Pelancaran PADU Sedia Perkhidmatan Lebih Baik Kepada Rakyat

PUTRAJAYA, 2 Jan (Bernama) — Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) merupakan inisiatif kerajaan yang amat baik bagi menghubungkan data dalam satu sistem yang bersepadu dengan menggabungkan semua maklumat dari jabatan dan agensi kerajaan.

Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd Tan Sri Jamaluddin Ibrahim berkata pengenalan pangkalan PADU adalah tepat pada masanya untuk menyediakan perkhidmatan yang unggul kepada rakyat.

“Saya merupakan sebahagian dari Jawatankuasa Ekonomi Digital. Kami menghasilkan kajian untuk menghubungkan semua data bersama. Ia menjadi masalah besar kerana semuanya agak terpisah dan kami perlu membawa mereka bersama-sama dalam memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada orang ramai.

“Ini (pelancaran PADU) adalah satu pencapaian yang mengkagumkan. Akhirnya, ia berlaku,” katanya kepada Bernama

PADU merupakan satu pangkalan data sosioekonomi negara yang bersepadu dengan menggabungkan semua data dari jabatan dan agensi kerajaan untuk memberi gambaran seadilnya mengenai kedudukan sosio-ekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia.

Untuk rekod, PADU dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam dari tiga agensi utama yang terdiri daripada Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang turut melibatkan kerjasama semua agensi lain.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali Mydin berkata perlaksanaan sistem PADU ini sesuatu yang dinantikan oleh komuniti perniagaan di Malaysia dalam usaha menangani ketirisan subsidi

“Dengan sistem PADU ini, harapannya wujud subsidi bersasar yang lebih berkesan selain dapat mencapai golongan sasar secara lebih menyeluruh.

“Dengan pelancaran PADU ini, kerajaan akan dapat mengenalpasti kumpulan sasar (yang memerlukan bantuan) dengan lebih terperinci. Bagi saya PADU ini dilancarkan pada masa yang amat tepat” katanya.

Bersempena dengan peluncuran PADU, Ameer Ali berkata pasaraya Mydin turut menyediakan tawaran istimewa, yang mana individu yang telah mendaftar dengan sistem PADU boleh menebus vaucer diskaun dari pasaraya tersebut.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA