12 Saham Syarikat Malaysia Paling Baik Di Asia Tenggara, Negara Di Landasan Betul – Rafizi

NIBONG TEBAL, 10 Jun (Bernama) — Sebanyak 12 syarikat Malaysia telah disenaraikan dalam 15 saham syarikat yang mencatatkan prestasi paling baik di Asia Tenggara untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata pemantau ekonomi telah menyenaraikan 15 saham syarikat yang mencatatkan keuntungan paling mendadak di Asia Tenggara dan 12 daripadanya merupakan syarikat Malaysia, sekali gus menunjukkan negara kembali berada di landasan baik di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan.

“Kestabilan politik sudah ada, mata wang Malaysia juga antara paling baik pada tahun ini dari segi pengukuhan dan dengan unjuran ini, negara kita dijangka akan terus menjadi negara yang berpotensi di Asia Tenggara.

“Kita mula melihat tanda-tanda ekonomi yang semakin baik. Jika ini berterusan, unjuran menjelang 2027, 2028, Malaysia boleh diiktiraf dan diumumkan sebagai sebuah negara maju yang baharu,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di sini malam tadi.

Mengenai harga minyak dan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, beliau yang juga Timbalan Presiden PKR berkata dahulu, harga minyak sebanyak RM1.90 dan subsidi kerajaan berjumlah RM3 bilion daripada bajet bernilai lebih RM200 bilion.

“(Tetapi) sekarang, subsidi berjumlah RM60 bilion, harga minyak mentah US$80. Saya sebut dahulu, kalau harga minyak mentah rendah dan subsidi masih boleh ditanggung, kenapa hendak hapuskan subsidi.

“Sekarang, apabila subsidi telah mencecah RM60 bilion, nak buat sekolah tak boleh, naik gaji tak boleh dan subsidi yang harga rendah itu yang dapatnya orang kaya, bukankah lebih baik (jika) kita alihkan subsidi itu.

“Maksudnya, subsidi itu terus diberi kepada kenderaan awam, lori kecil, peniaga, malah orang biasa asalkan ada kenderaan diesel dan mereka yang berpendapatan bawah RM100,000 setahun pun dapat RM200 sebulan,” katanya.

Rafizi berkata pelaksanaan penyasaran subsidi diesel juga membantu kerajaan mengagihkan subsidi tersebut kepada keluarga yang memerlukan secara bulanan berbanding membayar berbilion ringgit kepada syarikat minyak. 

Semalam, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula 12.01 tengah malam tadi.

Di bawah BUDI MADANI, bantuan tunai RM200 sebulan diberikan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kajian Segmen Pasaran SC Perkukuh Rangka Kerja Pasaran Awam

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan Garis Panduan Ekuiti yang disemak semula serta Kertas Respons, memperkenalkan penambahbaikan bersasar terhadap rangka kerja pasaran utama.

Inisiatif ini bertujuan meningkatkan akses kepada penyenaraian awam bagi penerbit, di samping memperjelas peranan serta memperkukuh pembezaan antara setiap segmen pasaran seperti berikut:

  • Pasaran Utama  – Pasaran utama bagi syarikat lebih besar dan dikenali
  • Pasaran ACE        – Pasaran bagi syarikat kecil dan sederhana yang berfungsi sebagai laluan peralihan ke Pasaran Utama

Penambahbaikan ini adalah susulan proses rundingan awam yang telah selesai  pada Disember 2025 di bawah kajian segmentasi pasaran, dengan mengambil kira maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan.

Cadangan yang diterima pakai bagi Pasaran Utama akan berkuat kuasa pada 3 Jun 2026 melalui Garis Panduan Ekuiti yang disemak semula.

Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata penambahbaikan ini mencerminkan komitmen berterusan SC terhadap pengawalseliaan yang bersesuaian dengan tujuan (fit-for-purpose) — seimbang, memudah cara serta responsif terhadap  evolusi model perniagaan.

“Usaha ini menyokong inisiatif lebih luas SC dalam meningkatkan kecekapan kawal selia dan kecemerlangan tadbir urus seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030,” katanya.

Penambahbaikan utama termasuk:

  • Pasaran Utama: Keperluan keuntungan yang lebih tinggi, kualiti pelaporan kewangan yang diperkukuh, penambahan fleksibiliti dalam penilaian aliran tunai operasi serta peluasan kelayakan bagi penyenaraian berasaskan infrastruktur.
  • Pasaran ACE: Diperkukuh sebagai pasaran berasaskan penaja (sponsor-driven), dengan keperluan rekod prestasi minimum dua tahun selepas penyenaraian sebelum boleh dipindahkan ke Pasaran Utama, pemansuhan pengecualian terhadap penajaan dan moratorium, serta pengenalan keperluan peruntukan pegangan saham awam minimum.

Dato’ Faiz menambah, “Secara keseluruhannya, segmentasi yang lebih jelas ini memperkukuh pembezaan antara lapisan pasaran, meningkatkan kualiti penyenaraian serta menyediakan laluan peralihan yang lebih tersusun bagi syarikat untuk berkembang daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama.”

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman berikut: