Taobao Lancar Antara Muka Bahasa Inggeris Beta Pertama Untuk Rakyat Malaysia

Bertujuan mengatasi halangan bahasa dan membolehkan lebih ramai penduduk tempatan mengakses pelbagai tawaran terus daripada Taobao

Kuala Lumpur, 12 September 2024 – Taobao Malaysia hari ini mengumumkan pelancaran antara muka bahasa Inggeris betanya untuk pengalaman beli-belah yang lebih mesra pengguna dan mudah diakses. Antara muka baharu ini dibangunkan sebagai respons kepada permintaan yang semakin meningkat daripada pelanggan yang mahukan pilihan dalam bahasa Inggeris, seterusnya menangani keperluan pengguna tempatan yang mencari kepelbagaian produk dan pengalaman beli-belah yang unik, sekali gus membuka pintu kepada khalayak yang lebih luas.

Malaysia merupakan pasaran pertama bagi Taobao untuk memperkenalkan tawaran baharu ini bersama-sama dengan negara jiran, Singapura. Dikuasakan oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) yang canggih, semua terjemahan di platform adalah automatik serta sokongan pelanggan dalam kedua-dua bahasa Inggeris dan Cina tersedia dalam aplikasi untuk memastikan komunikasi yang cekap antara pengguna dengan platform. Dengan menawarkan penerangan produk yang terperinci dalam bahasa Inggeris, anggaran penukaran harga dalam Ringgit Malaysia (RM), serta antara muka pengguna yang lebih mudah yang memenuhi tabiat pengguna Malaysia, Taobao berhasrat untuk menjadikan pengalaman beli-belah global lebih lancar dan menyeronokkan.

“Dengan pelancaran antara muka beta bahasa Inggeris Taobao ini, kami berasa teruja untuk menyediakan platform yang memenuhi keperluan pelbagai pelanggan Malaysia. Inisiatif ini didorong oleh permintaan kukuh yang kami perhatikan daripada pengguna tempatan, dan kami percaya usaha ini akan meningkatkan pengalaman beli-belah mereka dengan meminimumkan halangan bahasa. Kami komited untuk terus menambah baik antara muka bahasa Inggeris beta ini berdasarkan maklum balas pelanggan untuk memastikannya memenuhi keperluan pengguna yang sentiasa berkembang,” kata Jess Lew, Pengurus Negara bagi Tmall Taobao World Malaysia.

Platform Taobao menampilkan infrastruktur pembayaran dan logistik yang mantap dari awal hingga akhir yang menawarkan pengalaman beli-belah yang lancar dan boleh dipercayai. Untuk pembeli di Malaysia, platform ini menyokong pelbagai kaedah pembayaran yang dikuasakan oleh Antom seperti kad debit/kredit, dompet elektronik, perbankan dalam talian, dan pilihan ansuran kad kredit, sekali gus membolehkan pengguna melengkapkan transaksi dengan mudah. Di samping itu, rangkaian logistik Taobao yang cekap disokong oleh Cainiao menjamin penghantaran yang tepat pada masanya dan menawarkan pilihan penjejakan pesanan untuk memastikan pelanggan sentiasa memperoleh maklumat mengenai status pesanan mereka.

Menurut Indeks Kecekapan Bahasa Inggeris EF (EF EPI) 2023*, Malaysia menduduki tempat ketiga di Asia untuk kecekapan bahasa Inggeris yang tinggi dengan lebih 20 juta rakyat Malaysia yang mahir dalam bahasa Inggeris, selepas Singapura dan Filipina. Statistik ini menekankan potensi besar bagi Taobao untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada keperluan pengguna yang bertutur dalam bahasa Inggeris.

