dialog dapat mewujudkan mekanisme komunikasi terbuka antara wakil kerajaan, pekerja lori dan wakil syarikat terbabit. Dialog berkala untuk membincangkan isu-isu utama dan mencari penyelesaian bersama, juga wajar dilakukan.

“Perundingan yang aktif berupaya mencapai persetujuan yang memuaskan semua pihak dan mempercepat proses penyelesaian untuk mengelak kesan berpanjangan ke atas rantaian bekalan,” katanya.

Pada masa sama, katanya,  sumber alternatif pengangkutan juga perlu dikenalpasti bagi alternatif pengangkutan seperti rel keretapi, kapal kargo atau penghantaran udara untuk memastikan penghantaran barang berterusan dan tidak terjejas.

Rohafiz turut mengesyorkan agar aspek latihan dan pendidikan berterusan turut diberi bagi meningkatkan kebolehupayaan pemandu lori serta profesionalisme dalam industri pengangkutan.

“Bantuan kewangan dan insentif kepada syarikat terjejas dapat membantu menangani kesan kewangan (akibat) mogok yang berlaku. Pemberian insentif kepada pemandu lori atau syarikat pengangkutan untuk mendorong pemulihan operasi juga patut dipertimbangkan.

“Namun isu asas punca mogok itu perlu dikenalpasti terlebih dahulu agar sebarang langkah yang bersesuaian dapat diambil,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Bank Dunia Turunkan Unjuran Pertumbuhan Global 2026 Kepada 2.5 Peratus

Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan global kepada 2.5 peratus bagi 2026 pada Khamis, daripada 2.9 peratus pada 2025, sekali gus mencatatkan kadar terendah sejak akhir 2019, lapor Agensi Berita Xinhua.

Laporan Prospek Ekonomi Global separuh tahun bank itu memetik faktor kenaikan harga tenaga, inflasi yang lebih tinggi dan peningkatan kos pinjaman di tengah-tengah konflik Asia Barat sebagai punca kepada pengurangan unjuran pertumbuhan berkenaan.

Laporan itu turut memberi amaran bahawa risiko kemerosotan adalah signifikan. Pertumbuhan global boleh terus menyederhana kepada 2.1 peratus jika gangguan bekalan tenaga berlarutan lebih lama dan harga minyak secara purata mencecah US$115 setong tahun ini, yang akan memacu inflasi kepada 4.4 peratus.

Laporan berkenaan menurunkan unjuran pertumbuhan bagi dua pertiga negara berbanding laporan Januari tahun ini, dengan negara-negara Teluk mencatatkan pengurangan paling besar daripada 3.9 peratus pada 2025 kepada hampir sifar pada 2026.

Asia Selatan pula dijangka mencatatkan pertumbuhan paling kukuh berbanding mana-mana wilayah lain pada kadar 6.3 peratus bagi tahun 2026, walaupun angka itu menunjukkan penurunan berbanding tujuh peratus pada 2025.

Selain itu, laporan berkenaan mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus bagi ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada 2026, biarpun ia menarik perhatian bahawa angka terbabit boleh menyusut kepada 2.1 peratus pada 2027 dan dua peratus pada 2028.

Ekonomi di zon euro pula dijangka berkembang pada kadar 0.8 peratus pada 2026, turun daripada 1.4 peratus pada 2025. Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun, ia diunjurkan berkembang 0.7 peratus pada 2026 berbanding 1.1 peratus pada 2025.

Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan global kembali meningkat kepada 2.8 peratus pada 2027, namun kadar itu kekal 0.4 mata peratusan di bawah purata yang direkodkan pada dekad 2010-an.

Walaupun risiko terus memihak kepada kemerosotan ekoran peningkatan permusuhan, gangguan pasaran komoditi dan ketegangan geopolitik yang bertambah, pihak bank menegaskan bahawa tindakan dasar adalah sangat kritikal.

Pada peringkat global, Bank Dunia menggesa negara-negara terbabit untuk melindungi keselamatan tenaga dan makanan serta memajukan peralihan tenaga. Bagi peringkat domestik pula, semua negara digesa mengawal inflasi, memperkukuh kemampanan fiskal dan menyokong pewujudan peluang pekerjaan.

–BERNAMA