Pelaburan Dalam Sapura Energy Oleh MDH Untuk Bayar Vendor Tempatan – PNB


KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) — Pelaburan oleh Malaysia Development Holdings Sdn Bhd (MDH) dalam Sapura Energy Bhd (SEB) akan digunakan secara eksklusif untuk membayar pembekal (vendor) tempatan, tanpa memberi manfaat kepada mana-mana pemegang saham SEB atau pemiutang kewangan sedia ada, menurut Permodalan Nasional Bhd (PNB).

Sebagai pemegang saham utama SEB sedia ada, PNB menjelaskan pembiayaan itu penting untuk kelangsungan kewangan penyedia perkhidmatan Malaysia dalam ekosistem minyak dan gas memandangkan SEB mempunyai lebih 2,000 vendor, kebanyakannya adalah PKS serta menggaji kira-kira 59,000 pekerja teras dalam industri minyak dan gas.

PNB memaklumkan SEB adalah penyedia perkhidmatan kritikal untuk industri minyak dan gas Malaysia, dan pelaburan itu menyokong perniagaan tempatan serta mengekalkan integriti rantaian bekalan.

Memelihara SEB dan ekosistem minyak dan gas yang lebih luas adalah penting untuk kesinambungan projek yang menyumbang kepada hasil dan jaminan tenaga negara, malah inisiatif itu memastikan kestabilan dan kemajuan keseluruhan rantaian nilai minyak dan gas Malaysia, menurutnya.

“Tanpa SEB dan vendor tempatan, kerja tersebut perlu disumberluarkan kepada penyedia asing dan bukan Malaysia, mengakibatkan pembayaran mengalir keluar dari Malaysia. Pelaburan ini akan memastikan kerja minyak dan gas negara akan terus dilakukan oleh rakyat Malaysia, memberi manfaat kepada PNK (Pendapatan Negara Kasar) Malaysia sebanyak RM1.1 bilion dan memberi kesan positif kepada kadar pertukaran mata wang Malaysia,” tambah pengurus dana itu.

Menurut PNB pelaburan itu penting dalam memudahkan penyelesaian salah satu langkah penstrukturan hutang terbesar di Malaysia, melibatkan beberapa bank terbesar.

“Pelaburan ini akan membantu mengelakkan pembubaran SEB, yang akan mengakibatkan penjualan aset minyak dan gas strategik negara secara lelongan, di dalam dan luar negara.

“Pelaburan dilakukan selaras dengan amalan terbaik penstrukturan global. Pelaburan oleh MDH akan dilakukan selepas pemiutang institusi kewangan SEB bersetuju dengan potongan berkesan yang ketara serta potongan tidak langsung akibat kehilangan nilai daripada penukaran hutang kepada saham pada premium yang tinggi,” jelas PNB.

Selain itu, pemegang saham SEB sedia ada akan mengalami pencairan yang ketara daripada penukaran saham di bawah Skim Penstrukturan Hutang, tambahnya.

“Sebagai sebahagian daripada skim penstrukturan, SEB telah menjalankan proses ketekunan wajar undang-undang dan kewangan yang komprehensif serta semakan perniagaan yang komprehensif oleh pakar bebas, termasuk semakan kawalan dalaman dan pengurusan risiko yang menyeluruh,” menurut PNB.

PNB menjelaskan pelaburan itu adalah konsisten dengan yang negara lain telah lakukan untuk memelihara industri strategik mereka.

 Pelaburan itu adalah sama seperti yang negara lain telah lakukan untuk memudahkan penstrukturan pemain industri kritikal mereka, tambahnya.

“Contohnya termasuk pelaburan kerajaan Singapura dalam penstrukturan semula Sembcorp melalui Temasek serta pelaburan Korea Selatan dalam penstrukturan semula Daewoo Shipbuilding,” menurut PNB.

Pengurus dana itu memaklumkan pelaburan dalam saham pinjaman boleh tebus boleh tukar (RCLS) SEB menjana pembayaran keuntungan tetap kepada MDH dan boleh ditebus dengan opsyen untuk menikmati kenaikan melalui penukaran kepada saham sekiranya harga saham SEB meningkat pada masa hadapan.

“Pelaburan oleh MDH akan membuka jalan untuk penyelesaian usaha penstrukturan kewangannya yang akan membawa kepada SEB mendapatkan semula kedudukan kewangan yang kukuh dan pemulihan.

“Syarikat tersebut komited untuk membalas kepercayaan ini dengan terus melaksanakan rancangan perniagaan dan penstrukturan syarikat, memberi tumpuan kepada penciptaan nilai jangka panjang dan ketahanan operasi serta memainkan peranan berterusan sebagai pemangkin untuk industri perkhidmatan minyak dan gas tempatan,” tambahnya.

PNB yakin pengurusan baharu SEB akan terus melaksanakan perniagaan sedia ada dan rancangan penstrukturan semula syarikat, di samping memberikan tumpuan kepada penciptaan nilai jangka panjang dan daya tahan operasi.

Semalam, SEB memperoleh pelaburan RM1.1 bilion menerusi langganan RCLS pada nilai nominal oleh MDH.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kajian Segmen Pasaran SC Perkukuh Rangka Kerja Pasaran Awam

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan Garis Panduan Ekuiti yang disemak semula serta Kertas Respons, memperkenalkan penambahbaikan bersasar terhadap rangka kerja pasaran utama.

Inisiatif ini bertujuan meningkatkan akses kepada penyenaraian awam bagi penerbit, di samping memperjelas peranan serta memperkukuh pembezaan antara setiap segmen pasaran seperti berikut:

  • Pasaran Utama  – Pasaran utama bagi syarikat lebih besar dan dikenali
  • Pasaran ACE        – Pasaran bagi syarikat kecil dan sederhana yang berfungsi sebagai laluan peralihan ke Pasaran Utama

Penambahbaikan ini adalah susulan proses rundingan awam yang telah selesai  pada Disember 2025 di bawah kajian segmentasi pasaran, dengan mengambil kira maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan.

Cadangan yang diterima pakai bagi Pasaran Utama akan berkuat kuasa pada 3 Jun 2026 melalui Garis Panduan Ekuiti yang disemak semula.

Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata penambahbaikan ini mencerminkan komitmen berterusan SC terhadap pengawalseliaan yang bersesuaian dengan tujuan (fit-for-purpose) — seimbang, memudah cara serta responsif terhadap  evolusi model perniagaan.

“Usaha ini menyokong inisiatif lebih luas SC dalam meningkatkan kecekapan kawal selia dan kecemerlangan tadbir urus seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030,” katanya.

Penambahbaikan utama termasuk:

  • Pasaran Utama: Keperluan keuntungan yang lebih tinggi, kualiti pelaporan kewangan yang diperkukuh, penambahan fleksibiliti dalam penilaian aliran tunai operasi serta peluasan kelayakan bagi penyenaraian berasaskan infrastruktur.
  • Pasaran ACE: Diperkukuh sebagai pasaran berasaskan penaja (sponsor-driven), dengan keperluan rekod prestasi minimum dua tahun selepas penyenaraian sebelum boleh dipindahkan ke Pasaran Utama, pemansuhan pengecualian terhadap penajaan dan moratorium, serta pengenalan keperluan peruntukan pegangan saham awam minimum.

Dato’ Faiz menambah, “Secara keseluruhannya, segmentasi yang lebih jelas ini memperkukuh pembezaan antara lapisan pasaran, meningkatkan kualiti penyenaraian serta menyediakan laluan peralihan yang lebih tersusun bagi syarikat untuk berkembang daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama.”

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman berikut: