Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS, Cecah Semula Paras 4.19

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) — Ringgit mencecah kembali paras RM4.19 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika dibuka pada Selasa, dipacu oleh Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia yang lebih rendah daripada jangkaan serta pengurangan kadar faedah Rizab Persekutuan AS sebanyak 50 mata asas.

Paras sokongan serta-merta ringgit kini dijangka pada RM4.07.

Pada pukul 8 pagi, mata wang tempatan didagangkan pada 4.1995/2055 berbanding dolar AS daripada 4.2000/2060 ketika ditutup Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dijangka kekal disokong dengan baik hari ini apabila data IHP yang dikeluarkan semalam menunjukkan kadar inflasi mereda kepada 1.9 peratus.

Beliau menjelaskan perkara itu menunjukkan inflasi telah stabil.

“Kadar inflasi stabil ketika aktiviti ekonomi di Malaysia terus berkembang dengan baik.

“Ini akan memberi dorongan kepada Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan pendirian dasar monetari semasa, yang disifatkan menyokong pertumbuhan,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata keadaan itu adalah positif untuk ringgit kerana perbezaan antara kadar faedah AS dan Malaysia akan mengecil selepas ini.

Sementara itu, ringgit didagangkan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan susut berbanding euro kepada 4.6661/6727 daripada 4.6645/6712 ketika ditutup semalam, dan turun berbanding pound British kepada 5.6059/6139 dari 5.5805/5885.

Ringgit juga rendah berbanding yen Jepun kepada 2.9253/9298 dari 2.9238/9282.

Ringgit diniagakan stabil berbanding mata wang negara ASEAN.

Unit domestik turun berbanding baht Thai kepada 12.7439/7695 daripada 12.7203/7451 ketika ditutup Isnin, dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.2532/2581 daripada 3.2503/2552.

Ringgit stabil berbanding peso Filipina pada 7.50/7.52 sejak Isnin, dan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 276.1/276.7.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA