Pengeluaran Sawit Malaysia Dijangka Lepasi 19 Juta Tan Pada Tahun Depan – Penganalisis

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) — Pengeluaran sawit Malaysia dijangka melepasi 19 juta tan pada 2025 sekiranya fenomena La Nina yang kuat melanda, kata seorang penganalisis.

Penganalisis kanan Fastmarket Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata pengeluaran sawit kini berada dalam kitaran tinggi dan berkemungkinan memuncak antara Ogos dan Oktober tahun ini, mengekalkan harga di bawah tekanan.

“Harga niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal tidak berubah antara RM3,700 dan RM3,900 satu tan berikutan pengeluaran akan menjadi pemacu utama harga sepanjang tahun ini,” kata Sathia pada Forum Minyak Sawit Malaysia Timur di Kuching, Khamis.

Dalam kertas kerjanya “Palm & Laurics Market Outlook”, beliau berkata eksport mungkin lebih rendah pada Ogos dan September dan meningkat semula pada Oktober, yang ditentukan oleh daya saing harga, ringgit yang lebih kukuh dan dasar domestik China.

Mengulas mengenai pasaran MSM Malaysia dari Januari hingga Ogos tahun ini, beliau berkata komoditi itu menunjukkan peningkatan pengeluaran yang mengagumkan, walaupun ia tidak sekata. Eksport meningkat tetapi bukan ke China, katanya.

Beliau berkata tiada gangguan akibat cuaca tetapi beberapa ladang melaporkan pengeluaran yang lebih rendah susulan fenomena El Nino, di samping levi dan cukai yang tinggi di Indonesia memberi manfaat kepada Malaysia.

Minyak sawit juga memulihkan daya saingnya berbanding minyak soya, katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Penurunan Harga Kian Menguat

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mengalami penurunan mendadak pada hari Jumaat apabila menyusut MYR76 untuk ditutup pada harga MYR4,475. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras MYR4,560. Ia mencecah paras tertinggi intrahari pada MYR4,577 sebelum kegiatan jualan yang besar mengheretnya ke arah paras terendah sesi tersebut pada MYR4,455. Ia kemudiannya menutup dagangan berhampiran paras terendah sesi hari itu dengan corak lilin menurun yang kuat, sekali gus mengesahkan tekanan jualan mendominasi pasaran.

Pergerakan ini menyaksikan FCPO menurun ke arah paras sokongan terdekat bernilai MYR4,390. RSI berada dalam zon menurun, lalu memberikan isyarat bahawa momentum menurun adalah kukuh dan mungkin akan berlarutan. Komoditi ini sekarang diramalkan untuk menguji paras sokongan seterusnya pada MYR4,390. Kami bertindak mengekalkan bias dagangan negatif kerana sentimen menurun jelas menguasai pasaran.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei, iaitu MYR4,481. Untuk mengurangkan risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih dikekalkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan pertama sebaliknya ialah MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi sebanyak MYR4,600.