GST Belum Sesuai Dilaksanakan Kerana Pendapatan Rakyat Masih Rendah- PM Anwar

PUTRAJAYA, 20 Jun (Bernama) — Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) masih belum sesuai dilaksanakan semula berikutan nilai ambang pendapatan rakyat masih rendah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika menegaskan perkara itu, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan tidak menolak sepenuhnya cadangan pelaksanaan semula GST yang juga sistem percukaian efisien dan telus, namun lebih mengutamakan kemampuan rakyat berikutan sistem percukaiannya memberi kesan secara menyeluruh.

“Kita tangguhkan (GST) kerana nilai (ambang) pendapatan rakyat itu terlalu rendah. Pendapat saya kerana kerana orang yang pendapatan RM2,000, walaupun diberi beberapa pengecualian pun, namun banyak yang terkena (cukai).

“Gula, beras tidak kena tetapi pembelian barang lain atau menaiki bas bagi tujuan itu secara tidak langsung (dikenakan) GST…ini bermakna ia secara menyeluruh,” kata beliau ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, di sini hari ini. 

Atas alasan itu, Anwar berkata kerajaan berpendapat pelaksanaan semula GST hanya wajar dipertimbangkan apabila purata pendapatan rakyat meningkat ke tahap lebih munasabah iaitu sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan.

“Biarlah pendapatan rakyat naik dulu…katakanlah gaji minimum RM4,000 (sebulan) dan mungkin boleh dilaksanakan pada masa itu.

“(Namun) sekarang gaji RM1,700 (dan) RM2,000 pun ada. Mungkin saya tidak bijak dalam membuat keputusan ini, tetapi niat saya adalah tidak mahu perkenalkan cukai yang memberi kesan menyusahkan rakyat bawahan… itu sahaja,” kata beliau.

Berdasarkan pandangan itu, Anwar berkata kerajaan memilih untuk melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang lebih bersasar dengan pendapatan daripadanya akan dimanfaatkan untuk meningkatkan peruntukan kepada sektor utama negara seperti pendidikan dan kesihatan.

“Ini alasan kita…kita ambil cukai ini untuk pulangkan semula kepada rakyat. Peruntukan Kementerian Pendidikan daripada RM58 bilion pada 2024 meningkat kepada RM64 bilion tahun ini.

“Begitu juga Kementerian Kesihatan daripada RM41 bilion pada tahun lepas, kita tambah RM4 bilion setahun kepada RM45 bilion” kata beliau.

Perdana Menteri menegaskan keutamaan kerajaan pada masa ini adalah untuk memperkukuh sektor-sektor kritikal dan memastikan pengurusan yang telus serta berkesan, malah sebarang keputusan dasar fiskal negara, termasuk pelaksanaan cukai, perlu dilihat dari sudut makro dan bukan sekadar kesan jangka pendek. 

Pada masa sama, beliau mengakui kelemahan kerajaan dari segi aspek komunikasi atau penyampaian dasar kepada rakyat dan menggesa semua pihak untuk memberi penjelasan lebih aktif mengenai pelaksanaan polisi bagi mengelakkan kekeliruan dan tohmahan tidak berasas.

“Saya harap rakan-rakan (dalam kerajaan juga) tolong jelaskan. Kadang-kadang kita ‘defensive’ (bertahan), kita biar sahaja orang menyerang dan kita tidak jawab.

“Kelemahan kita juga mengenai usaha menjelaskan (dasar) kerana kita mengandaikan semua orang faham,” kata Anwar.

GST diperkenalkan di Malaysia pada 1 April, 2015 yang menjadi sebahagian daripada reformasi fiskal untuk menggantikan SST dengan kadar permulaan enam peratus yang dikenakan secara menyeluruh ke atas hampir semua barangan dan perkhidmatan.

Bagaimanapun, pelaksanaan GST mendapat kritikan meluas daripada pelbagai lapisan masyarakat kerana dilihat sebagai membebankan pengguna, terutama golongan berpendapatan rendah.

Sistem percukaian itu telah dimansuhkan pada 1 Sept, 2018 dan digantikan semula dengan SST.

Pada 9 Jun lepas, kerajaan mengumumkan semakan bersasar kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025, bagi mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian tanpa membebankan rakyat secara .

Kadar Cukai Jualan kekal tidak berubah bagi barangan keperluan manakala kadar sama ada lima atau 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan tidak penting atau mengikut budi bicara.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FLUX Himpunkan Pemimpin Perniagaan Malaysia Untuk Tangani Kos Ketegaran Dalam Ekonomi Tidak Menentu

KUALA LUMPUR, 21 Mei 2026 — FLUX, platform teknologi automotif Malaysia, hari ini menghimpunkan Forum Perniagaan FLUX 2026 dengan kerjasama Malaysia German Chamber of Commerce & Industry di AICB Centre of Excellence. Bertemakan “Competing in an Uncertain Economy: The Cost of Rigidity”, perhimpunan tertutup itu bertujuan membangkitkan persoalan yang tidak dapat dielakkan: apakah sebenarnya yang diperlukan syarikat untuk berdepan ketidaktentuan global berterusan, dan di manakah kebanyakan organisasi masih gagal menyesuaikan diri dengan cukup pantas?

Menyampaikan ucaptama pembukaan bertajuk “Policy & Competitiveness in an Uncertain Economy: Capital, Talent and the Cost of Rigidity”, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata tempoh semasa secara asasnya berbeza daripada kejutan-kejutan terdahulu — Krisis Kewangan Asia 1997, Krisis Kewangan Global 2008, dan Covid-19. Apa yang membezakannya, menurut beliau, bukanlah skala satu-satu kejutan, tetapi tekanan serentak melibatkan tenaga, geopolitik, monetari dan perdagangan — serta hakisan sokongan dasar yang sebelum ini menjadi sandaran syarikat. Sistem perdagangan global berasaskan peraturan, tindakan terkoordinasi bank pusat, dan kepimpinan monetari Amerika Syarikat yang boleh dijangka tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang pasti.

Ucaptama itu menjadi asas kepada sesi panel yang menterjemahkan gambaran makro kepada realiti operasi di peringkat lapangan. Wakil kanan termasuk Jacob Lee Chor Kok dari Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), Benyamin Ismail dari AirAsia X, Ir. Shazwan Khalid dari Siemens Energy Malaysia, dan Marc Appelt dari MAN Truck & Bus Malaysia membincangkan di mana tekanan kos paling ketara dirasai, bagaimana dasar penyetempatan Malaysia dan realiti operasi saling bertentangan, serta perubahan yang telah dilakukan syarikat secara senyap dalam tempoh enam hingga dua belas bulan kebelakangan ini. Antara tema utama yang dibincangkan termasuk peningkatan semula kos tetap yang sebelum ini berjaya dikurangkan ketika Covid-19, tekanan modal kerja yang kini menjejaskan pengeluar Malaysia, dan geseran operasi berkaitan rangka kerja Employment Pass baharu sebelum ia dilaksanakan.

Forum itu diakhiri dengan perkongsian kajian kes oleh Pengasas & CEO FLUX, Aziz Ayman, yang menyatakan bahawa komitmen kos tetap jangka panjang adalah pendekatan era lama. Syarikat yang berfikiran ke hadapan pada tahun 2026 kini menuntut ketangkasan dalam struktur kos mereka. Menggunakan mobiliti korporat sebagai kajian kes sebenar, Aziz memperkenalkan FLUX sebagai model peralihan daripada kos tetap kepada fleksibel — satu cara untuk “Netflix-kan” armada korporat, dengan pertukaran atas permintaan, kos menyeluruh yang boleh diramal dan kecekapan cukai terbina dalam.

“Dalam pasaran hari ini, satu-satunya kepastian ialah perubahan — dan syarikat bertindak balas dengan menuntut fleksibiliti dalam mobiliti korporat mereka. Perniagaan yang bekerjasama dengan kami tidak membuat keputusan hari ini yang mengikat mereka untuk dua atau tiga tahun akan datang. FLUX menukar CAPEX mobiliti kepada perbelanjaan operasi supaya pelanggan boleh membesarkan, mengecilkan atau menukar armada mereka mengikut perubahan perniagaan. Syarikat yang tangkas tidak memiliki apa yang boleh mereka akses. Dalam ekonomi tidak menentu, akses berbanding pemilikan bukan lagi pilihan kewangan — ia kini satu strategi.” — Aziz Ayman, Pengasas & CEO, FLUX

Forum Perniagaan FLUX mencabar syarikat untuk kekal tangkas dalam tempoh yang ditandai pelbagai kejutan serentak. Organisasi yang paling bersedia untuk bersaing ialah mereka yang telah melakukan usaha disiplin untuk menghapuskan ketegaran daripada model operasi mereka — sebelum gangguan seterusnya memaksa persoalan tersebut.