Sarawak Bakal Jadi Pemain Metanol Global Dengan Pelancaran Kompleks Pengeluaran Bernilai RM7 Bilion

BINTULU, 22 Julai (Bernama) — Sarawak bakal menjadi pemain utama pasaran metanol global dengan pelancaran Kompleks Metanol Sarawak Petchem bernilai RM7 bilion di Tanjung Kidurong, di sini, hari ini.  

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata projek itu merupakan satu lagi pelaburan utama di negeri ini yang berfungsi sebagai pemangkin untuk meningkatkan lagi pembangunan ekonomi, pertumbuhan mampan dan keterangkuman sosial. 

“Dengan pencapaian ini, kita boleh berbangga bahawa Sarawak akan menjadi salah satu pengeluar metanol global, yang mampu mengeluarkan sehingga 1.75 juta tan metrik setahun,” katanya pada pelancaran kompleks itu, di sini, hari ini.

Beliau berkata projek metanol itu merupakan satu daripada enam projek pemangkin yang dikenal pasti untuk meningkatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Sarawak dengan tambahan RM34 bilion menjelang 2030.

“Saya menantikan projek besar lain yang boleh memantapkan sektor pembuatan kami seperti projek H2ornbill dan H2biscus di Bintulu. Saya menaruh harapan tinggi agar kedua-dua projek ini dapat direalisasikan sebelum 2030,” katanya.

Abang Johari berkata projek loji metanol menyediakan platform untuk membangunkan tenaga kerja mahir sambil mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Menurutnya, kepulangan tenaga kerja anak Sarawak dari luar negara dan Semenanjung Malaysia untuk menyertai Sarawak Petchem menunjukkan bahawa permintaan untuk pekerja berkemahiran tinggi akan terus menjadi keperluan mendesak dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Pendidikan dan pembangunan modal insan adalah komponen penting dalam meningkatkan kecekapan pekerja dan membantu ekonomi meningkatkan rantaian nilai. Sehubungan itu, saya ingin menyeru tenaga kerja kita di luar negara untuk kembali dan terlibat secara aktif dalam usaha ‘pembinaan negara’ ini,” katanya.

Beliau berkata kesan riak ekonomi akan dirasai merentas pelbagai sektor, memupuk daya tahan dan kemakmuran ekonomi selaras dengan aspirasi untuk mencapai Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita yang tinggi.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama