SC Kenakan Pertuduhan Terhadap Bekas Penganalisis Bank Kerana Melakukan Aktiviti Pasaran Modal Tidak Berlesen

Tertuduh juga dikenakan pertuduhan kerana menyalahgunakan gelaran ‘perunding
unit amanah’

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) semalam telah mengenakan pertuduhan terhadap
Mohd Arif Fadzlee bin Mohd Arifin (Arif), bekas penganalisis bank dan pemilik
perniagaan kerana dua kesalahan berkaitan aktiviti pasaran modal tidak berlesen dan
penyalahgunaan gelaran ‘perunding unit amanah’.

Bagi pertuduhan pertama, Arif dikenakan pertuduhan mengikut seksyen 59(1) Akta
Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana menyatakan dirinya sebagai
wakil CIMB Wealth Advisors Berhad dalam berurusan dalam sekuriti tanpa lesen. Jika
sabit kesalahan, kesalahan ini boleh membawa hukuman denda maksimum RM5 juta
atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Arif juga dikenakan pertuduhan di bawah seksyen 362(3) CMSA kerana menggunakan
gelaran ‘perunding unit amanah’, yang memberi tanggapan bahawa dia dilesenkan
untuk berurusan dalam sekuriti, sedangkan sebaliknya. Kesalahan ini membawa
hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau
kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan didakwa berlaku pada tahun 2011 di Petaling Jaya dan Nilai.
Arif menuntut dibicarakan bagi kedua-dua pertuduhan di mahkamah berasingan.
Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Datin Sabariah binti Othman membenarkan
ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan di bawah seksyen
59(1) CMSA. Selain itu, beliau juga diperintahkan untuk menyerahkan pasportnya
kepada mahkamah dan melaporkan diri kepada SC setiap bulan sehingga selesai
perbicaraan.

Bagi pertuduhan di bawah seksyen 362(3) CMSA, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala
Lumpur Tuan Azrul bin Darus turut membenarkan ikat jamin RM30,000 tetapi dengan
dua penjamin. Arif juga diperintahkan untuk menyerahkan pasportnya kepada
mahkamah dan melaporkan diri kepada SC setiap bulan.
Urus niaga dalam sekuriti merupakan aktiviti terkawal seperti yang dinyatakan dalam
Jadual 2 CMSA, dan mana-mana individu yang menjalankan aktiviti ini perlu dilesenkan
oleh SC.

SC menasihatkan pelabur supaya berhati-hati apabila menilai peluang pelaburan.
Senarai Peringatan Pelabur SC sentiasa dikemas kini untuk membantu orang ramai
mengenal pasti platform, syarikat atau individu yang tidak dibenarkan / tidak berlesen.
Pertanyaan lanjut boleh dibuat kepada Pejabat Pengguna dan Pelabur SC di 03-6204
8999 atau e-mel: [email protected].


SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Previous ArticleNext Article

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.