AIA Public Takaful Umum Lebihan Agihan Tertinggi Berjumlah RM70.7 Juta


KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) — AIA Public Takaful Bhd mengumumkan lebihan pengagihan sebanyak RM70.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023, melibatkan kira-kira 467,000 pemegang sijil.

Syarikat itu berkata lebihan daripada Dana Risiko Peserta (PRF) mewakili peningkatan 63 peratus berbanding tahun sebelumnya dan merupakan lebihan tertinggi yang diagihkan sejak pengagihan pertama syarikat pada 2014.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Elmie Aman Najas berkata lebihan agihan itu mencerminkan nilai unik Takaful, dengan manfaat tersebut bukan sahaja diterima oleh pihak menuntut, malah bukan pihak menuntut, yang menerima bahagian lebihan mereka dengan saksama dan berkadar.

“Pelanggan yang tidak membuat tuntutan mendapat manfaat daripada lebihan ini sebagai hasil langsung daripada konsistensi mereka dalam mengekalkan caruman mereka dan memastikan sijil mereka aktif,” katanya.

Elmie berkata langkah ini mempamerkan nilai memupuk tingkah laku kewangan yang positif dalam kalangan pelanggan, seterusnya menggalakkan keselamatan kewangan yang lebih besar dan faedah yang dikongsi dalam komuniti Takaful.

Menurut syarikat itu, pelanggan yang menyertai pelan AIA Public Takaful terpilih juga mempunyai pilihan untuk mendermakan lebihan yang layak mereka terima kepada badan amal, yang selaras dengan prinsip Takaful iaitu bantuan dan sokongan bersama.

Untuk tahun kewangan 2023, lebih 10,000 pelanggan memilih untuk menyalurkan lebihan mereka, berjumlah RM2.2 juta, kepada Dana Amal Penyala Harapan AIA Public Takaful.

Lebihan Takaful ialah ciri unik yang ditentukan dan diisytiharkan oleh pengendali Takaful, hasil daripada PRF selepas menolak semua tuntutan yang perlu dibayar, rizab berkanun, dan keperluan modal kesolvenan.

AIA Public Takaful berkata lebihan itu diagihkan setiap tahun, dikongsi secara berkadar dalam kalangan peserta yang layak berdasarkan sumbangan, jumlah perlindungan dan tempoh sijil mereka, dengan syarat sijil mereka kekal berkuat kuasa dan tiada tuntutan dibuat sepanjang tahun kewangan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kenapa Ejen Insurans & Takaful Banyak Sangat ‘Award’?

Pernah tak anda tengah sedap melayan TikTok atau Instagram Reels, tiba-tiba lalu video rakan anda yang bergelar ejen insurans atau takaful? Video bukan biasa-biasa ya. Siap ada suntingan transisi slow-motion, berjalan penuh gaya atas permaidani merah pakai tuxedo atau gaun labuh, pegang trofi berkilat sebesar lengan dan diiringi muzik latar belakang jenis yang menaikkan bulu roma.

Bagi orang luar, situasi ini kadangkala menimbulkan persoalan: “Eh, bulan lepas rasa dah menang award, bulan ni ada award lagi? Bukan ke syarikat atau agensi mereka sendiri yang buat anugerah tu?”

Jangan salah faham. Di sebalik budaya yang nampak seperti “puji diri sendiri” atau acah-acah selebriti ini, sebenarnya ada strategi psikologi perniagaan yang sangat mendalam. Jom kita bedah kenapa industri ini dipenuhi dengan anugerah yang luar biasa.

1. Produk ‘Ghaib’ yang Sukar Dijual

Tidak seperti ejen hartanah yang menjual rumah, atau peniaga gajet yang menjual barang yang boleh disentuh, penasihat kewangan dalam industri insurans dan takaful berdepan dengan cabaran yang jauh lebih getir. Mereka sebenarnya sedang menjual satu produk yang bersifat intangible iaitu janji, ketenangan minda (peace of mind) dan perlindungan risiko masa hadapan.

