Penilaian Cadangan Konsep HSR Fokus Untuk Minimumkan Implikasi Kewangan Kerajaan – Loke

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) — Kementerian Pengangkutan akan meneliti cadangan konsep projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dengan fokus untuk meminimumkan implikasi kewangan kepada kerajaan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang mengesahkan beliau telah menerima laporan awal daripada MyHSR Corporation Sdn Bhd untuk projek HSR berkata, penilaian itu masih belum dimuktamadkan di peringkat kementerian.

“HSR sedang dinilai MyHSR dan pengurusan telah memberi laporan awal kepada saya, tetapi di kementerian belum dimuktamadkan penilaian itu. Apabila dimuktamadkan penilaian itu, kita akan bawa kepada jemaah menteri,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berhubung status terkini projek HSR dan sama ada projek berkenaan dibiayai oleh kerajaan.

Loke turut menegaskan bahawa projek HSR diteraju sektor swasta tanpa sebarang suntikan dana kerajaan.

“Prinsip kita supaya projek ini mesti diteraju swasta tanpa suntikan modal daripada kerajaan. Itu prinsip yang kita telah letakkan, tetapi adakah sepenuhnya atau ada apa-apa komponen melibatkan implikasi kewangan, itu yang kita kena kita lihat,” katanya.

Pada 4 Mac lepas, Kementerian Pengangkutan berkata penilaian terhadap tujuh cadangan konsep yang diterima daripada firma atau konsortium yang berminat untuk terlibat dalam projek HSR dijangka mengambil masa dua bulan untuk disempurnakan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA