Harga Minyak Sawit Diunjur Antara RM4,000 Hingga RM5,000 Satu Tan Tahun Depan – CPOPC

JAKARTA, 6 Dis (Bernama) — Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) mengunjurkan harga minyak sawit berada antara RM4,000 hingga RM5,000 satu tan tahun depan, didorong oleh pengeluaran yang mendatar di pasaran utama, khususnya Indonesia dan Malaysia .

Timbalan Setiausaha Agung Datuk Nageeb Wahab berkata permintaan global terhadap minyak sawit juga meningkat.

“Apabila permintaan global untuk minyak sawit meningkat dan pada masa sama pengeluaran mendatar, ini berkemungkinan mengakibatkan kekurangan bekalan, sekali gus memacu harga menjadi lebih tinggi,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Beliau berkata paras harga semasa sekitar RM5,000 satu tan mungkin bersifat sementara, sebahagian besarnya dipengaruhi oleh bencana banjir yang berterusan di Malaysia, yang telah menyokong sentimen pasaran yang kukuh.

Pengeluaran mendatar, ditambah dengan ladang yang semakin tua, cuaca tidak menentu dan peluasan terhad bagi kawasan ladang baharu, dijangka menjejaskan bekalan global, seterusnya melonjakkan harga, katanya.

Mengenai keanggotaan CPOPC, Nageeb berkata majlis itu dianggotai Malaysia, Indonesia, Honduras dan Papua New Guinea sebagai ahli penuh pada masa ini manakala Colombia, Ghana, Nigeria dan Republik Demokratik Congo pula anggota pemerhati.

Usaha sedang dilaksanakan untuk membawa Thailand, pengeluar minyak sawit ketiga terbesar di dunia, ke dalam majlis itu, katanya.

Beliau berkata jika berjaya, kalangan negara anggota akan mengawal 93 hingga 95 peratus pengeluaran minyak sawit global, sekali gus memperkukuh pengaruh mereka dalam pasaran.

“Kami juga akan mempunyai suara yang lebih lantang,” katanya.

CPOPC, ditubuhkan pada 21 Nov, 2015, ialah organisasi antara kerajaan yang khusus untuk menggalakkan kerjasama dalam kalangan negara pengeluar minyak sawit.

— BERNAMA

Boleh juga buka dan trade FCPO dengan akaun Webull, rujuk Tutorial Buka Akaun Trading Dengan Webull, Beli Saham Bursa Malaysia, AS & Derivatif

Previous ArticleNext Article

FCPO: Kembali Ke Fasa Pengukuhan

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO ini menurun MYR9 semasa sesi dagangan lalu untuk ditutup pada harga MYR4,597. Pada hari Jumaat, komoditi ini memulakan dagangan pada paras MYR4,604. Pada awalnya, ia jatuh ke paras terendah sesi tersebut pada MYR4,575. Ia kemudiannya melantun ke paras tertinggi sesi tersebut pada MYR4,608 dan menutup dagangan pada MYR4,597. Di samping pergerakan RSI ke bawah, penutupan dagangan terkini yang menurun menunjukkan momentum menurun kembali menguat.

Komoditi ini mungkin akan melanjutkan fasa koreksi harga dan menguji paras sokongan semula pada MYR4,390. Sementara itu, garisan SMA 50 hari masih bergerak ke paras lebih rendah, lantas mengukuhkan keadaan pasaran menurun. Sekiranya komoditi ini mencatat pergerakan menaik, paras MYR4,700 akan menahan harga daripada menembusi paras berkenaan. Selagi FCPO terus berada di bawah paras ambang MYR4,700, kami tetap akan berpegang pada bias dagangan negatif.

Para pedagang disarankan untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei (MYR4,481). Untuk menangani risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama kini berada pada MYR4,390 dan diikuti oleh paras sokongan lebih rendah pada MYR4,250. Paras rintangan pertama pula ialah MYR4,700 yang diikuti oleh paras MYR4,900.