Insentif Zon Kewangan Khas Forest City Dijangka Tarik Modal Antarabangsa – Penganalisis


KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) — Pakej insentif bagi Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City (FC) dijangka dapat menarik modal antarabangsa terutamanya daripada individu bernilai tinggi ke wilayah itu. 

RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) berkata hasrat kerajaan untuk memulihkan FC adalah jelas, sambil menambah pakej insentif itu juga dijangka menarik minat syarikat pengurusan aset tempatan dan institusi kewangan.

“Kami difahamkan bahawa sudah ada beberapa institusi kewangan berpangkalan di Singapura menunjukkan minat terhadap SFZ, sementara menunggu garis panduan rasmi dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

RHB IB berkata jika ekosistem (peraturan dan infrastruktur) kukuh, sasaran menjadikan FC sebagai ‘family offices’ (pejabat keluarga) adalah wajar memandangkan kedekatannya dengan Singapura, yang merupakan hab pejabat keluarga utama di rantau ini.

“Dari semasa ke semasa, kami percaya akan ada keperluan tambahan untuk lebih banyak ruang pejabat dalam FC dan hartanah kediaman sedia ada di sana akan diduduki secara beransur-ansur.

“Selain daripada persekitaran makroekonomi yang kondusif (kadar faedah stabil, pertumbuhan ekonomi yang lebih baik, ringgit yang lebih kukuh), insentif ekonomi kerajaan bagi zon khas dan kemasukan pelaburan dijangka menyokong sentimen pasaran bagi saham hartanah,” katanya.

Pada Jumaat minggu lepas, kerajaan mengumumkan insentif cukai sifar dan insentif lain untuk FC SFZ – menawarkan pemulihan yang sangat diperlukan oleh bandar tersebut.

Sementara itu, dalam satu nota penyelidikan berasingan, Hong Leong Investment Bank Bhd berkata potensi pertumbuhan pesat pejabat keluarga di Malaysia seharusnya memberi rangsangan positif kepada purata dagangan harian Bursa dalam jangka masa panjang.

Bank pelaburan itu berkata insentif cukai sifar peratus untuk pejabat keluarga dalam FC SFZ yang dijangka dilaksanakan pada suku pertama 2025 akan menjadi yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Sebelum ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kadar cukai sifar peratus akan diberikan kepada pejabat keluarga selama 10 tahun dan memerlukan aset minimum di bawah pengurusan sebanyak RM30 juta.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA