Rafizi Ramli Letak Jawatan Menteri Ekonomi, Berkuat Kuasa 17 Jun 2025

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) — Datuk Seri Rafizi Ramli meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun, 2025.

Rafizi menerusi satu kenyataan berkata beliau telah menghantar surat peletakan jawatan dari Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Peletakan jawatan ini akan berkuat kuasa dari 17 Jun 2025. Bermula dari hari ini, saya akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun 2025,” katanya.

Rafizi berkata beliau telah menjalankan amanah terakhirnya sebagai Menteri Ekonomi dengan penghasilan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang telah dimuktamadkan dan bakal dibentangkan pada sidang Parlimen seterusnya.

Menurutnya, RMK13 telah digubal untuk memberi penekanan kepada reformasi pendidikan lebih menyeluruh, termasuk beberapa reformasi struktur yang melibatkan Kementerian Pendidikan.

“Saya berharap Jemaah Menteri tetap mengekalkan beberapa reformasi berani yang melibatkan Kementerian Pendidikan dalam RMK13, walaupun saya tidak lagi berada dalam Jemaah Menteri,” katanya.

Rafizi berkata beliau menyertai politik untuk membudayakan politik baharu yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat.

Katanya, kekalahan dalam pemilihan PKR baru-baru ini bermakna beliau tidak lagi mempunyai mandat daripada parti untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan.

“Seperti mana amalan di negara-negara yang menitikberatkan prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang mengambil tempat di dalam kerajaan.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan dan kakitangan Kementerian Ekonomi yang telah memberi dukungan penuh kepada saya sepanjang saya di sini dan saya telah melihat sendiri kecekapan dan kemampuan sebahagian besar penjawat awam di sini, yang berupaya merangka dasar dan disusuli dengan kerangka program yang berkesan,” katanya.

— BERNAMA

Ramai sangat give up dalam saham. Kawan-kawan kami pun ramai dah give up.

Tapi kenapa give up?

Sebab kita sibuk mencari rahsia, teknik, indikator dan terlalu cepat nak kaya.

Bila dah rugi, mulalah salahkan cikgu, mentor, sifu yang ajar kita.

Hidup ni tak perlu complicated sangat.

Dan tak perlu pun tengok saham ni setiap masa. Yang penting kita tahu caranya dan aplikasikan dengan betul.

Kami suka kongsikan kaedah Swing ini sebab:

  • Kita tak perlu melekat di screen
  • Kita boleh bekerja seperti biasa
  • Kurang risiko untuk rugi
  • Set siap-siap bila nak jual saham tu
  • Kurang stress

Insya-Allah berbaloi……
Sesi baharu BAKAL dibuka!! Pra-daftar dahulu untuk dapat diskaun Early-Bird dan jadi terawal yang dapat info.

Previous ArticleNext Article

CIMB Securities Kekal Saranan ‘Neutral’ Ke Atas Sektor Hartanah

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) — CIMB Securities Sdn Bhd mengekalkan saran an ‘neutral’ terhadap sektor hartanah, terutamanya di Johor, susulan pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, memandangkan keputusan itu memberikan mandat yang jelas kepada pentadbiran baharu untuk memastikan kesinambungan pembangunan.

CIMB Securities dalam nota penyelidikannya hari ini memaklumkan bahawa ia termasuk pengumuman rasmi pelan tindakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pada suku keempat 2026, dengan sokongan daripada kerajaan perpaduan persekutuan.

Bank pelaburan itu juga menjangkakan pelancaran projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) Johor Bahru bernilai RM7 bilion pada separuh kedua 2026, berikutan pemberian surat hasrat kepada konsortium DOM Industries-MMC Engineering-Nylex- BTS Group Holdings.

Bagaimanapun, projek infrastruktur rentas sempadan yang lain, termasuk cadangan Laluan Link 2 Sistem Transit Rapid (RTS) Tuas-Iskandar Puteri dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, masih menunggu kejelasan dasar yang lebih lanjut.

“Walaupun kami mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor hartanah, pelan tindakan JS-SEZ yang akan datang dan permulaan Laluan Link RTS pada suku pertama 2027 akan menyokong permintaan bagi hartanah kediaman bertanah dan perindustrian di Johor, dengan kesan limpahan faedah kepada aset komersial dan runcit di koridor pertumbuhan utama,” menurut nota penyelidikan itu.

Nilai tanah industri utama dilaporkan telah meningkat dua kali ganda kepada RM150 bagi setiap kaki persegi daripada RM 70-RM80 bagi setiap kaki persegi pada 2024, didorong oleh permintaan berterusan berkaitan pusat data, dengan pencarian tanah semakin beralih ke luar Johor Bahru disebabkan oleh kekangan bekalan tenaga dan air.

Namun, CIMB Securities memberi amaran mengenai segmen kediaman bertingkat tinggi di Johor Bahru, di mana data suku pertama 2026 daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) menunjukkan stok sedia ada sebanyak 108,863 unit pangsapuri perkhidmatan, serta bekalan masuk dan dalam perancangan masing-masing sebanyak 41,832 dan 18,712 unit sehingga 2030/2031.

Ia meningkatkan risiko lambakan bekalan sekiranya permintaan gagal seiring dengan bekalan tambahan tersebut.

Dalam senarai analisisnya, UEM Sunrise kekal sebagai pilihan utama bagi peningkatan semula nilai tanah Johor, memandangkan simpanan tanah Iskandar Puteri yang luas dan pelan induk perindustrian Gerbang Nusajaya yang akan datang pada suku pertama
2027.

Pemaju lain yang mempunyai pendedahan ketara kepada kawasan sekitar Laluan Link R’TS termasuk Eco World, Mah Sing Sunway, SP Setia dan KSL Holdings.

Sementara itu, Perkhidmatan Tren Elektrik Kuala Lumpur-JB Sentral yang baharu telah meningkatkan ketersambungan dalam negeri dan membuka peluang pembangunan di daerah sekitar, sekali gus memberi manfaat kepada Matrix Concepts menerusi perbandaran Bandar Seri Impian miliknya di Kluang.

Dalam PRN diadakan pada 11 Julai, 2026, Barisan Nasional mengekalkan penguasaan di Johor dengan majoriti dua pertiga yang besar, selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi dipertandingkan.

BERNAMA