Proton Rancang Lancar Lima EV Di Bawah Jenama e.MAS

SUBANG JAYA, 12 Jun (Bernama) — Pengeluar kereta nasional, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) merancang untuk melancarkan lima model kenderaan elektrik (EV) menggunakan platform Global Modular Architecture (GMA) di bawah jenama EV yang baru dilancarkan, Proton e.MAS.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Roslan Abdullah berkata model EV pertama di bawah jenama baharu itu dijangka dilancarkan menjelang tahun 2025.

“Proton belum memutuskan garis masa (menetapkan tarikh) tetapi model pertama akan dilancarkan tidak lama lagi, ia mungkin awal 2025 atau lebih awal.

“Kami mahu memastikan penerimaan Proton EV di pasaran… dari segi volum dan model, kami akan memutuskan (untuk melancarkan lebih banyak EV) berdasarkan permintaan dan penerimaan orang ramai terhadap Proton EV,” kata Roslan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan nama dan logo jenama EV baharu Proton, e.MAS di Pusat Kecemerlangan Proton di sini hari ini.

Roslan berkata syarikat itu akan mencari harga yang sesuai untuk memasarkan Proton e.MAS EV yang akan memberi manfaat kepada orang ramai dan kerajaan.

“Selain membangunkan ekosistem automotif, kami juga diamanahkan oleh kerajaan dan pemegang saham untuk menghasilkan kereta mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia.

“Kami mendapati kebanyakan kereta EV di pasaran kini berada dalam julat melebihi RM100,000 dan kami sedang melihat julat harga sesuai untuk Proton, orang ramai dan kerajaan,” katanya.

Proton hari ini telah melancarkan jenama EV baharunya bernama e.MAS, bertujuan untuk meningkatkan mobiliti rakyat Malaysia dengan model EV baharunya yang akan datang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong dalam satu kenyataan berkata jenama e.MAS dan produknya adalah lanjutan daripada tiga nilai teras Proton iaitu Teknologi Inovatif, Kebolehpercayaan dan Antarabangsa.

“Ini adalah langkah seterusnya dalam evolusi syarikat dan pada beberapa bulan yang akan datang, kami akan membuat pengumuman baru untuk membina pengiktirafan jenama dan promosi produk menjelang pelancaran Proton e.MAS EV pertama pada Disember tahun ini,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian