KWSP Peruntuk RM97 Bilion Bagi Pelaburan Domestik Pada 2023 – MoF

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) — Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperuntukkan sebanyak RM97 bilion atau 83 peratus daripada jumlah peruntukan dana untuk pelaburan domestik pada tahun ini, kata Kementerian Kewangan (MoF).

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Selasa, kementerian berkata sejak tahun 2019 hingga 2023, KWSP telah memperuntukkan Alokasi Dana Tahunan purata melebihi 80 peratus untuk dilaburkan dalam pasaran domestik.

“KWSP akan terus memberi keutamaan kepada pelaburan domestik dengan mengalokasikan sebahagian besar daripada dana tahunannya kepada pasaran tempatan termasuk dalam bentuk pasaran wang di bank tempatan.

“Bagi memastikan KWSP dapat mengoptimumkan pelaburannya dengan mampan, Panel Pelaburan KWSP sentiasa berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA) yang mengalokasikan aset pelaburan KWSP dalam pelbagai kelas aset, geografi, mandat dan strategi selaras dengan objektif pelaburan KWSP sebagai sebuah pengurus dana persaraan,” kata kementerian menjawab soalan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya).

Sejak penubuhan KWSP pada tahun 1951 sehingga kini, jumlah keseluruhan aset pelaburan KWSP adalah sebanyak RM1.082 trilion, sebanyak 61.4 peratus daripadanya dilaburkan dalam pelaburan domestik manakala 38.6 peratus lagi dalam pelaburan luar negara, kata MoF.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Menyasarkan Semula Paras MYR4,680 Apabila Rentak Kenaikan Mengukuh

  • Kekalkan pegangan belian

FCPO mengalami permintaan yang kukuh pada hari Rabu dengan meningkat MYR42 untuk ditutup pada paras lebih tinggi sebanyak MYR4,578. Selepas membuka sesi dagangan pada harga lebih rendah iaitu MYR4,527, ia susut ke paras terendah intrahari pada MYR4,491 dan meningkat ke paras tertinggi pada MYR4,583. Sesi dagangan ini ditamatkan dengan corak lilin menaik, yang menandakan kembalinya minat belian. RSI yang bergerak ke atas semula menunjukkan bahawa momentum kembali menyebelahi para pedagang yang meramalkan kenaikan harga.

Mengikut pemerhatian kami, keadaan teknikal yang lebih meluas masih positif, dengan garisan SMA 50 dan 200 hari mengekalkan pergerakan ke atas. Sekiranya komoditi ini bergerak ke paras lebih tinggi, ia membuka ruang untuk penembusan paras rintangan melepasi harga MYR4,680. Hal ini patut menyambung trajektori kenaikan untuk menguji paras MYR4,800. Kami tetap berpegang pada bias dagangan positif melainkan harga jatuh bawah paras sokongan MYR4,400.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan belian yang dimulakan pada penutupan 6 Mac, iaitu MYR4,367. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,400.

Paras sokongan pertama kini berada pada MYR4,500 dan diikuti oleh paras MYR4,400. Sebaliknya, paras rintangan terdekat ialah MYR4,680 dan diikuti oleh MYR4,800.