Skim Tanaman Semula Sawit Cecah RM45 Juta, Meliputi 6,724 Hektar – MPOB

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) — Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0) yang diperkenalkan oleh kerajaan pada awal tahun ini, menerima sejumlah 2,384 permohonan yang meliputi kawasan seluas 6,723.88 hektar setakat ini.

Inisiatif menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Bank Pertanian Malaysia Bhd (Agrobank) itu menawarkan kemudahan skim geran padanan dengan jumlah bayaran balik kepada Agrobank adalah 50 peratus daripada pembiayaan.

Dalam kenyataannya, MPOB berkata setakat 13 Sept, 2024, hampir separuh daripada peruntukan dana itu telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan RM45.25 juta.

Ketua Pengarah MPOB Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata keperluan modal yang mencukupi adalah penting bagi menampung usaha penanaman semula, termasuk anak benih selain penyediaan dan penyelenggaraan ladang sehingga pokok sawit mula mengeluarkan hasil pada tahun keempat.

“Pekebun kecil sawit sering bergelut untuk mendapatkan dana awal yang mencukupi untuk penanaman semula. Inisiatif TSPKS 2.0 ini memberi sokongan kewangan diperlukan bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan,” katanya.

Usaha itu menawarkan bantuan kewangan kepada pekebun kecil bagi tujuan penanaman semula pokok sawit dan menggantikan ladang yang tidak lagi produktif.

Ahmad Parveez berkata skim itu menawarkan pembiayaan sebanyak RM14,000 sehektar untuk pekebun kecil bebas di Semenanjung Malaysia dan RM18,000 sehektar bagi Sabah dan Sarawak dengan tempoh pembiayaan selama 12 tahun.

Bayaran balik pinjaman bermula pada bulan ke-49 daripada tarikh pinjaman dikeluarkan.

Selain itu, beliau berkata menerusi tinjauan pada Jun 2024, MPOB telah mengenal pasti sekurang-kurangnya 71,130 hektar pokok sawit berumur lebih 25 tahun di ladang-ladang pekebun kecil dan kawasan seluas 479,526 hektar di seluruh negara.

“Sebagai maklum balas terhadap peningkatan permintaan bagi minyak sawit lestari, industri itu di Malaysia telah mendapat manfaat daripada sekim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang diwajibkan ke atas semua pekebun kecil dan penggiat industri sejak Januari 2020.

“Inisiatif ini bertujuan merancakkan semula produktiviti kalangan pekebun kecil yang menyumbang kepada pengeluaran minyak sawit negara.

“Penanaman semula dengan varieti elit seperti Clonal Palm Series 3 (CPS3) dan Palm Series 1.1 (PS1.1) yang mengeluarkan hasil minyak lebih tinggi selain tumbuh pada kadar lebih perlahan, tidak hanya meningkatkan pendapatan namun turut menambah kecekapan kos dan penuaian,” katanya.

Dalam Program Pemindahan Teknologi Kelapa Sawit MPOB (TOT MPOB) 2024 pada Julai lepas, MPOB memperkenalkan varieti Clonal Palm Series 4 (CPS4) yang boleh menghasilkan minyak sawit sehingga 50.8 kilogram setahun berbanding sekitar 46 kilogram daripada varieti Tenera.

CPS4 menghasilkan pendebungaan jantan (MI) lebih tinggi dengan 13 tandan MI setiap pokok setahun berbanding 9.8 MI daripada varieti klon dan Tenera lain.

Selain TSPKS 2.0, Ahmaad Parveez berkata MPOB turut menawarkan skim bantuan kewangan lain seperti Skim Pembiayaan Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS), Skim Insentif Integrasi Ternakan Dengan Sawit (ITe) dan Skim Insentif Integrasi Tanaman Dengan Sawit (ITa) yang bertujuan mengurangkan jurang kewangan dihadapi oleh pekebun kecil.

“Setakat Ogos 2024, MPOB telah menerima sebanyak 250 permohonan IPPKS dengan sejumlah RM1.127 juta diluluskan bagi tujuan pembelian input pertanian seperti baja, racun rumpai, cecair kawalan perosak, jentera ringan dan penyelenggaraan infrastruktur yang meliputi kawasan ladang pekebun kecil seluas 494.32 hektar.

“Bagi skim ITa dan ITe, sebanyak 519 projek integrasi tanaman merangkumi pisang, nanas, betik, jagung, tembikai, serai dan cendawan telah diluluskan bagi ITa manakala 1,228 projek lain pula diluluskan bagi ITe untuk pekebun kecil yang menyertai penternakan ayam khususnya dengan ayam dan itik,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Penurunan Harga Kian Menguat

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mengalami penurunan mendadak pada hari Jumaat apabila menyusut MYR76 untuk ditutup pada harga MYR4,475. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras MYR4,560. Ia mencecah paras tertinggi intrahari pada MYR4,577 sebelum kegiatan jualan yang besar mengheretnya ke arah paras terendah sesi tersebut pada MYR4,455. Ia kemudiannya menutup dagangan berhampiran paras terendah sesi hari itu dengan corak lilin menurun yang kuat, sekali gus mengesahkan tekanan jualan mendominasi pasaran.

Pergerakan ini menyaksikan FCPO menurun ke arah paras sokongan terdekat bernilai MYR4,390. RSI berada dalam zon menurun, lalu memberikan isyarat bahawa momentum menurun adalah kukuh dan mungkin akan berlarutan. Komoditi ini sekarang diramalkan untuk menguji paras sokongan seterusnya pada MYR4,390. Kami bertindak mengekalkan bias dagangan negatif kerana sentimen menurun jelas menguasai pasaran.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei, iaitu MYR4,481. Untuk mengurangkan risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih dikekalkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan pertama sebaliknya ialah MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi sebanyak MYR4,600.