Jianqiu Ye, Pengurus Besar Tmall Taobao World menambah, “Di Tmall Taobao World, matlamat kami adalah untuk mencipta platform beli-belah yang inklusif, yang memecahkan sempadan geografi dan menyediakan pengalaman pengguna yang luar biasa. Antara muka bahasa Inggeris beta Taobao merupakan bukti dedikasi kami untuk memenuhi keperluan pelanggan global kami yang pelbagai. Kami percaya bahawa pelancaran ini akan membuka peluang baharu kepada pembeli Malaysia untuk meneroka dan menikmati kepelbagaian produk yang terdapat di Taobao.”

Bersempena dengan pelancaran ini, rakyat Malaysia boleh membeli-belah menerusi aplikasi
Taobao untuk menikmati manfaat yang berikut untuk masa yang terhad:

  • Penghantaran udara percuma untuk pembelian item fesyen melebihi RMB199.
    Tawaran ini bertujuan menggalakkan pelanggan meneroka trend fesyen terkini melalui aplikasi Taobao dengan menyediakan penghantaran udara yang cepat dan percuma dalam tempoh 5 hingga 7 hari bekerja*.
  • Faedah Pengguna Baharu bernilai RMB65.
    Pengguna baharu boleh menikmati baucar beli-belah seluruh platform bernilai RMB20 yang boleh digunakan dengan perbelanjaan minimum RMB150, baucar yuran penghantaran antarabangsa RMB30, serta baucar yuran perkhidmatan bernilai RMB15.
  • Pulangan percuma untuk pesanan pertama.
    Item yang dibeli dengan label “Pulangan Tempatan” atau “Pulangan Percuma” boleh dipulangkan ke gudang tempatan Taobao dalam tempoh 15 hari dari tarikh penerimaan tanpa perlu menghantar semula ke China. Penghantaran pulangan adalah percuma untuk pulangan pertama pengguna. Untuk permintaan pulangan kedua dan seterusnya, yuran penghantaran pulangan dengan perkhidmatan pengambilan ialah RMB15 untuk Malaysia Barat (Pengguna di Malaysia Timur perlu sediakan barangan yang hendak dipulangkan ke alamat yang ditetapkan).
  • Khidmat Pelanggan Dwibahasa.
    Sokongan khidmat pelanggan dalam bahasa Inggeris dan Cina tersedia melalui aplikasi Taobao dari 9 pagi hingga 9 malam, Isnin hingga Ahad. Taobao Malaysia komited untuk sentiasa menambah baik pengalaman pengguna berdasarkan maklum balas dan keperluan pelanggan untuk memastikan jenama ini sentiasa menawarkan pengalaman beli-belah yang terbaik untuk semua rakyat Malaysia. Pengguna antara muka beta bahasa Inggeris digalakkan untuk mengemukakan maklum balas mereka melalui aplikasi bagi membantu Taobao menambah baik perkhidmatannya secara berterusan.

Aplikasi Taobao yang dilengkapi antara muka bahasa Inggeris kini tersedia untuk dimuat turun secara PERCUMA di Apple App Store dan Google Play Store. Untuk maklumat lanjut mengenai promosi jualan di platform, sila nantikan kemas kini di saluran media sosial Facebook Taobao Malaysia, Instagram, dan TikTok, atau layari aplikasi Taobao.


Nota: Tawaran promosi di atas tertakluk pada terma dan syarat.

Previous ArticleNext Article

I-Berhad Catat Prestasi Q1 Yang Berdaya Tahan Seiring Momentum Strategi AI-Living Meningkat

KUALA LUMPUR: I-Berhad (IBHD 4251) (“Kumpulan”) memulakan FY2026 dengan asas yang kukuh, mencatatkan pendapatan yang berdaya tahan sambil meneruskan peralihan strategiknya ke arah platform ekosistem bandar bersepadu yang dipacu AI.

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (“Q1 FY2026”), Kumpulan merekodkan hasil sekitar RM44.0 juta dan keuntungan sebelum cukai (“PBT”) sebanyak RM12.7 juta, mewakili peningkatan berbanding RM12.4 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Keputusan ini mencerminkan bukan sahaja disiplin operasi, tetapi juga perubahan berterusan dalam kualiti pendapatan, disokong oleh pengoptimuman margin, pengukuhan asas pendapatan berulang serta integrasi kecerdasan secara progresif merentasi ekosistemnya.

