Rizab Antarabangsa BNM Berjumlah US$116.2 Bilion Pada Akhir 2024


KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) — Rizab antarabangsa Malaysia meningkat tahun ke tahun kepada US$116.2 bilion (US$1=RM4.48) pada 31 Dis 2024 daripada US$113.5 bilion pada 29 Dis 2023, menurut Bank Negara Malaysia (BNM). 

Rizab antarabangsa bank pusat berjumlah US$118.1 bilion pada 13 Dis 2024.

Paras rizab ini telah mengambil kira perubahan suku tahunan bagi penilaian semula pertukaran asing, menurut BNM dalam kenyataan hari ini.

Katanya paras rizab ini memadai untuk membiayai 5.0 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

Komponen utama rizab tersebut merangkumi rizab mata wang asing (US$103.7 bilion), paras rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (US$1.2 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (US$5.7 bilion), emas (US$3.3 bilion) dan aset rizab lain (US$2.3 bilion).

Jumlah aset sebanyak RM621.56 bilion terdiri daripada emas dan pertukaran asing serta rizab lain termasuk SDR (RM520.16 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.81 billion), pinjaman dan pendahuluan (RM26.31 bilion), tanah dan bangunan (RM4.60 bilion) dan aset lain (RM57.69 bilion).

Menurut bank pusat, jumlah modal dan liabiliti berjumlah RM621.56 bilion terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM189.98 bilion), mata wang dalam edaran (RM170.76 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM131.92 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM5.23 bilion), deposit lain (RM79.87 bilion), kertas Bank Negara (RM12.43 bilion), peruntukan SDR (RM28.18 bilion) dan liabiliti lain (RM3.08 bilion).

 — BERNAMA

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

BMI Unjur Pertumbuhan Pinjaman Akan Perlahan Pada Separuh Kedua 2026

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — BMI, sebuah unit Fitch Solutions, menjangkakan pertumbuhan pinjaman akan perlahan pada separuh kedua 2026, memandangkan momentum yang lebih kukuh daripada jangkaan setakat ini.

Susulan itu, firma penyelidikan itu menyemak semula unjuran pertumbuhan pinjaman Malaysia kepada 5.0 peratus menjelang akhir 2026, berbanding 4.6 peratus sebelum ini.

Dalam satu kenyataan, ia memaklumkan bahawa pertumbuhan pinjaman bank meningkat sejak beberapa bulan lepas, daripada 4.7 peratus pada Januari kepada 5.7 peratus pada Mei.

Menurut BMI, pertumbuhan ekonomi Malaysia yang perlahan akan menjejaskan pertumbuhan kredit bagi beberapa suku tahun akan datang, dengan mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar menyusut kepada 4.3 peratus pada 2026 daripada 5.2 peratus pada 2025, ia akan berada di paras bawah unjuran semakan kerajaan sebanyak 4.0-5.0 peratus.

Pada masa sama, konflik berterusan antara Amerika Syarikat dan Iran menimbulkan risiko penurunan terhadap pandangan (unjuran) ini.

“Pasukan global kami baru-baru ini menyemak semula unjuran mereka untuk pertumbuhan global kepada 2.4 peratus pada 2026, berbanding 2.8 peratus sebelum ini.

“Sehubungan itu, kami mengingatkan bahawa kelembapan pertumbuhan dalam rakan dagang utama Malaysia boleh mengatasi daya tahan permintaan domestik, sektor pembinaan akan menerima kesan paling teruk,” menurut BMI.

Bagaimanapun, menurut firma penyelidikan itu, bagi Malaysia, kelembapan dalam pertumbuhan kredit mungkin bukan satu perkembangan yang negatif sepenuhnya, terutamanya untuk isi rumah Malaysia yang merangkumi 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman.

Data daripada Bank of International Settlements menunjukkan kredit kepada isi rumah berada pada paras 69.8 peratus daripada KDNK pada suku keempat 2025, manakala nisbah khidmat hutang mencecah paras tertinggi dalam tempoh empat tahun iaitu 15.5 peratus setakat suku keempat 2025, menurut BMI.

Sementara itu, pinjaman isi rumah dijangka terus perlahan pada 2026, disokong oleh jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus sehingga 2027, sekali gus membayangkan kadar pinjaman akan kekal tinggi untuk beberapa suku tahun kelak.

“Dalam persekitaran ini, kami percaya risiko kestabilan kewangan kekal rendah. Selain itu, BNM mengumumkan kemudahan bantuan kestabilan bernilai RM5 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai persediaan menghadapi kemungkinan konflik di Asia Barat akan membawa kepada lonjakan ‘pinjaman lapuk’ (pinjaman tidak berbayar) dalam kalangan bank tempatan.

“Bagaimanapun, buat masa ini, kebanyakan petunjuk menunjukkan sektor perbankan kekal berada dalam keadaan yang sihat,” menurut kenyataan itu.

Setakat suku pertama 2026, nisbah modal agregat sistem perbankan berada pada paras 18.1 peratus – jauh lebih tinggi daripada syarat minimum kawal selia sebanyak 10.5 peratus (8.0 peratus daripada jumlah nisbah modal dan 2.5 peratus penampan modal).

“Walaupun nisbah Ekuiti Biasa Tahap 1 dan nisbah Modal Tahap 1 menyusut sedikit pada 2025, ia kekal berada di atas keperluan Basel III, masing-masing ditetapkan pada 4.5 peratus dan 6.0 peratus,” menurut BMI.

— BERNAMA