Eq8, Yayasan Waqaf Malaysia Lancar ETF Wakaf Pertama Di Bursa Malaysia Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Kenanga Investors Bhd, Eq8 Capital Sdn Bhd mengumumkan kerjasama strategik baharu dengan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bagi pelancaran dana dagangan bursa (ETF) bercirikan wakaf pertama di Bursa Malaysia tahun ini.

Eq8 berkata kerjasama berkenaan adalah perkongsian berterusan antara syarikat induknya dan YWM sejak pelancaran Dana Wakaf Al-Ihsan Kenanga pada 2021, diikuti dengan Siri Kemampanan Kenanga: Dana Wakaf Musa’adah Kecemasan pada 2022.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors Datuk Ismitz Matthew De Alwis berkata kumpulan itu akan terus meneraju tanggungjawab untuk mempromosikan produk pasaran modal berkaitan wakaf.

“Kami yakin inisiatif baharu ini akan menyumbang dengan lebih besar kepada pertumbuhan pasaran ETF dengan menarik pelabur yang bukan sahaja berminat dengan manfaat kewangan ETF seperti kepelbagaian dan mudah tunai,  malah memberi impak sosial yang positif melalui pelaburan mereka.

“Dengan menyatukan keuntungan kewangan dengan pulangan sosial, kami boleh menarik minat pelabur yang lebih luas, menggalakkan inovasi dan pengembangan yang lebih besar dalam sektor ETF,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Eq8 Umar Alhadad berkata ETF bercirikan wakaf baharu itu dihasilkan untuk mencapai pertumbuhan modal dan pengagihan pendapatan yang stabil dengan melabur dalam kepelbagaian portfolio yang mematuhi prinsip Syariah.

Selaras dengan ciri produk wakaf yang dicadangkan, beliau berkata sebahagian daripada pendapatan yang diraih akan diagihkan kepada sektor seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, pemerkasaan ekonomi dan pemeliharaan atau pembangunan alam sekitar.

“Pendekatan pelaburan dua impak kami memastikan pelabur berupaya meraih keuntungan pada masa sama, melaksanakan perbezaan yang signifikan dalam komuniti di samping mencapai matlamat kewangan mereka,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Penurunan Harga Kian Menguat

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mengalami penurunan mendadak pada hari Jumaat apabila menyusut MYR76 untuk ditutup pada harga MYR4,475. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras MYR4,560. Ia mencecah paras tertinggi intrahari pada MYR4,577 sebelum kegiatan jualan yang besar mengheretnya ke arah paras terendah sesi tersebut pada MYR4,455. Ia kemudiannya menutup dagangan berhampiran paras terendah sesi hari itu dengan corak lilin menurun yang kuat, sekali gus mengesahkan tekanan jualan mendominasi pasaran.

Pergerakan ini menyaksikan FCPO menurun ke arah paras sokongan terdekat bernilai MYR4,390. RSI berada dalam zon menurun, lalu memberikan isyarat bahawa momentum menurun adalah kukuh dan mungkin akan berlarutan. Komoditi ini sekarang diramalkan untuk menguji paras sokongan seterusnya pada MYR4,390. Kami bertindak mengekalkan bias dagangan negatif kerana sentimen menurun jelas menguasai pasaran.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei, iaitu MYR4,481. Untuk mengurangkan risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih dikekalkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan pertama sebaliknya ialah MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi sebanyak MYR4,600.