Risiko Tutup Selat Hormuz Boleh Dorong Harga Minyak Mentah Global Naik Kepada US$87-US$90 setong – Penganalisis

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) — Penganalisis mengunjurkan harga minyak mentah global meningkat antara US$87 dan US$90 setong berdasarkan kebimbangan mengenai potensi penutupan Selat Hormuz dan kerosakan terhadap infrastruktur minyak Iran susulan konflik Iran-Israel.

Harga minyak mentah Brent merosot sebanyak 0.68 peratus kepada US$75.93 setong setakat 18 Jun.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata Selat Hormuz kekal sebagai laluan laut sempit yang penting menjadi laluan kepada kira-kira 20 peratus daripada penghantaran minyak dunia.

“Harga minyak telah meningkat daripada lapan hingga 11 peratus dalam tempoh beberapa minggu ini dan pasaran bersedia untuk sebarang kemungkinan gangguan. 

“Kesan limpahan daripada konflik ini dapat dilihat dalam kos penghantaran, premium insurans dan sentimen risiko secara keseluruhan dalam pasaran komoditi.

“Buat masa ini, penghantaran minyak kekal stabil berikutan Iran masih mengeksport kira-kira dua juta tong sehari dan Selat Hormuz masih dibuka. Bagaimanapun, peniaga mengambil langkah lindung nilai berikutan jangkaan gangguan bekalan yang meningkat,” katanya kepada Bernama.

Pada peringkat global, Innes berkata impak daripada konflik tersebut terhadap ekonomi global kekal sederhana tetapi ketegangan yang meningkat dan gangguan terhadap laluan perkapalan dijangka menurunkan sedikit unjuran pertumbuhan ekonomi global.

“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dijangka menurunkan sedikit unjuran pertumbuhan globalnya jika konflik meningkat terutamanya jika terdapat kesan limpahan ke atas rantaian bekalan atau gangguan terhadap laluan perkapalan utama di Timur Tengah.

“Bagaimanapun, risiko lebih besar terletak pada kesilapan dasar, terutamanya jika bank-bank pusat secara salah menganggap inflasi yang didorong oleh tenaga sebagai jangka panjang atau jika kerajaan bertindak berlebihan dengan memberikan subsidi yang banyak,” katanya.

Beliau berkata dengan sumber tenaga yang lebih pelbagai, kecekapan yang lebih tinggi dan penggunaan kenderaan elektrik (EV) yang meningkat, ekonomi global kini kurang bergantung pada minyak berbanding sebelum ini.

“Terdapat impak global tetapi ia bersasar, tidak sekata dan sebahagian besarnya dapat diatasi. Persoalan lebih besar bukanlah sama ada harga minyak akan meningkat tetapi untuk tempoh berapa lama ia akan kekal tinggi dan sama ada geopolitik ini mengubah semula pola perdagangan tenaga dengan cara yang lebih kekal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata industri minyak dan gas telah melalui perubahan struktur terutamanya sejak 2014 apabila pengeluaran minyak syal oleh Amerika Syarikat (AS) meningkat dengan ketara, sekali gus mengubah keseimbangan bekalan minyak global.

Situasi ini telah mendorong negara-negara anggota OPEC+ untuk mula mengurangkan pengeluaran mereka pada 2016 bagi menstabilkan harga minyak.

“Tidak dinafikan, perkembangan pesat EV juga telah mengubah dinamik permintaan dalam sektor minyak dan gas. Oleh itu, dengan atau tanpa konflik Israel-Iran, prospek industri minyak dan gas adalah mencabar.

“Kebimbangan utama ialah jika konflik ini merebak dan melibatkan rantau lain serta negara-negara utama. Jika itu berlaku, tahap ketidaktentuan ekonomi akan meningkat dengan ketara dan berpotensi mengganggu aliran perdagangan,” katanya.

CIMB Securities Sdn Bhd berpendapat halangan utama atau aktiviti ketenteraan yang meningkat di Selat Hormuz boleh menyebabkan gangguan bekalan yang ketara dan kejutan besar dalam pasaran tenaga dunia.

“Walaupun pada masa ini tiada tanda-tanda tersebut, ia terus menjadi risiko utama yang perlu dipantau. Bagaimanapun, jangkaan Iran melaksanakan ancaman sedemikian kekal rendah terutamanya disebabkan ekonominya yang berdepan tekanan akibat sekatan dan keupayaan tentera lautnya yang terhad.

“Penutupan tersebut boleh menjejaskan kepentingan Iran sendiri berikutan negara itu juga bergantung pada selat tersebut untuk eksport minyaknya. Sebarang gangguan akan memudaratkan ekonominya dan menjejaskan pelanggan utama seperti China berbanding memberi sebarang manfaat,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Syarikat penyelidikan tenaga yang berpangkalan di Norway, Rystad Energy menekankan bahawa demi kepentingan semua negara Timur Tengah untuk memastikan Selat Hormuz kekal terbuka dan mengelak sebarang gangguan bekalan.

Penganalisis Kanannya, Lu Min Pang berkata walaupun kemungkinan gangguan adalah rendah berdasarkan ketegangan yang berkurangan sebelum ini, tahap keseriusan gangguan bekalan sebanyak 20 peratus akan menjadi sangat tinggi, menjadikannya wajar untuk mengambil kira risiko penghantaran dari rantau ini.

“Ia akan memberi manfaat bersama kepada AS, rakan sekutunya dan pengeksport gas asli cecair (LNG) di Timur Tengah untuk memastikan laluan perairan tersebut kekal terbuka.

“Ini akan mengelak gangguan terhadap eksport LNG Qatar dan Emiriah Arab Bersatu, yang menyumbang sebanyak 27 peratus daripada semua import LNG ke Asia dan 8.5 peratus daripada semua import ke Eropah serta mengelak lonjakan harga yang tidak mampan disebabkan kejutan bekalan,” katanya dalam kenyataan.

— BERNAMA

Nak Mula Trade FCPO?

Kami faham, pembaca yang beginner mesti ada banyak soalan.

Nak tahu strategi terbaik untuk trade FCPO? Nak dapatkan pulangan yang baik, tak kira pasaran menaik atau menurun?

Belajar dulu.

Kemudian mula dengan modal yang paling minimum. Bukan trade dulu kemudian baru belajar.

Ini bukan kelas PREVIEW. Terus belajar teknik penting untuk berdagang FCPO.
Yang penting, akan dapat ilmu dengan yuran yang berbaloi-baloi!

Klik link di bawah untuk daftar sebelum sold out 👉 👉 SAYA NAK TRADE FCPO

Previous ArticleNext Article

Samsung Bakal Pintas NVIDIA Menjadi Syarikat Paling Untung Di Dunia?

Zaman sekarang, sebut sahaja pasal AI, semua orang akan pandang kepada NVIDIA. Memang tak dinafikan, NVIDIA sekarang adalah ‘King’ dengan keuntungan mencecah $99.2 bilion berbanding Samsung yang sekadar $30.5 bilion.

Namun, penganalisis ekonomi mula nampak satu peralihan kuasa yang besar. Menjelang tahun 2027, Samsung diramal bakal memintas NVIDIA dengan unjuran keuntungan yang luar biasa:

  • Samsung: $331 Bilion (~RM1.4 Trilion)
  • NVIDIA: $329 Bilion (~RM1.39 Trilion)

Dunia sekarang tengah ‘demam’ AI. Memang betul NVIDIA yang buat cip AI (GPU), tapi ramai yang terlepas pandang satu fakta penting: Cip AI NVIDIA tak boleh berfungsi tanpa memori yang dihasilkan oleh Samsung.

Ibarat NVIDIA buat enjin Ferrari yang paling laju, tapi Samsung pula yang pegang stok minyak petrol gred tinggi. Bila permintaan AI mencanak, bekalan memori pula tak cukup, maka harga memori dijangka naik mencacak. Di situlah Samsung akan ‘makan besar’.

Selain itu, Samsung mempunyai kelebihan. Mereka bukan setakat jual cip, mereka buat telefon, skrin OLED, hingga ke perkakas rumah. Bila semua benda mula letak AI, Samsung untung di setiap penjuru. Malah, kontrak terbaharu membekalkan skrin untuk iPhone Foldable selama 3 tahun juga bakal memberi margin ‘kayangan’ kepada mereka.

Prestasi Luar Biasa Q1 2026: Rekod Sejarah Terpecah!

Bukan sekadar ramalan kosong, Samsung baru sahaja membuktikan kehebatan mereka dalam laporan suku pertama (Q1) 2026. Walaupun dunia risau dengan ketidakstabilan di Asia Barat, permintaan cip AI nampaknya jauh lebih kuat.

Berdasarkan laporan awal (preliminary earnings):

  • Untung Operasi Q1: 57.2 trilion won (~$37.9 bilion USD).
  • Lonjakan: Naik 755% berbanding tempoh yang sama tahun 2025!
  • Fakta Menarik: Keuntungan Q1 2026 ini sahaja sudah mengatasi keseluruhan keuntungan tahunan mereka bagi tahun lepas.

Pendorong utama sudah tentu ‘Semiconductor Super-Boom’. Harga DRAM dan NAND melonjak hampir 90% berbanding suku sebelum ini. Bahagian semikonduktor sahaja dianggarkan menyumbang lebih 50 trilion won kepada keuntungan syarikat.

Supaya senang faham, bayangkan komputer atau telefon pintar kita ni macam sebuah pejabat:

  • DRAM (Dynamic Random Access Memory): Ibarat MEJA. Lagi besar meja, lagi banyak kerja/app kita boleh buka serentak tanpa hang. Bila kita tutup komputer, “meja” ni akan kosong balik. Dalam dunia AI, “meja” ni kena besar gila sebab AI buat pengiraan yang sangat banyak dalam satu masa.
  • NAND (Flash Memory): Ibarat STOR. Ini tempat simpan segala gambar, video, dan dokumen kita secara kekal walaupun komputer ditutup. Semua pusat data (Data Center) dunia perlukan “stor” yang sangat besar dan laju untuk simpan data AI.

Dengan nilai pasaran yang kini melepasi $1 trilion, Samsung kini sedang memecut laju untuk memintas syarikat-syarikat yang berada jauh di atasnya dalam ranking aset dunia.

Walaupun Samsung diramal akan menjadi syarikat paling untung, mereka tetap perlu berwaspada dengan SK Hynix dan Micron yang turut berebut kontrak membekalkan memori kepada NVIDIA. Micron adalah wakil tunggal dari Amerika Syarikat dalam liga gergasi memori. Disebabkan isu politik Amerika Syarikat-China, banyak syarikat seperti Microsoft dan Google lebih selesa membeli dari Micron atas faktor keselamatan.

Apa Kesannya Kepada Pelabur Di Malaysia?

Kita sebagai pelabur, ini adalah isyarat jelas bahawa sektor teknologi belum lagi mahu ‘berehat’. Kerajaan Malaysia sekarang bersungguh-sungguh menarik pelaburan Pusat Data (Data Center) dari Microsoft, Google dan Amazon masuk ke Johor dan Selangor.

Pusat-pusat data ini memerlukan beribu-ribu rak pelayan (servers). Dalam server itu ada cip NVIDIA, dan dalam cip itu ada memori Samsung.

Rantaian bekalan ini akan memberi kesan limpahan (spillover effect) kepada syarikat-syarikat OSAT tempatan seperti:

  1. Inari Amertron: Pakar dalam pemasangan dan pengujian cip komunikasi.
  2. Malaysian Pacific Industries (MPI): Banyak terlibat dalam pembungkusan cip untuk automotif dan pusat data.

Selain itu, pelaburan besar Samsung SDI di Seremban juga membuktikan Malaysia adalah rakan strategik utama dalam ekosistem global mereka.

Kesimpulan

Adakah Samsung akan benar-benar menumbangkan NVIDIA dari takhta syarikat paling untung di dunia menjelang 2027? Berdasarkan prestasi ‘ganas’ mereka di awal 2026 ini, jawapannya nampak sangat positif.

Apapun, dalam dunia pelaburan, ini semua adalah ramalan dan unjuran data. Realitinya nanti macam mana, entahlah… harap-harap kita sebagai pelabur pun tumpang untung juga!

Sumber: Korea JoongAng Daily: Will Samsung become more profitable than Nvidia?, Investing.com: This tech company is set to overtake Nvidia as the world’s most profitable