“Kami melihat perubahan struktur dalam cara hartanah ditakrif dan dinilai. Ia bukan lagi sekadar mengenai ruang fizikal, tetapi bagaimana persekitaran berfungsi sebagai platform untuk perkhidmatan, data dan sistem pintar. Fokus kami di i-City adalah membina ekosistem di mana AI dan robotik disepadukan dalam kehidupan harian, bukan sebagai satu ciri, tetapi sebagai lapisan operasi,” kata Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong.

Daripada Pemaju Hartanah kepada Platform Ekosistem AI

Prestasi I-Berhad menyerlahkan evolusi strategik yang sedang berlaku di i-City, ibu negeri Selangor — daripada bandar digital yang dibina atas kesalinghubungan kepada ekosistem AI hidup di mana kecerdasan disepadukan dalam persekitaran harian.

Transformasi ini berteraskan dua struktur platform:
· AI World Development, yang mengintegrasikan AI World Experience Centre (AIWEC) dan AI Living untuk membawa robotik dan sistem pintar daripada persekitaran dunia sebenar ke dalam kehidupan harian.
· Aset pendapatan berulang, yang menyediakan kestabilan, keterlihatan pendapatan dan asas untuk pengoptimuman modal jangka panjang.

Daripada menjadikan AI sekadar ciri tambahan, Kumpulan meletakkannya sebagai lapisan operasi teras merentasi hartanah, hospitaliti dan perkhidmatan bandar.

Peningkatan Keuntungan Walaupun Hasil Peralihan

Sepanjang suku tersebut, segmen Pembangunan Hartanah Kumpulan memasuki fasa pasca penyiapan susulan penyerahan berjaya BeCentral Residences.

Walaupun hasil menyederhana kepada RM10.5 juta, PBT meningkat 21% kepada RM5.6 juta, didorong oleh pembangunan margin tinggi seperti 8 Premier dan Twenty8, pengoptimuman kos, keuntungan variation order dan inisiatif penambahbaikan margin.

Ini mencerminkan peralihan yang disengajakan daripada pertumbuhan berasaskan volum kepada pendapatan berkualiti tinggi yang meningkatkan margin, dengan baki saluran GDV sekitar RM5 bilion menyediakan keterlihatan jangka panjang.

Kekuatan Pendapatan Berulang Menjadi Asas Kestabilan

Segmen Pelaburan Hartanah terus menyediakan asas pendapatan yang stabil dengan mencatatkan PBT sebanyak RM6.7 juta.

Prestasi disokong oleh kadar penghunian 95% di Mercu Maybank Corporate Tower, penghunian penuh aset pusat data Kumpulan dan prestasi kukuh di Central i-City Mall (~97% kadar penghunian).

Ini mengukuhkan strategi Kumpulan untuk membina portfolio berdaya tahan yang menjana pendapatan dalam ekosistem bersepadu, mengurangkan kebergantungan terhadap kitaran pembangunan sambil meningkatkan kebolehramalan pendapatan.

Skala dan kematangan aset ini juga meletakkan Kumpulan dalam kedudukan untuk membuka nilai dan inisiatif kitar semula modal pada masa depan.

Segmen Leisure Berkembang Menjadi Tapak Ujian AI

Walaupun segmen Leisure & Hospitality mencatatkan PBT lebih rendah disebabkan normalisasi bermusim, ia terus memainkan peranan strategik melebihi sumbangan kewangan.

Aset seperti AI World Experience Centre kini semakin berfungsi sebagai persekitaran dunia sebenar untuk pelaksanaan dan ujian AI serta pemangkin kepada pelancongan dan penglibatan pengunjung sambil menjana data interaksi dan tingkah laku pengguna secara masa nyata.

