KWSP Terima Lebih 2 Juta Permohonan Pemindahan Amaun Permulaan Dari Akaun Sejahtera Ke Akaun Fleksibel

KWASA DAMANSARA, 27 Mei 2024: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa setakat 22 Mei 2024, sebanyak 2.86 juta permohonan pindahan amaun permulaan telah diterima dan dipindahkan dari Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel melibatkan jumlah sebanyak RM8.78 bilion, selepas pilihan ini dibuka kepada ahli pada 12 Mei 2024. Sementara itu, sebanyak 3.04 juta permohonan Pengeluaran Akaun Fleksibel telah diluluskan melibatkan jumlah sebanyak RM5.52 bilion.

Ketua Pegawai Operasi KWSP Encik Sazaliza Zainuddin berkata, “KWSP menjangkakan jumlah permohonan untuk pemindahan amaun permulaan daripada Akaun Sejahtera mereka kepada Akaun Fleksibel akan terus meningkat sehingga tarikh tutup pada 31 Ogos 2024. Kami juga gembira melihat peningkatan ketara permohonan melalui aplikasi mudah alih KWSP i-Akaun.  Ini mencerminkan usaha kami untuk meningkatkan pengalaman dan kebolehcapaian pengguna, di samping kami terus berinovasi dan mengembangkan penawaran digital kami.

Bermula 12 Mei 2024 hingga 31 Ogos 2024, ahli diberi pilihan untuk memindahkan satu pertiga daripada baki simpanan mereka daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel. Pemindahan amaun awal ke Akaun Fleksibel adalah tertakluk kepada baki dalam Akaun Sejahtera ahli pada tarikh permohonan dibuat. Pengeluaran dari Akaun Fleksibel boleh dibuat pada bila-bila masa untuk sebarang tujuan, dengan pengeluaran minimum RM50.

Memandangkan tarikh tutup pilihan untuk memindahkan sebahagian daripada simpanan dalam Akaun Sejahtera kepada Akaun Fleksibel adalah pada 31 Ogos 2024, ahli dinasihatkan supaya tidak tergesa-gesa membuat pemindahan. Ahli yang masih belum mendaftar dengan KWSP i-Akaun digalakkan berbuat demikian bagi membolehkan transaksi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel. Ahli dinasihatkan untuk mendaftar atau mengemaskini nombor telefon bimbit mereka melalui Terminal Layan Diri (SST) yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP bagi tujuan menerima Kod Kebenaran Urus Niaga (TAC) bagi mengesahkan identiti mereka semasa menjalankan transaksi.

Untuk maklumat lanjut mengenai Penstrukturan Semula Akaun KWSP dan perincian berkaitan pilihan pemindahan amaun permulaan, ahli boleh rujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000. 

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP 
Jabatan Hal Ehwal Korporat
27 Mei 2024

Previous ArticleNext Article

KWSP: FBM KLCI Lebih Luas Kurangkan Penumpuan Sektor Perbankan

KUALA LUMPUR, (Bernama) — Usaha memperluas komponen indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melebihi 30 syarikat konstituen sedia ada dijangka dapat mengurangkan kebergantungan indeks penanda aras itu terhadap sektor perbankan, kata Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Mohamad Hafiz Kassim.

Beliau berkata langkah itu akan memperluas liputan indeks kepada lebih banyak sektor, sekali gus mempelbagaikan komposisi FBM KLCI dan mengurangkan tumpuan terhadap saham perbankan.

“Terdapat beberapa sesi libat urus mengenai cadangan memperluas definisi FBM KLCI melebihi 30 syarikat konstituen dan perkara ini amat dialu-alukan.

“Langkah ini akan menjadikan indeks lebih pelbagai dengan mengurangkan tumpuan kepada sektor perbankan. Justeru, tekanan terhadap bank untuk terus mencatat prestasi kewangan yang kukuh juga akan berkurangan,” katanya pada sesi pleno bertajuk ‘Ringgit and Financial Market: Perspective on Current Trends’ sempena Simposium Sasana 2026 hari ini.

Mohamad Hafiz berkata saham sektor perbankan kini menyumbang kira-kira 40 peratus daripada wajaran FBM KLCI.

Beliau berkata empat saham perbankan, iaitu Maybank, CIMB Group, Public Bank dan AMMB Holdings, kini berada dalam kelompok 10 syarikat konstituen terbesar dalam indeks berkenaan.

Pada April lalu, FTSE Russell mencadangkan semakan terhadap metodologi indeks bagi meningkatkan perwakilan pasaran dan memperkukuh kepelbagaian sektor, sekali gus memastikan FBM KLCI dan FBM70 terus kekal sebagai penanda aras yang relevan serta berkesan bagi pasaran Malaysia.

Antara cadangan utama ialah memperluas bilangan syarikat konstituen FBM KLCI daripada 30 kepada 50, selain memperkenalkan mekanisme pilihan had wajaran maksimum 10 peratus bagi setiap syarikat untuk mengurangkan risiko penumpuan.

Sekiranya diluluskan, perubahan yang dicadangkan terhadap FBM KLCI dan FBM70 dijangka berkuat kuasa sama ada pada 21 Dis, 2026 atau 21 Jun, 2027, tertakluk kepada hasil proses perundingan pasaran.