Penubuhan National Fund-of-Funds Dijangka Selesai Oktober Depan – Amir Hamzah 

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) — Penubuhan National Fund-of-Funds (NFOF) kini di peringkat akhir dan dijangka selesai sepenuhnya pada Oktober 2024, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. 

Beliau berkata NFOF akan beroperasi dengan peruntukan awal atau aset di bawah pengurusan (AUM) berjumlah RM1 bilion seperti diumumkan dalam Sidang Kemuncak KL20 pada April lepas. 

“Khazanah Nasional Bhd akan menyumbang majoriti daripada jumlah pendanaan berkenaan manakala sebahagian lagi daripada dana sedia ada dalam Malaysia Venture Capital Management Bhd dan Penjana Kapital,” katanya di Dewan Negara, hari ini. 

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli mengenai status dan penjelasan mengenai NFOF daripada sudut kemampanan dan manfaat yang bakal diraih oleh pemain industri dalam kalangan bumiputera dan bukan bumiputera.

Menjelaskan selanjutnya, Amir Hamzah berkata NFOF akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pembangunan bakat tempatan yang bakal memacu inovasi dan kemajuan. 

Selain itu, NFOF juga dijangka menyumbang kepada peningkatan kadar penembusan modal teroka Malaysia daripada US$332 juta (US$1=RM4.68) pada 2023 kepada US$1.4 bilion menjelang 2030 seperti disarankan dalam Pelan Hala Tuju Modal Teroka Malaysia 2024–2030.

“Pelaburan NFOF yang fokus kepada pengurus dana tempatan akan menarik pelaburan langsung domestik. 

“NFOF juga akan menjadi rakan kongsi terhad kepada pengurus dana asing yang berminat untuk memulakan operasi di Malaysia dengan syarat mereka perlu menambah nilai kepada ekosistem tempatan dan memperuntuk sebahagian dana untuk syarikat pemula tempatan,” kata beliau. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Asia Barat Kembali Tegang, Tuntut Malaysia Tingkat Usaha Bendung Ketirisan

KUALA LUMPUR: Situasi antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang kembali tegang meningkatkan semula tekanan terhadap harga minyak serta kebimbangan berterusan terhadap rantaian bekalan dan kos sara hidup akan datang.

Penganalisis melihat kesan berpanjangan konflik akan terus memberi tekanan terhadap harga minyak, rantaian bekalan dan kos sara hidup, justeru Malaysia sebagai ekonomi terbuka yang bergantung kepada perdagangan, tenaga, import makanan tertentu dan rantaian bekalan antarabangsa kekal terdedah kepada gangguan luar.

Sehubungan itu, penganalisis berpendapat bahawa langkah sedia ada yang dilaksanakan kerajaan perlu diperkukuh dengan strategi jangka panjang yang bukan saja menangani kesan segera kenaikan kos, malah membina sistem ekonomi yang kurang bergantung kepada sumber luar.

Antara langkah utama yang dicadangkan ialah memperkemas pelaksanaan rasionalisasi subsidi supaya bantuan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan, khususnya ketika harga komoditi global terus tidak menentu.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mustazar Mansur, berkata pemberian subsidi bahan api perlu menggunakan pendekatan lebih bersasar berdasarkan keadaan kewangan sebenar rakyat, termasuk mengambil kira pendapatan boleh guna, jumlah tanggungan keluarga serta komitmen kewangan.

Beliau berkata, pendekatan itu dilihat dapat mengurangkan ketirisan apabila golongan berpendapatan tinggi tidak lagi menerima manfaat subsidi yang sama seperti kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana yang lebih terkesan dengan peningkatan kos kehidupan.

“Bagi saya, pemberian subsidi kena betul-betul bersasar. Elakkan kepada golongan maha kaya dan golongan yang berpendapatan tinggi dan mereka perlu membayar harga minyak pada harga tanpa subsidi.

“Penentuan golongan ini perlu berdasarkan kepada data atau sistem bersepadu yang mengikut pendapatan boleh guna atau pendapatan bersih selepas mengambil kira tanggungan anak-anak mereka di mana mereka berada, bekerja dan juga jumlah tanggungan dari segi liabiliti, hutang dan sebagainya,” katanya kepada BH.

Ketegangan di Asia Barat memuncak selepas serangan AS ke atas selatan Iran dan tindakan balas Tehran yang menyasarkan aset ketenteraan AS di beberapa lokasi di rantau Teluk.

Dilaporkan komando tertinggi tentera Iran mengumumkan penutupan penuh Selat Hormuz, laluan penting bagi penghantaran minyak dunia itu kepada semua kapal susulan serangan AS.

Pada sesi dagangan semalam, niaga hadapan Brent meningkat AS$1.48 atau 1.59 peratus kepada AS$94.58 setong pada 0243 GMT, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS meningkat AS$1.71 atau 1.90 peratus kepada AS$91.74.

Mengulas lanjut, Mustazar yang juga Timbalan Pengarah Eksekutif (Pengurusan Fasiliti dan Digital), Pusat Pengurusan Penjanaan UKM berkata, kerajaan disaran mempercepatkan peralihan kepada sumber tenaga alternatif seperti kenderaan elektrik (EV), tenaga solar serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Beliau berkata, langkah menyediakan insentif cukai, rebat atau kemudahan pembiayaan kepada rakyat yang beralih kepada penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) dilihat mampu mengurangkan kebergantungan kepada petrol dan diesel dalam tempoh panjang.

Katanya, selain membantu isi rumah mengawal perbelanjaan tenaga, peralihan itu juga dapat memperkukuh agenda kelestarian negara serta mengurangkan risiko kejutan harga minyak global terhadap ekonomi domestik.

“Penggunaan tenaga solar di rumah dan tempat kerja, selain penggalakan penggunaan pengangkutan awam, boleh menjadi antara pilihan praktikal untuk rakyat mengurangkan kos harian mereka,” katanya.

Bagi industri pula, Mustazar mencadangkan supaya kerajaan mengadakan rundingan bersama pemain industri bagi mencari sumber alternatif bahan mentah dari negara yang kurang terkesan akibat konflik geopolitik.

Beliau berkata, pendekatan meja bulat antara kerajaan dan industri boleh membantu mengenal pasti penyelesaian lebih cepat sebelum tekanan kos merebak kepada pengguna akhir.

Katanya, sektor industri dan perniagaan perlu diberi perhatian kerana peningkatan kos bahan mentah, logistik dan tenaga boleh memberi kesan besar kepada operasi syarikat.

“Sekiranya tekanan kos berterusan tanpa intervensi, syarikat mungkin terpaksa mengurangkan operasi bagi mengekalkan kelangsungan perniagaan, sekali gus memberi risiko kepada peluang pekerjaan rakyat,” katanya.

— Berita Harian