Dua Syarikat Jepun Cadang Labur US$1.5 Bilion Dalam Teknologi Tinggi, Kimia Di Sarawak


KUCHING, 2 Jun (Bernama) — Sarawak terus memperkukuh daya tarikannya sebagai destinasi pelaburan antarabangsa apabila dua syarikat utama dari Jepun merancang pelaburan bernilai US$1.5 bilion dalam sektor teknologi tinggi dan industri kimia di negeri ini.

TV Sarawak (TVS) dalam laporannya hari ini berkata Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan kini berada di Osaka, Jepun bagi membincangkan butiran pelaburan berkenaan.

Satu daripada projek pelaburan itu melibatkan pembinaan kemudahan pengeluaran polikristalin silikon gred semikonduktor oleh Tokuyama Corporation dari Jepun dengan kerjasama OCI Company Ltd. dari Korea Selatan dan nilai pelaburan dianggarkan sekitar US$435 juta.

“Projek ini berpotensi menjadikan Sarawak antara lima lokasi terkemuka di dunia dalam teknologi pengeluaran semikonduktor berprestasi tinggi,” kata laporan itu yang memetik kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (Mintred).

Satu lagi pelaburan yang dirancang iaitu melibatkan konsortium syarikat Jepun dalam sektor kimia dengan anggaran pelaburan US$1 bilion.

Kajian kebolehlaksanaan serta penilaian tapak telah pun dimulakan dengan kerajaan Sarawak juga memberikan komitmen untuk mempercepatkan proses kelulusan bagi memastikan keputusan pelaburan dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Kedua-dua pelaburan tersebut selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan aspek kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

“Kerajaan Sarawak sentiasa komited menyokong pelaksanaan projek pelaburan berimpak tinggi seperti ini. Kami menawarkan persekitaran perniagaan yang stabil, berdaya saing serta dilengkapi infrastruktur moden dan tenaga kerja berkemahiran tinggi,” kata Awang Tengah.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak akan memberikan sokongan penuh bagi memastikan kelancaran dan kejayaan pelaburan tersebut.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

MICCI Tekankan Kepentingan Daya Tahan, KeupayaanMenyesuaikan Diri dan Peluang Baharu Ketika Ketidaktentuan Global Membentuk Semula Landskap Perniagaan

Kuala Lumpur – Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) menekankan kepentingan daya tahan, keupayaan menyesuaikan diri serta kerjasama erat antara sektor awam dan swasta ketika perniagaan berdepan dengan persekitaran operasi global yang semakin kompleks, dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan perubahan landskap ekonomi semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Majlis Makan Tengah Hari Tahunan MICCI ke-53 yang berlangsung semalam.

Acara tersebut menampilkan ucapan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Tuan Sim Tze Tzin, yang turut menyertai sesi dialog bersama Puan Zalina Zainol, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan) di MIDA dan Puan Noor Hayati Abu Noh, Pengarah Bahagian Perancangan Strategik, Seksyen Koordinasi dan Pemantauan di MATRADE. Mereka berkongsi perspektif tentang prospek perdagangan dan pelaburan semasa, sentimen perniagaan, dan impaknya daripada konflik di Asia Barat.

Berucap pada majlis tersebut, Presiden MICCI, Christina Tee menyatakan bahawa perniagaan terpaksa mengharungi siri gangguan sepanjang dekad ini, daripada pandemik global kepada perubahan dasar perdagangan, peningkatan perlindungan perdagangan dan ketegangan geopolitik.

“Pada hari ini, konflik di Asia Barat telah mewujudkan kesan berantai terhadap pasaran global, menjejaskan harga tenaga, aliran perdagangan, keputusan pelaburan, rantaian bekalan serta kos operasi. Ia menjadi satu lagi peringatan bahawa perkembangan yang berlaku jauh dari negara kita boleh memberi kesan langsung dan ketara kepada perniagaan di Malaysia,” katanya.

Perniagaan kini sudah mula berdepan dengan gelombang pertama kesan tersebut melalui peningkatan kos logistik, kenaikan harga bahan api dan tenaga serta ketidaktentuan yang lebih besar dalam pasaran global. Namun, sebahagian daripada kesan yang lebih ketara mungkin hanya akan dirasai dalam beberapa bulan akan datang atau bahkan pada tahun hadapan.

“Perniagaan telah menyedari bahawa ketidaktentuan bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Ia kini menjadi sebahagian daripada persekitaran operasi. Daya tahan bukan lagi sekadar kelebihan daya saing, tetapi satu keperluan,” tambah beliau.

Malaysia kekal berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan perubahan dalam rantaian bekalan global, integrasi ekonomi serantau dan peningkatan minat pelabur terhadap ASEAN. Tee menambah bahawa tempoh ketidaktentuan turut boleh membuka peluang untuk penyesuaian, inovasi dan pengukuhan kerjasama antara sektor perniagaan dan pembuat dasar. “Seiring dengan ulang tahun ke-189 MICCI pada tahun ini, kami kekal komited untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai ekonomi yang kompetitif, terbuka dan berhubung secara global, di samping terus memainkan peranan sebagai jambatan yang dipercayai antara komuniti perniagaan antarabangsa dan pembuat dasar,” kata Tee