Pulau Pinang Rekod Aliran Masuk Pelaburan RM71.9 Bilion Pada 2023, Tertinggi Di Malaysia

GEORGE TOWN, 15 Mac (Bernama) — Pulau Pinang berjaya merekodkan aliran masuk pelaburan berjumlah RM71.9 bilion pada 2023, yang tertinggi di Malaysia, menurut Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata pertumbuhan luar biasa tersebut didorong pelaburan langsung asing (FDI) yang menyumbang RM61.7 bilion atau 85.8 peratus daripada aliran masuk pelaburan pembuatan negeri itu dalam tempoh berkenaan.

“Angka tersebut secara tidak langsung menggariskan keyakinan teguh pelabur antarabangsa terhadap potensi negeri ini dan peluang menarik yang ditawarkan secara menyeluruh. 

“Hasil dasar ekonomi negeri yang jelas, mesra pelabur dan kompetitif di peringkat serantau, Pulau Pinang berjaya merekodkan aliran masuk pelaburan yang amat menggalakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena majlis penghargaan syarikat yang terlibat dalam Pusat Inovasi Teknologi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) (NTIC) Centre of Excellence (CoE) di Pulau Pinang di sini hari ini.

Chow berkata menerusi kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), negeri ini berjaya memudah cara pelaburan RM13.67 bilion, sekali gus mewujudkan lebih 14,000 peluang pekerjaan pada tahun lepas.

Sementara itu, beliau yang juga EXCO Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi berkata NTIC yang dibangunkan oleh NCIA di Bayan Lepas dijangka siap pada suku ketiga tahun ini.

NTIC akan menjadi platform utama dalam menarik pelaburan berkaitan teknologi ke NCER khususnya di Pulau Pinang menerusi kerjasama antara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, syarikat multinasional serta ahli akademik, katanya.

Beliau berkata NTIC merupakan inisiatif ‘Kampus Tunggal’ yang memfokuskan kepada aktiviti berkaitan penyelidikan, reka bentuk, teknologi, inovasi dan pengkomersialan.

Menyentuh mengenai program CoE, NTIC Pulau Pinang, beliau berkata 12 penyedia CoE NTIC telah dilantik sejak pelancaran program tersebut pada Mei lepas dan mencatatkan pelaburan RM73.67 juta.

“Penyedia CoE yang dilantik hari ini memberi tumpuan kepada menyokong pembangunan PKS tempatan di bawah program Pengguna NTIC CoE, dan setakat ini, terdapat lapan syarikat PKS di negeri ini mendaftar untuk program berkaitan,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pelaburan Jepun Dalam E&E Cecah RM10.5 Bilion, Bakal Wujud 9,009 Peluang Pekerjaan – MITI

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) — Pelaburan dari Jepun yang diluluskan dalam sektor pembuatan elektrik dan elektronik (E&E) bagi 2021 hingga 2025 berjumlah RM10.5 bilion meliputi 46 projek dan dijangka mewujudkan 9,009 peluang pekerjaan baharu, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Kementerian itu memaklumkan pelaburan Jepun yang diluluskan dalam sektor infrastruktur digital, khususnya pusat data pula berjumlah RM1.79 bilion menerusi dua projek di bawah insentif Skim Pecutan Ekosistem Digital (DESAC) dan berpotensi menjana 80 peluang pekerjaan baharu.

“Dari segi sumber daya maju ekonomi khususnya menjelang 2027, pelaburan dari Jepun ini akan dapat merangsang pertumbuhan industri bernilai tambah tinggi, meningkatkan produktiviti, serta eksport dan daya saing Malaysia.

“Selain membuka peluang perniagaan baharu kepada vendor tempatan dalam membekalkan bahan mentah, mesin, peralatan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan (MRS), ia juga dapat meningkatkan permintaan terhadap perniagaan sokongan seperti peruncitan, logistik dan pelbagai perkhidmatan berkaitan,” tambah MIII.

Kementerian itu memaklumkan demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini bagi menjawab soalan Senator Datuk Dr Mustafa Musa mengenai impak pelaburan langsung asing (FDI) Jepun dalam sektor digital, kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan elektronik.

Beliau juga ingin tahu peluang pekerjaan serta pembangunan ekonomi negara dan negeri yang dapat diraih hasil daripada pelaburan berkenaan menjelang 2027.

Menurut MI’II, penglibatan syarikat multinasional Jepun dalam rantaian bekalan tempatan akan membantu memperkukuh keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi pemindahan teknologi, automasi dan penerapan piawaian pengeluaran bertaraf tinggi.

Jelasnya, usaha itu secara langsung menyokong salah satu sasaran dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) bagi mewujudkan 3,000 kilang pintar menjelang 2030.

“Negeri-negeri yang mempunyai hab perindustrian sedia ada seperti Pulau Pinang, Selangor, Johor, Kedah dan Melaka dijangka dapat menerima manfaat yang lebih besar melalui pertumbuhan kluster elektronik, pusat data dan industri Al yang mampu meran cakkan lagi ekonomi setempat,” tambah kementerian itu.

Menurut MI’II, manfaat pelaburan Jepun dalam sektor digital, Al dan pembuatan elektronik dijangka dapat dilihat menerusi peningkatan aktiviti ekonomi serta pembangunan ekosistem industri berteknologi tinggi di negeri yang menjadi lokasi projek menjelang 2027.

Sehubungan itu, kementerian berkenaan menambah kerajaan menerusi MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus komited menarik pelaburan berteknologi tinggi dan berimpak tinggi ke seluruh negara.

Ini termasuk pelaburan dari Jepun yang terkenal dengan keupayaan teknologi, inovasi, amalan pengurusan berkualiti tinggi serta komitmen terhadap pembangunan industri yang mampan dan bernilai tambah tinggi.

— BERNAMA