PADU Bantu Kerajaan Ukur Sosioekonomi Rakyat Lebih Tepat — Rafizi

PUTRAJAYA, 2 Jan (Bernama) — Pelaksanaan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang berdasarkan kepada pendapatan boleh guna bersih dapat membantu kerajaan menyediakan pengukuran kedudukan sosioekonomi rakyat dengan lebih tepat serta mengelakkan keciciran. 

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kaedah pengukuran ini mengambil kira jumlah tanggungan dan bilangan isi rumah, kos sara hidup mengikut lokasi, jarak ke tempat kerja serta pemilikan aset seperti rumah, kenderaan dan tanah.

“Pendekatan ini juga membolehkan kerajaan beralih daripada konsep B40, M40 dan T20 tetapi lebih melihat kepada kewajaran pemberian bantuan berdasarkan kriteria yang ditetapkan,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis pelancaran PADU, di sini, hari ini.

Rafizi berkata pembangunan PADU merupakan sebahagian daripada usaha ke arah “Govtech” (teknologi kerajaan) melalui penyediaan pangkalan data utama negara yang selamat, komprehensif dan ‘hampir masa nyata’ yang membolehkan analitik data dihasilkan dengan lebih tepat. 

“PADU juga menyokong tiga aspek utama yang diberi penekanan dalam Govtech, iaitu perkhidmatan awam yang mudah diakses dan berpaksikan rakyat, transformasi kerajaan digital serta sistem kerajaan yang cekap, telus dan tidak rumit.

“Ketersediaan PADU akan membantu penggubalan dasar dan proses pembuatan dasar berpandukan data,” katanya.

Menurutnya, PADU merangkumi profil individu yang mengandungi maklumat asas demografi, alamat, pendidikan, isi rumah, pekerjaan, pendapatan, komitmen dan bantuan yang diterima, dan sebahagian daripada data ini telah dibekalkan oleh pelbagai kementerian dan agensi yang diintegrasikan ke dalam PADU. 

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kementerian dan agensi yang telah membekalkan maklumat serta data dan berharap semoga lebih banyak kementerian dan agensi memberikan kerjasama dalam membekalkan maklumat dan data kepada PADU pada masa hadapan,” katanya.

Walaupun pelbagai maklumat telah diintegrasikan ke dalam sistem PADU, Rafizi berkata masih terdapat maklumat yang perlu dikemas kini oleh setiap individu yang melibatkan 39 variabel. 

Pengemaskinian oleh individu itu sendiri akan dapat menjamin kesahihan maklumat dan data serta menggambarkan status terkini rakyat dalam PADU yang akan dapat menambah baik mekanisme penentuan kumpulan sasar, memperkemas saluran penyampaian dan membolehkan pelaksanaan program yang lebih berkesan, katanya.

Sementara itu, Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata keberhasilan PADU bergantung kepada ketulenan data yang diperoleh daripada rakyat yang mendaftar.

“(Justeru), saya menyeru kepada semua untuk memberikan data yang sebenar semasa membuat pendaftaran dan verifikasi.

“Walaupun kita sudah mempunyai data daripada pelbagai agensi dan kementerian, namun kita memberi peluang kepada rakyat untuk menyemak data utama mereka bagi memastikan data yang kita ada adalah yang paling tepat dan terkini,” katanya.

Untuk terus bergerak ke hadapan, beliau berkata data harus dijadikan sebagai aset strategik negara. 

“Semenjak DOSM memainkan peranannya bermula 1949, ia sentiasa membantu kerajaan menyediakan input untuk pelaksanaan mengukuhkan sistem negara dari segi kemiskinan, kesenjangan dan sebagainya.

“Di peringkat industri dan perniagaan, data dan statistik untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup dan terus bersaing dalam bidang mereka adalah perkara teras untuk mereka terus berkembang dalam perniagaan dan industri,” katanya.

Mohd Uzir berkata PADU memanfaatkan kesemua data rakyat yang sedia ada di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan setakat ini, bergantung kepada tahap umur individu tersebut, yang mana selama ini penggunaan data tersebut terhad kepada agensi yang berkenaan.

