Setahun Kerajaan Perpaduan: Tumpu Rancakkan Ekonomi Negara

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) — Kerajaan Perpaduan berlandaskan Ekonomi MADANI dengan menumpukan kebijakan ekonomi untuk meningkatkan pertumbuhan telah membawa hasil terutama dalam sektor baharu seperti digital, tenaga hijau dan tenaga boleh baharu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertumbuhan ekonomi negara turut dibuktikan menerusi peningkatan kemasukan pelaburan asing dengan nilai yang lebih tinggi berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kestabilan politik negara dan dasar ekonomi yang jelas turut menjadi pemangkin dalam menyuntik keyakinan pelabur asing untuk melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menguntungkan.

“Dalam pendidikan masyarakat, hal-hal (berkaitan) tata kelola harus ditegaskan…saya ambil alih kuasa (pentadbiran) dengan satu mandat tanpa bertolak-ansur (terhadap kesalahan tata kelola).

“Saya bersyukur, (dalam tempoh) pentadbiran satu tahun ini, belum ada walau satu sanggahan terhadap mana-mana pemimpin yang mengaut kekayaan secara haram. Ini satu rekod yang tidak boleh dimungkiri kenyataannya,” katanya dalam wawancara khas Setahun Bersama Kerajaan MADANI: Tiwikrama Perdana Menteri terbitan TV3 yang disiarkan secara langsung malam ini.

Perdana Menteri berkata kemasukan pelaburan langsung asing memberi impak positif kepada ekonomi Malaysia dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan terutama dalam kalangan anak muda, selain peningkatan tahap kemahiran dan pengetahuan mereka.

Beliau menegaskan walau bagaimanapun, terdapat cabaran yang perlu ditangani oleh kerajaan iaitu menyediakan bentuk latihan dan kemahiran yang lebih sesuai serta memenuhi kehendak pasaran.

“Tumpuan kerajaan adalah pertumbuhan ekonomi, mutu pendidikan, kemudahan kesihatan yang lebih baik dan sosioekonomi yang lebih baik seperti menokhtahkan kemiskinan tegar dan sekolah daif.

“Melalui pelaburan yang jauh lebih tinggi dan dalam bidang yang dianggap berteknologi tinggi seperti digital dan tenaga boleh baharu, ini akan memberi jaminan untuk pekerjaan yang lebih banyak,” katanya.

Beliau memberi jaminan tumpuan kerajaan pada masa ini adalah menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda, dengan pendapatan tidak tersekat pada kadar RM2,000 sebulan.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bilangan penganggur pada September 2023 menurun 0.6 peratus kepada 573,700 orang berbanding 577,300 orang pada bulan sebelumnya.

Kadar pengangguran pada September kekal pada 3.4 peratus seperti angka pada Ogos.

Baru-baru ini, Anwar memberitahu persidangan Dewan Rakyat bahawa Malaysia berjaya meraih komitmen pelaburan dengan nilai RM347 bilion sepanjang lawatan rasmi serta misi perdagangan dan pelaburan yang diadakan di luar negara.

Beliau berkata pelaburan tersebut diraih di China, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Amerika Syarikat.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kajian UOB: Perniagaan Kekal Berdaya Tahan Pada 2026, Pengurusan Tenaga Jadi Keutamaan Strategik

Kuala Lumpur, Malaysia, 29 Jun 2026 Menurut Kajian Tinjauan Perniagaan UOB 2026, tekanan kos yang semakin meningkat terus menjadi keutamaan perniagaan pada 2026, di mana pengurusan tenaga muncul sebagai bidang tumpuan yang kritikal. Walaupun sentimen keseluruhan kekal positif bagi perniagaan, perusahaan yang lebih kecil mengambil pendekatan lebih berhati-hati berikutan ketidaktentuan ekonomi yang berterusan.

Kajian ini mendapati bahawa 77 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengekalkan tinjauan perniagaan yang positif tahun ini, namun keyakinan di kalangan syarikat lebih kecil adalah lebih sederhana. Walau bagaimanapun, hampir tiga daripada sepuluh PKS terus berdepan tekanan daripada perbelanjaan operasi yang meningkat, kos tenaga kerja yang tinggi, dan kenaikan kadar faedah, justeru mendorong peralihan ke arah strategi pengurusan kos yang lebih ketat.

