Industri Perkapalan Masih Berdepan Tempoh Sukar

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) — Industri perkapalan tempatan masih bergelut untuk pulih daripada penularan pandemik yang teruk dalam persekitaran cabaran daripada krisis geopolitik, impaknya terhadap harga minyak mentah dan kadar fret yang turun naik serta rantaian bekalan global yang lemah.

Menurut kajian sektor maritim, kerajaan diminta membantu dan menyediakan sokongan kewangan untuk perniagaan yang terjejas akibat COVID-19.

Dalam Belanjawan 2023, kerajaan Malaysia menyediakan Insentif Skim Pembiayaan Maritim dan Logistik bernilai RM1 bilion untuk meningkatkan pertumbuhan industri maritim negara, yang memerlukan banyak sokongan, bagaimanapun, reaksi pasaran menunjukkan pengagihan peruntukan tersebut perlu lebih terbuka dan berkesan.

Bagi sektor kapal sokongan luar pesisir (OSV), Profesor Adjung Universiti Malaysia Terengganu dan Felo Kehormat Institut Maritim Malaysia Nazery Khalid berpendapat bahawa segmen itu dijangka mencatatkan prestasi yang baik.

Beliau berkata sektor OSV disokong oleh aktiviti penerokaan dan pengeluaran (E&P) dalam mencari tenaga hidrokarbon di perairan Malaysia dan seterusnya, yang dijangka kekal berdaya maju, didorong oleh permintaan yang berterusan untuk minyak dan gas.

Menerima pakai alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) 

Dalam langkah ke arah kemampanan, sebahagian penggiat dalam sektor maritim Malaysia telah mengambil langkah untuk mengurangkan jejak karbon mereka bagi mematuhi peraturan antarabangsa dan mencapai sasaran sifar karbon nasional dan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) apabila lebih ramai pemilik kapal beralih kepada bahan api sulfur rendah dan memasang sistem penggahar di kapal mereka untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

“Bagi sektor perkapalan, sebahagian pemilik telah menggantikan kapal lama dengan kapal baharu yang lebih jimat bahan api dengan ciri-ciri mesra alam sejajar dengan peraturan IMO.

“Dorongan untuk industri marin tempatan ke arah hijau diterajui oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) Malaysia dan antara contoh ialah peralihan kepada penggunaan bahan api mampan daripada bahan api bunker yang lebih membawa kepada pencemaran yang digunakan dalam kebanyakan kapal,” katanya.

Beliau menekankan Persatuan Pemilik Kapal Malaysia dan Persatuan Bunkering Malaysia serta penggiat industri dan perkapalan lain telah memulakan perbincangan mengenai penggunaan bahan api mampan dalam kalangan pemilik kapal Malaysia.

“MOT telah mengaktifkan semula Majlis Perkapalan dan Pelabuhan Kebangsaan (NSPC) untuk menyediakan platform kepada persatuan dan penggiat industri untuk berkongsi idea dan pandangan mengenai cara menjadikan peralihan kepada bahan api yang lebih bersih,” katanya.

Pada masa yang sama, Pelabuhan Tanjung Pelepas, usaha sama antara APM Terminals (30 peratus) dan MMC Group, telah dipilih untuk menyertai inisiatif Perkongsian untuk Infrastruktur (P4I), skim penyahkarbonan kerajaan kepada kerajaan antara Malaysia dan Australia.

Projek P4I bertujuan untuk menerajui usaha penyahkarbonan Malaysia dalam industri maritim dan menggalakkan pertumbuhan yang inklusif melalui infrastruktur mampan di Asia Tenggara.

Prospek industri dilihat baik  

Nazery berkata permintaan global dan domestik untuk komoditi dijangka terus kukuh pada 2024 dengan peningkatan populasi dan permintaan daripada perniagaan dan industri, walaupun terdapat langkah-langkah ke arah peralihan tenaga, yang akan memacu permintaan untuk OSV buatan tempatan serta sektor pembinaan kapal dan pembaikan kapal Malaysia, bersama-sama dengan banyak aktiviti sokongan seperti pembuatan dan pembekalan peralatan serta perkhidmatan logistik maritim.

“Lapangan pengkhususan dalam fabrikasi struktur luar pesisir juga akan mendapat manfaat daripada aktiviti E&P,” katanya.

Pengumuman baru-baru ini oleh Petronas bahawa ia, melalui kontraktor penyusunan petroleumnya, telah memulakan pembinaan 11 OSV di bawah fasa pertama Projek Safina yang memberi prospek baik kepada sektor OSV pada 2024.

Projek itu menyasarkan untuk membina sehingga 100 kapal dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang bagi melupuskan kapal lama yang mencapai had umur 15 tahun.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Plus Xnergy Sediakan Salah Satu Sistem BESS Penggunaan Sendiri C&I Terbesar di Malaysia

Kuala Lumpur, 29 Jun 2026 – Plus Xnergy Services Sdn Bhd (Plus Xnergy) hari ini mengumumkan penyambungan grid kapasiti penuh dan pengoperasian komersial salah satu Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (Battery Energy Storage System, BESS) untuk kegunaan sendiri (SELCO) terbesar yang pernah dilaksanakan di Malaysia setakat ini.

Dibangunkan dengan kerjasama peneraju global sistem penyimpanan tenaga, HyperStrong, aset infrastruktur industri berkapasiti 20 megawatt-jam (MWj) ini kini beroperasi sepenuhnya di sebuah fasiliti pembuatan makanan yang terletak di Perak.

Melalui pengecasan tenaga semasa waktu luar puncak (off-peak) dan pelepasan tenaga semasa waktu permintaan puncak, sistem ini mengoptimumkan penggunaan tenaga, menstabilkan turun naik beban tenaga (load fluctuation), meningkatkan kestabilan bekalan kuasa setempat serta mengurangkan caj Kehendak Maksima (Maximum Demand) dengan ketara bagi pembuat makanan tersebut. Konfigurasi ini menawarkan penyelesaian yang kos efektif dan boleh dipercayai untuk mengurangkan kesan peningkatan kos utiliti, sambil menyokong operasi jangka panjang dan objektif penyahkarbonan kemudahan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Plus Xnergy Ko Chuan Zhen berkata, “Kejayaan pelaksanaan projek ini merupakan salah satu pencapaian penting dalam peralihan Malaysia ke arah tenaga bersih. Ia membuktikan bahawa penggunaan BESS bukan sekadar konsep tetapi menjadi kaedah pengoptimuman kos yang berkesan untuk sektor korporat. Berdasarkan data kami, penjimatan diunjurkan sekitar RM1.25 juta setahun bagi setiap BESS berkapasiti10 MWj, bergantung pada profil beban tenaga di bawah kerangka Tempoh Kawal Selia Ke-4 (RP4).”

“Projek ini menjadi titik rujukan sebenar bagi sektor yang menggunakan tenaga secara intensif, seperti pembuatan makanan berskala besar dan industri berat, yang ingin meningkatkan daya saing sambil memenuhi sasaran kemampanan,” tambah beliau.

Pelaksanaan industri ini menggabungkan kepakaran teknikal dan pengalaman kejuruteraan tempatan Plus Xnergy dengan teknologi BESS bersepadu HyperBlock III berganding-AC milik HyperStrong. Dengan mengintegrasikan sistem bateri arus terus (DC) dengan Sistem Penukaran Kuasa (Power Conversion System) bersepadu, reka bentuk khusus ini menghasilkan kecekapan sistem yang lebih tinggi dalam saiz yang lebih kompak. Ia membolehkan proses kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) disiapkan dalam tempoh pantas iaitu hanya 2.5 bulan.

Bagi mempercepatkan penerimaan pasaran dalam keadaan kos operasi yang tinggi bagi pengeluar industri berat, Plus Xnergy menawarkan pelaksanaan sistem ini melalui Perjanjian Perkongsian Prestasi (Performance Sharing Agreement, PSA) tanpa perbelanjaan modal awal. Di bawah model kerjasama komersial selama 15 tahun ini, Plus Xnergy membiayai sepenuhnya, mereka bentuk serta mengurus aset tersebut di lokasi pelanggan, membolehkan pemain industri menikmati pengurangan tarif tenaga serta-merta tanpa memerlukan pelaburan modal permulaan.

Pelaksanaan komersial ini memperkukuhkan portfolio infrastruktur tenaga bersih Plus Xnergy yang semakin berkembang di seluruh Malaysia. Ia menyusuli pelaksanaan BESS utiliti berskala besar natrium-sulfur pertama negara berkapasiti 1.45 MWj di Kedah pada tahun 2024, serta kontrak solar di bawah Program Kuasa Hijau Korporat (Corporate Green Power Programme, CGPP) bernilai RM95 juta yang diperoleh pada tahun 2025.

Terbaharu, pada Januari 2026, Plus Xnergy telah dilantik sebagai kontraktor EPCC bagi yang sedang berjalan di KLIA Aeropolis, yang menggabungkan loji solar fotovoltaik (PV) berkapasiti 36 megawatt puncak (megawatt-peak, MWp) dengan BESS berkapasiti 45 MWh untuk menyokong keperluan operasi harian lapangan terbang KLIA di bawah rangka kerja SELCO.

Dengan kejayaan pengoperasian projek baharu ini, jumlah portfolio BESS Plus Xnergy di seluruh negara kini mencapai 100 MWh merangkumi projek yang telah siap dan sedang dilaksanakan. Kapasiti ini melengkapi jejak tenaga solar bersambung grid syarikat yang melebihi 500 MWp, yang telah menjana sebanyak 3,180 gigawatt-jam (GWj) tenaga bersih setakat ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan Plus Xnergy sebagai peneraju dalam penyediaan penyelesaian tenaga berskala utiliti dan komersial.

Plus Xnergy merupakan anak syarikat milik penuh secara tidak langsung kepada BM GreenTech Berhad (BM GreenTech), yang merupakan salah satu konstituen subsektor khusus Tenaga Boleh Baharu Bursa Malaysia.