Emas Bersinar Sebagai Aset Selamat Ketika Ketidaktentuan Dunia – MGA

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) — Permintaan global terhadap jongkong emas sebagai pelaburan selamat semakin meningkat, khususnya dalam kalangan bank pusat dan individu bernilai bersih tinggi (HNWI), menurut Persatuan Emas Malaysia (MGA).

Presiden MGA Datuk Wira Louis Ng berkata bank pusat di negara seperti China, Poland dan Kazakhstan giat meningkatkan rizab emas masing-masing untuk mempelbagaikan pegangan negara.

“Walaupun permintaan terhadap emas gred pelaburan semakin melonjak namun, kita menyaksikan segmen barang kemas emas mengalami penurunan di seluruh Asia, termasuk pasaran yang secara tradisionalnya kukuh seperti China dan India,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata harga emas antarabangsa kekal stabil pada sekitar US$3,300 satu auns, mencerminkan kenaikan sebanyak 24 peratus sejak awal tahun ini.

“Paras harga ini disokong oleh permintaan institusi yang kukuh, terutama daripada kalangan pengurus dana global yang membeli emas melalui dana dagangan bursa (ETF) bagi pihak pelanggan yang bernilai tinggi,” katanya.

Ng berkata trend itu berpunca daripada ketegangan geopolitik yang meluas — termasuk konflik di Asia Barat, perang berterusan di Ukraine, dan geseran perdagangan antara Amerika Syarikat dan China — yang menjadikan pelabur bersikap lebih berhati-hati.

“Berikutan ketidaktentuan ini, emas terus dilihat sebagai penyimpan nilai yang boleh dipercayai. Bank pusat, pelabur institusi, dan juga pelabur runcit bertindak balas sewajarnya terhadap keadaan ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui permintaan runcit terhadap barang kemas emas sedang menghadapi tekanan.

“Pasaran barang kemas runcit sedang mengalami trend menurun dan tidak menunjukkan momentum yang sama seperti emas gred pelaburan,” katanya.

Beliau menjangkakan pasaran emas kekal stabil dalam tempoh terdekat.

“Kami menjangkakan harga tidak banyak berubah dan berlegar di sekitar paras US$3,300, sementara pelabur terus memantau ketegangan global dan perkembangan ekonomi semasa,” katanya.

— BERNAMA

Terima kasih kepada anda yang menyokong kami selama ini. Hari-hari kami bersemangat nak sebarkan ilmu tentang kewangan dan pelaburan.

Kami sedar yang majoriti pembaca kami adalah anak-anak muda yang tercari-cari panduan bagaimana untuk mula melabur. Jadi buku ini sangat sesuai bagi newbie yang nak mulakan langkah pertama.

Anda ada soalan-soalan berikut yang memerlukan jawapan?

  • Ada duit tapi tak tahu nak melabur di mana?
  • Nak melabur tapi takut kena tipu dengan scammer?
  • Bagaimana nak tahu sesuatu pelaburan itu adalah patuh Syariah atau tidak?
  • Ada banyak sangat jenis pelaburan dekat luar sana, apa yang paling sesuai dengan jiwa?
  • Dalam suasana ekonomi yang tak menentu, apakah pelaburan ‘safe haven’ yang menjadi pilihan?
  • Pelaburan tanpa tunai tu macam mana?
  • Soalan-soalan lazim berkenaan pelaburan

Jika ya, maka anda perlu miliki buku Buku Malaysia Melabur : 10 Benda Kita Kena Tahu.

Buku Malaysia Melabur juga telah berada dalam senarai MPH Best 2020 dalam kategori MPH Best Malay Non-Fiction 2020.

Sesungguhnya kami bersyukur diberi peluang oleh Allah untuk berubah menjadi lebih baik dan mendapat rezeki seperti yang diidamkan. Kami doakan semoga tuan puan juga dilimpahi rezeki yang penuh keberkatan.

Boleh miliki buku ini secara online di Shopee

Previous ArticleNext Article

Harga Emas Tinggi Jejas Permintaan Terhadap Barang Kemas – Tomei

KUALA LUMPUR: Harga emas mencapai kemuncak awal tahun ini sebelum pembetulan dan kini dijangka kekal dalam lingkungan harga yang sama sehingga terdapat kepastian dalam pasaran.

Pengarah Urusan Tomei Consolidated Bhd, Datuk Ng Yih Pyng, berkata walaupun Tomei kekal positif terhadap emas dalam jangka masa panjang, harga yang tinggi menjejaskan permintaan barang kemas kerana pengguna menjadi lebih sensitif terhadap harga, manakala permintaan untuk produk pelaburan emas seperti wafer, syiling dan bar kilo telah meningkat.

“Dari segi margin, Tomei membuat jualan berasaskan nilai pasaran semasa dan tidak mengamalkan lindung nilai untuk inventorinya, selain syarikat membeli semula kuantiti emas yang setara setiap hari selepas jualan dibuat,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan ke-21 syarikat itu

Sementara itu, beliau berkata platform emas digital Tomei, GoldNow yang dilancarkan secara tidak rasmi sebelum Tahun Baru Cina telah mencatatkan pengambilan yang menggalakkan walaupun sumbangannya kekal kecil iaitu kurang daripada satu peratus daripada jumlah perolehan kumpulan.

Dalam perkembangan lain, Tomei menjangkakan bakal mencatatkan peningkatan bersih daripada satu cawangan kepada dua cawangan menjelang akhir tahun ini, memandangkan peruncit barangan kemas itu mengambil strategi perluasan yang berwaspada namun selektif di tengah-tengah persekitaran pasaran yang tidak menentu.

Yih Pyng berkata, syarikat itu kini mengendalikan 63 cawangan dan sedang berbincang dengan beberapa pusat beli-belah untuk potensi pengembangan.

Bagaimanapun, beliau berkata Tomei mungkin menangguhkan beberapa pembukaan yang dirancang dan turut mengkaji semula prestasi cawangan sedia ada.

“Kami sedang berbincang dengan beberapa pusat beli-belah mengenai pengembangan tetapi mungkin perlu menangguhkan sebahagian daripada pengembangan berikutan situasi semasa di Asia Barat.

“Kami mungkin membuka beberapa outlet dan menutup beberapa cawangan yang tidak berprestasi, namun peningkatan bersih tidak akan lebih daripada satu atau dua,” katanya.

Beliau berkata, Tomei kekal berhati-hati mengenai prospek jangka pendek, memandangkan suku kedua dan ketiga dijangka lebih perlahan susulan musim perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya telah berakhir.

Menurutnya, sentimen pasaran juga telah menjadi lebih perlahan, tetapi syarikat akan terus memantau keadaan dengan teliti dan memperkenalkan rangkaian produk baharu untuk menyokong permintaan.

Sementara itu, Pengerusi Tomei, Raja Tan Sri Aman Raja Ahmad, berkata kumpulan itu kekal fokus untuk mengekalkan nisbah hutang yang sihat dan aliran tunai kukuh dan menilai peluang perniagaan baharu dengan lebih teliti.

“Menggunakan analogi bola sepak, ini adalah fasa bertahan bukannya fasa menyerang untuk menjaringkan gol. Kami perlu memastikan nisbah hutang berada dalam keadaan baik dan aliran tunai kekal kukuh,” katanya.

-BERNAMA