Ini meletakkan i-City bukan sekadar sebagai destinasi, tetapi sebagai ekosistem hidup di mana aplikasi AI boleh dialami, diperhalusi dan diperluaskan.

AI Living: Membina Fasa Pertumbuhan Seterusnya

Melangkah ke hadapan, Kumpulan mempercepatkan pelaksanaan AI Living, satu konsep yang mentakrif semula hartanah kediaman sebagai sebahagian daripada ekosistem pintar. Berbeza dengan pembangunan konvensional, AI Living direka sebagai persekitaran AI-native dan bukannya kediaman yang diubah suai, serta serasi dengan robotik domestik sebagai penghuni berfungsi.

Ini akan disokong oleh model Robotics-as-a-Service (RaaS) bagi mengurangkan halangan penggunaan. Pendekatan ini selaras dengan trend struktur termasuk populasi menua, kekangan tenaga kerja dan peningkatan peranan automasi dalam kehidupan harian.

Dengan mengintegrasikan seni bina, infrastruktur digital dan perkhidmatan pintar, I-Berhad meletakkan pembangunannya untuk kebolehsuaian jangka panjang dan bukannya keusangan jangka pendek.

Perubahan Struktur dalam Penciptaan Nilai

Apabila pasaran hartanah Malaysia berkembang, nilai kini semakin ditentukan bukan sahaja oleh lokasi, tetapi bagaimana pembangunan berfungsi sebagai ekosistem bersepadu. Strategi I-Berhad mencerminkan perubahan ini di mana hartanah tidak lagi dilihat sebagai aset statik, tetapi sebagai infrastruktur untuk perkhidmatan, data dan sistem pintar.

Strategi I-Berhad di i-City selaras dengan peralihan ini, mengintegrasikan infrastruktur kediaman, komersial, hospitaliti dan digital ke dalam persekitaran yang direka untuk menyokong cara hidup, bekerja dan berinteraksi setiap hari. Dalam konteks ini, inisiatif seperti AI World dan AI Living bukanlah pembangunan terpencil, tetapi komponen utama pendekatan platform yang lebih luas terhadap pembangunan bandar.

Dengan asas pendapatan yang pelbagai, pendapatan berulang yang kukuh dan pelan hala tuju dipacu AI yang jelas, I-Berhad kini meletakkan dirinya melangkaui pembangunan hartanah tradisional ke arah membina persekitaran pintar bersepadu yang direka untuk relevan jangka panjang. Ketika AI dan robotik semakin membentuk cara manusia hidup dan berinteraksi, fokus Kumpulan terhadap pembangunan ekosistem meletakkan i-City di barisan hadapan perubahan struktur ini.

MENGENAI I-BERHAD

I-Berhad (“I-Berhad”) ialah pemaju hartanah tersenarai di Pasaran Utama dan perancang induk i-City di ibu negeri Selangor, Bandar Digital No.1 Malaysia. Sejak penubuhannya, Kumpulan telah mengubah i-City menjadi bandar pintar bersepadu sepenuhnya yang menampilkan komponen kediaman, komersial, leisure dan hospitaliti. Pembangunan utamanya termasuk BeCentral Serviced Residences, DoubleTree by Hilton i-City, dan i-City Finance Avenue yang baru dilancarkan, sebuah hab perniagaan dan kewangan utama dalam ultrapolis bandar tersebut.

Disokong oleh baki nilai pembangunan kasar (“GDV”) sekitar RM5 bilion dan portfolio hartanah pelaburan yang semakin berkembang, I-Berhad kini meneruskan fasa pertumbuhan seterusnya melalui AI World, presint bandar pertama Malaysia yang dipacu AI, serta pelaksanaan Robotics-as-a-Service (“RaaS”) merentasi asas asetnya, sekali gus menekankan komitmennya terhadap inovasi, kemampanan dan penciptaan nilai jangka panjang.

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.i-bhd.com/