“Kita tidak memusatkan data tersebut di platform PADU, data asal kekal di agensi dan kementerian terbabit. Data yang kita perlukan adalah data yang perlu dicantumkan seperti data yang terkini dan sebagainya,” katanya.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

BMI Unjur Pertumbuhan Pinjaman Akan Perlahan Pada Separuh Kedua 2026

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — BMI, sebuah unit Fitch Solutions, menjangkakan pertumbuhan pinjaman akan perlahan pada separuh kedua 2026, memandangkan momentum yang lebih kukuh daripada jangkaan setakat ini.

Susulan itu, firma penyelidikan itu menyemak semula unjuran pertumbuhan pinjaman Malaysia kepada 5.0 peratus menjelang akhir 2026, berbanding 4.6 peratus sebelum ini.

Dalam satu kenyataan, ia memaklumkan bahawa pertumbuhan pinjaman bank meningkat sejak beberapa bulan lepas, daripada 4.7 peratus pada Januari kepada 5.7 peratus pada Mei.

Menurut BMI, pertumbuhan ekonomi Malaysia yang perlahan akan menjejaskan pertumbuhan kredit bagi beberapa suku tahun akan datang, dengan mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar menyusut kepada 4.3 peratus pada 2026 daripada 5.2 peratus pada 2025, ia akan berada di paras bawah unjuran semakan kerajaan sebanyak 4.0-5.0 peratus.

Pada masa sama, konflik berterusan antara Amerika Syarikat dan Iran menimbulkan risiko penurunan terhadap pandangan (unjuran) ini.

“Pasukan global kami baru-baru ini menyemak semula unjuran mereka untuk pertumbuhan global kepada 2.4 peratus pada 2026, berbanding 2.8 peratus sebelum ini.

“Sehubungan itu, kami mengingatkan bahawa kelembapan pertumbuhan dalam rakan dagang utama Malaysia boleh mengatasi daya tahan permintaan domestik, sektor pembinaan akan menerima kesan paling teruk,” menurut BMI.

Bagaimanapun, menurut firma penyelidikan itu, bagi Malaysia, kelembapan dalam pertumbuhan kredit mungkin bukan satu perkembangan yang negatif sepenuhnya, terutamanya untuk isi rumah Malaysia yang merangkumi 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman.

Data daripada Bank of International Settlements menunjukkan kredit kepada isi rumah berada pada paras 69.8 peratus daripada KDNK pada suku keempat 2025, manakala nisbah khidmat hutang mencecah paras tertinggi dalam tempoh empat tahun iaitu 15.5 peratus setakat suku keempat 2025, menurut BMI.

Sementara itu, pinjaman isi rumah dijangka terus perlahan pada 2026, disokong oleh jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus sehingga 2027, sekali gus membayangkan kadar pinjaman akan kekal tinggi untuk beberapa suku tahun kelak.

“Dalam persekitaran ini, kami percaya risiko kestabilan kewangan kekal rendah. Selain itu, BNM mengumumkan kemudahan bantuan kestabilan bernilai RM5 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai persediaan menghadapi kemungkinan konflik di Asia Barat akan membawa kepada lonjakan ‘pinjaman lapuk’ (pinjaman tidak berbayar) dalam kalangan bank tempatan.

“Bagaimanapun, buat masa ini, kebanyakan petunjuk menunjukkan sektor perbankan kekal berada dalam keadaan yang sihat,” menurut kenyataan itu.

Setakat suku pertama 2026, nisbah modal agregat sistem perbankan berada pada paras 18.1 peratus – jauh lebih tinggi daripada syarat minimum kawal selia sebanyak 10.5 peratus (8.0 peratus daripada jumlah nisbah modal dan 2.5 peratus penampan modal).

“Walaupun nisbah Ekuiti Biasa Tahap 1 dan nisbah Modal Tahap 1 menyusut sedikit pada 2025, ia kekal berada di atas keperluan Basel III, masing-masing ditetapkan pada 4.5 peratus dan 6.0 peratus,” menurut BMI.

— BERNAMA