KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) — Pengenalan Dasar Francais Negara 2030 (DFN 2030) disasarkan mampu menjana nilai jualan industri francais sehingga RM100 bilion menjelang 2030.
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata dasar tersebut, yang dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun hadapan, dapat mengembangkan lagi industri francais negara ke peringkat antarabangsa.
“Sebelum ini, nilai jualan industri francais negara mengalami pertambahan yang cukup besar, iaitu daripada RM14.6 bIlion pada 2020 kepada RM30 bilion pada 2021.
“… kita juga memfokuskan pengembangan jenama francais tempatan ke peringkat antarabangsa. Setakat ini, 70 jenama francais tempatan telah berjaya menembusi pasaran di 80 negara,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Sidang media itu diadakan selepas pertemuan antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), yang diketuai Armizan, bersama Persatuan Francais Malaysia (MFA) bagi mendapatkan maklum balas berkaitan industri francais.
Selain itu, Armizan berkata satu sesi dialog terakhir bagi membincangkan usaha memuktamadkan DFN 2030 akan diadakan menjelang bulan hadapan bersama pemain industri francais, sebelum ia dibentangkan pada Mesyuarat Kabinet pada Disember ini.
Pada masa sama, beliau berkata fungsi Lembaga Penasihat Francais, yang diwujudkan di bawah Akta Francais 1998 (Akta 590), juga perlu diperkukuhkan supaya dapat memainkan peranan yang lebih aktif dalam menggerakkan DFN 2030 yang bakal digubal kelak.
“Dengan adanya tadbir urus yang mantap, kita percaya komuniti antarabangsa akan meyakini untuk membeli hak membuka francais tempatan di peringkat antarabangsa.
“Fokus sekarang adalah DFN 2030 dan pengukuhan Lembaga Penasihat Francais. Kita harap industri francais dapat memberi sumbangan yang signifikan dalam pembangunan ekonomi negara melalui Kerangka Ekonomi MADANI,” katanya.
— BERNAMA
TAG: Armizan Mohd Ali, francais, DFN 2030