Borang Nyata Cukai Keuntungan Modal (BNCKM) Telah Dimuat Naik, Mudahkan Kemuka Borang Mulai 1 Mac – LHDN

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan bahawa Program Memfail Borang Nyata Cukai Keuntungan Modal (BNCKM) telah dimuat naik di Portal Rasmi HASiL sebagai rujukan dan panduan kepada pembayar cukai bagi tujuan mengemukakan BNCKM mulai 1 Mac 2024. Dokumen tersebut boleh diakses dan dimuat turun mengikut panduan mudah seperti yang berikut:

  • i. Layari Portal Rasmi HASiL di www.hasil.gov.my
  • ii. Klik menu Borang > Program Memfail Borang Nyata CKM
  • iii. Atau menerusi capaian pantas di pautan berikut:

Versi Bahasa Malaysia:
https://www.hasil.gov.my/borang/program-memfail-borang-nyata-ckm/

Versi Bahasa Inggeris:
https://www.hasil.gov.my/en/forms/cgt-return-form-filing-programme/

Mulai 1 Januari 2024, syarikat, perkongsian liabiliti terhad, badan amanah dan koperasi yang menerima laba atau keuntungan daripada pelupusan aset modal yang terdiri daripada:

  • i. Saham syarikat tidak tersenarai yang diperbadankan di Malaysia; atau
  • ii. Saham syarikat terkawal diperbadankan di luar Malaysia yang memiliki harta tanah yang terletak di Malaysia atau saham syarikat terkawal lain atau kedua– duanya di bawah seksyen 15C Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967),

adalah tertakluk kepada Cukai Keuntungan Modal (CKM) di bawah ACP 1967.

Entiti Labuan (Syarikat Labuan, Perkongsian Liabiliti Terhad Labuan, Yayasan dan Amanah Labuan) yang memilih atau tertakluk kepada pengenaan cukai di bawah ACP 1967 adalah juga tertakluk kepada pengenaan CKM. Pengemukaan BNCKM dan bayaran CKM hendaklah dibuat dalam tempoh 60 hari dari tarikh pelupusan aset modal.

Walau bagaimanapun, pelupusan aset modal tersebut bagi tempoh 1 Januari 2024 hingga 29 Februari 2024 adalah dikecualikan cukai dan TIDAK tertakluk kepada pengemukaan BNCKM.

Pelaporan CKM adalah mandatori melalui medium elektronik e-CKM. Pembayar cukai atau ejen cukai berlesen yang dilantik boleh mengakses e-CKM melalui portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my.

Sejajar dengan transformasi teknologi dan pendigitalan sistem perkhidmatan percukaian serta komitmen bagi meningkatkan tahap perkhidmatan pelanggan, HASiL mewajibkan penggunaan e-Perkhidmatan bagi perkhidmatan-perkhidmatan yang telah disediakan secara dalam talian melalui gerbang perkhidmatan Portal MyTax mulai 1 Januari 2024.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami melalui:

a) Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
b) HASiL Live Chat; dan
c) Borang Maklum Balas di Portal Rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/

Previous ArticleNext Article

FCPO: Pemulihan Harga Yang Sementara

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO meneruskan lantunan teknikalnya untuk sesi kedua pada hari Selasa apabila menaik MYR23 untuk ditutup pada paras MYR4,496. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada harga MYR4,461. Pada awalnya, ia jatuh kepada paras terendah bernilai MYR4,445 sebelum sentimen menaik membawanya lebih tinggi kepada paras MYR4,510. Walaupun penutupan dagangan positif, pergerakan menaik ini hanyalah dianggap sebagai satu koreksi harga dalam trend pasaran yang menurun. Komoditi ini terus berada di bawah garisan SMA 50 hari yang sekarang berperanan sebagai rintangan overhed yang dinamik.

Apabila harga menaik, paras rintangan kuat dijangka muncul pada paras MYR4,700. Berdasarkan pasaran teknikal ini, mereka yang menjangkakan penurunan harga masih mempunyai kelebihan teknikal. FCPO mungkin menyambung semula koreksi harga sebaik sahaja ia gagal menembusi paras rintangan overhed yang dinamik itu – garisan SMA 50 hari. Buat masa sekarang, kami bertindak mengekalkan bias dagangan negatif.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi kekal kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama ialah MYR4,390, yang diikuti oleh paras MYR4,300. Sementara itu, paras rintangan pertama kini berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840.