Lebih 2 Juta Ahli Aktif  KWSP Telah Capai Simpanan Asas – MOF


KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) — Seramai 2.65 juta atau 36.2 peratus daripada 7.33 juta ahli aktif  formal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur 18 hingga 55 tahun telah mencapai simpanan asas mengikut umur setakat 30 Okt, 2024, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Kementerian itu memaklumkan jumlah tersebut adalah perbandingan daripada 2.21 juta atau 30.4 peratus daripada 7.25 juta ahli aktif formal pada Disember 2022.

 Katanya, ketidakcukupan simpanan persaraan adalah disebabkan beberapa faktor seperti struktur gaji yang rendah, umur yang layak melakukan pengeluaran penuh iaitu 55 tahun adalah tidak selaras dengan umur persaraan Malaysia.

“Tambahan pula, caruman yang tidak konsisten serta kadar celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia yang rendah menyebabkan kurang kesedaran terhadap kepentingan perancangan kewangan dan persaraan turut menyumbang kepada ketidakcukupan simpanan tersebut,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen hari ini.

MOF itu menjawab soalan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong) mengenai unjuran persediaan rakyat Malaysia menghadapi kemampuan kewangan menjelang usia persaraan.

Menurut kementerian itu lagi, simpanan asas ialah jumlah simpanan dalam Akaun Persaraan yang ditetapkan KWSP bagi membolehkan ahli memperoleh simpanan sekurang-kurangnya RM240,000 pada umur 55 tahun.

Simpanas asas ini membolehkan ahli menggunakan jumlah minimum sebanyak RM1,000 setiap bulan pada tahun pertama persaraan, namun kesan gandaan dividen tahunan membolehkan nilai pengeluaran pendapatan persaraan bulanan bertambah dari tahun ke tahun.

“Kesan daripada gandaan dividen tahunan tersebut, jumlah pengeluaran bulanan dianggarkan boleh meningkat sehingga RM2,728 pada umur 75 tahun berdasarkan andaian jangkaan purata hayat penduduk Malaysia.

“Oleh itu, purata pengeluaran bulanan untuk keseluruhan tempoh dari 55 tahun sehingga 75 tahun (selama 20 tahun) dianggarkan sebanyak RM1,697 sebulan,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Google Tubuh Entiti Tempatan Di Malaysia: Implikasi Terhadap WHT di Malaysia

Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.

Apa perubahan yang bakal berlaku?

Antara perubahan utama yang diumumkan:

1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan

Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.

2. SST 8% dikenakan

SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.

3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia

Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.

Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?

Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.

Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.

Mengapa royalti?

Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).

Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.

Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.

Apa implikasinya kepada Malaysia?

Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:

  1. Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
  2. Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
  3. Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.

Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?

Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:

  1. Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
  2. Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.

Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.

Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.