Pengurusan Tenaga Menjadi Tumpuan Utama

Sebagai tindak balas terhadap turun naik kos yang berterusan, perniagaan semakin beralih kepada pengurusan tenaga sebagai cara praktikal untuk mengurus perbelanjaan. Kira-kira tiga daripada empat perniagaan menganggap pengurusan dan kecekapan tenaga adalah penting, dengan 84 peratus perniagaan dalam sektor pembuatan, kejuruteraan dan perindustrian memberi keutamaan pada pengurusan dan kecekapan tenaga. Keutamaan lain termasuk mengurangkan penggunaan tenaga (48 peratus), menurunkan kos tenaga (44 peratus), dan memastikan terdapat bekalan tenaga yang stabil serta boleh dipercayai untuk operasi mereka (40 peratus).

Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, berkata, “Kajian Tinjauan Perniagaan UOB 2026 menunjukkan bahawa tekanan kos, termasuk kos tenaga dan bahan api, terus membebani kebanyakan perniagaan. Pengurusan tenaga telah menjadi keutamaan praktikal, terutamanya bagi perusahaan sederhana yang berada dalam kedudukan lebih baik untuk melaksanakan inisiatif kecekapan, disokong oleh penyelesaian khusus sektor yang memenuhi keperluan operasi mereka.

Bagi syarikat lebih kecil yang menghadapi kekangan kewangan yang lebih ketat, inisiatif seperti Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS Bank Negara Malaysia (BNM), dilengkapi dengan bantuan daripada kami, membolehkan kami menyediakan sokongan yang praktikal dan tepat pada masanya. Sokongan ini tertumpu pada membantu pelanggan PKS mengurus tekanan aliran tunai, mengekalkan operasi dan mengharungi keadaan pasaran yang sentiasa berubah.”

UOB Malaysia telah memperkukuh sokongan pembiayaannya melalui Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS BNM[1], sekali gus membantu perniagaan mengurus cabaran aliran tunai dan mengekalkan operasi di dalam keadaan pasaran yang sentiasa berubah, termasuk gangguan luaran. Seiring dengan inisiatif ini, Bank kekal komited untuk menyediakan bantuan menyeluruh dan penyelesaian kewangan bagi menyokong PKS dalam membina daya tahan jangka panjang serta mengharungi ketidaktentuan.

Penggunaan penyelesaian kos efektif sudah pun dilaksanakan

Kira-kira dua daripada lima perniagaan telah melaksanakan pemasangan panel solar serta penggunaan pencahayaan cekap tenaga dan LED, didorong kelebihan yang nyata dalam mengurangkan penggunaan tenaga. Selain itu, PKS turut menunjukkan minat yang semakin meningkat terhadap alat digital untuk membantu meningkatkan kecekapan tenaga (48 peratus), menurunkan kos tenaga (44 peratus), dan memastikan bekalan tenaga yang stabil bagi operasi harian (40 peratus).

Daya Tahan Diutamakan Berbanding Pertumbuhan Pesat

Kajian ini menekankan peralihan strategik yang lebih luas di kalangan perniagaan, iaitu ke arah pelaksanaan yang dipacu daya tahan dan bukannya pertumbuhan yang agresif. Pengurusan tenaga semakin dikaitkan dengan objektif daya tahan yang lebih luas, termasuk mengekalkan kestabilan operasi, memastikan kesinambungan rantaian bekalan dan memenuhi jangkaan pelanggan yang sentiasa berubah. Perniagaan yang mengamalkan kepelbagaian pembekal, pengembangan serantau, dan pembuatan setempat turut mengintegrasikan kestabilan tenaga ke dalam strategi pengurusan risiko mereka. Memasuki tahun ketujuhnya, Kajian Tinjauan Perniagaan UOB kini akan dijalankan dua kali setahun dan memperkenalkan bidang tumpuan yang diperluas, menunjukkan bagaimana keadaan ekonomi dan geopolitik yang berubah dengan pantas sedang membentuk semula landskap perniagaan. Edisi 2026 merangkumi tujuh pasaran – Singapura, Indonesia, Malaysia, Thailand, Vietnam, Tanah Besar China dan Hong Kong SAR. Untuk mendapatkan salinan kajian dengan butiran penuh, sila layari https://www.uobgroup.com/asean-insights/articles/uob-business-outlook-study-2026-malaysia-h1.page


[1] Sila rujuk siaran akhbar UOB: UOB Malaysia enhances financing support for SMEs through BNM Stabilisation Relief Facility