Hasil Cukai Keuntungan Modal Dianggar RM800 Juta – MoF

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) — Hasil daripada pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal (CGT) yang dijangka bermula 1 Mac 2024 dianggarkan sekitar RM800 juta setahun berdasarkan trend pindah milik saham beberapa tahun terkini, kata Kementerian Kewangan (MoF). 

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Selasa, MoF berkata CGT hanya akan dikenakan kepada pelupus saham tidak tersenarai yang terdiri daripada syarikat, perkongsian liabiliti terhad, koperasi dan badan amanah, sama ada entiti tempatan ataupun asing yang merupakan pemegang saham di dalam sesuatu syarikat. 

“Bagi tujuan ini, pindaan perundangan yang terlibat sedang dilaksanakan. 

“Garis panduan akan turut dikeluarkan bagi memberi penerangan yang lebih jelas berkaitan pelaksanaan CGT,” kata MoF.

Menurut kementerian, keputusan kerajaan untuk tidak mengenakan CGT ke atas saham tersenarai adalah bagi memastikan pasaran modal terus berkembang bagi syarikat-syarikat tersenarai sedia ada dan selari dengan usaha untuk mengekalkan keyakinan pelabur. 

“Langkah ini juga akan dapat meningkatkan tahap daya saing pasaran modal negara di peringkat global,” kata kementerian menjawab soalan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya).

MoF berkata setelah mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada pemegang taruh, kerajaan berpandangan langkah awal melaksanakan CGT dengan tumpuan ke atas pelupusan saham tidak tersenarai dalam syarikat tempatan oleh pembayar cukai selain individu adalah wajar. 

Antara pemegang taruh yang turut memberikan maklum balas adalah Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI),  Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA) 

“Langkah ini adalah selari dengan hala tuju mempermudah serta menambah baik aspek pentadbiran cukai, di samping sebagai salah satu usaha untuk mempelbagaikan sumber hasil pendapatan negara,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PM Anwar Puji Prestasi LHDN, Optimistik Peningkatan Hasil Masa Depan


CYBERJAYA, 10 Mac (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin dengan prestasi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di samping memuji pencapaian serta pelaksanaan sistem baharu agensi itu yang telah meningkatkan kecekapannya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau optimistik dan sangat kagum dengan prestasi LHDN sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya tahun lepas.

“Saya berpandangan ini lebih tersusun dan berstruktur, dan instrumen baharu telah diperkenalkan seperti e-Invois, yang telah membantu,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari HASiL ke-29 di sini, Isnin.

Beliau juga yakin dengan standard dan disiplin semasa, LHDN akan dapat meningkatkan lagi prestasinya dan menyumbang lebih banyak kepada hasil negara.

“Jika LHDN mengekalkan standard dan disiplin sedemikian, mereka akan dapat menyumbang lebih banyak,” kata beliau.

Pada 2024, kutipan cukai langsung Malaysia berjumlah RM184.805 bilion, menandakan peningkatan sebanyak RM1.465 bilion daripada RM183.34 bilion yang dikutip pada 2023.

Terdahulu, dalam ucapan, Anwar berkata kerajaan tidak memberi ruang kepada orang ramai terutama golongan atasan dan maha kaya untuk terlepas daripada memenuhi tanggungjawab membayar cukai sebagai rakyat.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada rakyat atas kepatuhan membayar cukai, terutama tokoh korporat utama yang tanpa kecuali telah memenuhi tanggungjawab masing-masing.

“Saya selalu berkata kepada menteri-menteri agar memberikan sokongan yang kuat (kepada LHDN) sehingga tidak ada yang merayu kepada saya (dari segi pelepasan cukai),” kata beliau.

Beliau berkata integriti yang dimiliki LHDN menjadi asas kepada kejayaan itu.

“(Bagi) Hasil 2024, kita menyatakan kebanggaan dan mencatatkan kejayaan. Kita mempunyai integriti, malah juga menggunakan kaedah dan instrumen yang lebih canggih,” kata beliau.

Anwar berkata Malaysia merupakan antara negara yang menegaskan dasar transformasi digital dengan pelaksanaan e-Invois.

“e-Invois itu akan memperbaiki dan mengurangkan masalah serta ketirisan. Ia sudah dilaksanakan dan saya juga lihat ada pengenalan instrumen baharu yang terus direncanakan dan insya-Allah akan dilaksanakan serta membawa kebaikan,” kata beliau.

Anwar berkata Malaysia juga antara negara ASEAN yang memberikan pelepasan cukai paling banyak, terutama kepada golongan bawahan, B40 dan M40, dengan mengambil kira keperluan keluarga, pendidikan, dan kesihatan.

“Oleh itu, meskipun pelepasan cukai yang diberikan besar, usaha mengumpul hasil tetap perlu dipertingkatkan,” kata beliau.

— BERNAMA