  • Manusia secara psikologinya berat membelanjakan wang untuk sesuatu yang mereka harap tidak akan guna (seperti musibah atau kematian).
  • Disebabkan cabaran jualan (rejection rate) yang sangat tinggi, tahap tekanan dalam industri ini amat luar biasa. Anugerah yang kerap inilah yang menjadi ‘talian hayat’ untuk mengekalkan momentum dan membakar semangat mereka.

2. Budaya ‘Self-Reward’ untuk Menggantikan Gaji Tetap

Berbeza dengan pekerja makan gaji di sektor korporat biasa, majoriti ejen insurans dan takaful beroperasi atas dasar komisen penuh. Di sebalik gaya hidup mewah yang sering ditonjolkan, realitinya mereka tidak mempunyai jaringan keselamatan (safety net) seperti pekerja biasa:

Tiada Slip Gaji Tetap: Pendapatan mereka pada bulan itu adalah cerminan terus kepada usaha dan jualan mereka pada bulan tersebut. Jika tiada jualan, maka tiada lah pendapatan.

Tiada Bonus Tahunan Automatik: Pekerja makan gaji biasanya menanti bonus hujung tahun berdasarkan prestasi syarikat. Bagi ejen, ‘bonus’ mereka perlulah diusahakan sendiri melalui pencapaian KPI jualan tertentu yang telah ditetapkan.

Tiada Kenaikan Pangkat Tradisional: Dalam struktur pejabat biasa, anda bekerja keras untuk naik pangkat daripada Eksekutif ke Pengurus berdasarkan kekosongan jawatan. Dalam industri ini, kenaikan pangkat (contohnya menjadi Group Agency Manager) ditentukan sepenuhnya oleh berapa ramai ejen baru yang mereka bawa masuk dan berapa besar jumlah jualan kumpulan.

Memandangkan agensi mereka beroperasi seperti sebuah perniagaan sendiri, mereka mencipta sistem ganjaran dalaman untuk menghargai usaha setiap ejen, dari sekecil-kecil pencapaian bulanan sehinggalah anugerah global seperti MDRT (Million Dollar Round Table).

3. Pemasaran Media Sosial (Personal Branding)

Mungkin ada yang memandang sinis apabila melihat ejen memuat naik video berjalan di permaidani merah dengan suntingan video video ala selebriti, diiringi muzik latar yang penuh dramatik, serta berkongsi ucapan motivasi yang panjang lebar. Namun, dalam dunia perniagaan moden, ini bukan sekadar suka-suka tetapi adalah strategi penjenamaan diri (personal branding).

Dalam industri kewangan, prinsip asasnya mudah: “Orang tidak membeli produk, orang membeli siapa penjualnya.” Di sinilah mengapa elemen video gempak dan ucapan motivasi itu mainkan peranan besar.

Apabila seorang ejen menonjolkan diri mereka menerima anugerah, secara tidak langsung ia memberi isyarat kepada bakal pelanggan bahawa: “Aku ejen yang aktif, berprestasi tinggi, dan tak akan ‘hilang’ bila korang nak buat tuntutan (claim) nanti.” Video gempak itu adalah marketing tool untuk menarik pelanggan dan juga rekrut baru.


Budaya bersorak, memberi ucapan motivasi dan meraikan satu sama lain mungkin kelihatan agak ‘over-the-top’ bagi orang luar. Namun bagi warga industri kewangan, itulah bahan api yang memastikan mereka kekal bertahan dalam industri yang penuh dengan penolakan demi mencari rezeki.

Sama ada kita suka atau tidak dengan pendekatan pemasaran mereka, satu perkara yang pasti: strategi psikologi ini terbukti berkesan memacu industri ini untuk terus berkembang saban tahun.

Bagaimana pula dengan anda? Adakah anugerah seseorang ejen itu penting bagi anda sebelum mengambil polisi takaful?