Inflasi Malaysia Catat Kadar Perlahan 1.5 Peratus Pada November 2023 – Perangkaan

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) — Inflasi Malaysia terus merekodkan peningkatan pada kadar perlahan 1.5 peratus bagi November 2023 dengan mata indeks mencatatkan 130.9 berbanding 129.0 pada bulan yang sama 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan inflasi ini telah didorong kenaikan perlahan restoran dan hotel sebanyak 4.3 peratus (Oktober 2023: 4.6 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol, 2.6 peratus (Oktober 2023: 3.6 peratus) dan kesihatan, 2.3 peratus (Oktober 2023: 2.4 peratus).

“Selain itu, beberapa kumpulan utama yang menunjukkan peningkatan adalah perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain, 1.7 peratus (Oktober 2023: 1.6 peratus) serta pengangkutan 0.1 peratus (Oktober 2023: 0.0 peratus),” katanya dalam kenyataan mengenai Indeks Harga Pengguna, Malaysia November 2023 yang dikeluarkan pada Jumaat.

Beliau berkata inflasi keseluruhan secara bulanan menunjukkan tiada perubahan pada November 2023 berbanding Oktober 2023 pada 0.1 peratus).

Beberapa kumpulan terus mencatatkan peningkatan secara bulanan antaranya pelbagai barangan dan perkhidmatan (0.4 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.2 peratus) dan kesihatan (0.2%).

Walau bagaimanapun, ia diimbangi dengan penurunan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (-0.3 peratus), katanya.

Mohd Uzir berkata inflasi teras (2.0 peratus) masih melepasi inflasi keseluruhan Malaysia (1.5 peratus).

“Ini didorong oleh kumpulan restorandan hotel serta makanan dan minuman bukan alkohol yang masing-masing mencatatkan peningkatan sederhana 4.3 peratus dan 3.7 peratus pada November 2023,” katanya.

Beliau berkata mengenai inflasi di peringkat negeri, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 1.5 peratus.

“Walau bagaimanapun, lima negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.3 peratus), Sarawak (2.0 peratus), Perak (1.9 peratus), Pulau Pinang (1.8 peratus) dan Selangor (1.7 peratus),” katanya.

Beliau berkata kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan dan minuman bukan alkohol.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Pulau Pinang (3.7 peratus), Sarawak (3.6 peratus), Selangor (3.5 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (3.4 peratus) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (3.0 peratus), katanya.

Beliau berkata sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi makanan dan minuman bukan alkohol nasional iaitu 2.6 peratus pada November 2023.

Mohd Uzir berkata bagi perbandingan dengan negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.5 peratus) adalah lebih rendah berbanding Filipina (4.1 peratus), Vietnam (3.5 peratus), Korea Selatan (3.3 peratus) dan Indonesia (2.9 peratus).

“Namun, kadar tersebut lebih tinggi berbanding Thailand (-0.4 peratus) dan China (-0.5 peratus).

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA