SD Guthrie Lantik Mohd Haris Mohd Arshad Sebagai Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) — SD Guthrie Bhd melantik Mohd Haris Mohd Arshad, 53, sebagai timbalan pengarah urusan kumpulan berkuat kuasa 1 Sept, 2025.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata Mohd Haris sebelum ini merupakan ketua pegawai operasi kumpulan dan telah membina asas kepada model perniagaan ‘OneStream’ syarikat.

Selain itu, beliau merupakan penyokong kuat inisiatif mekanisasi, automasi dan pendigitalan industri sawit dalam industri.

Beliau menyertai Guthrie pada 2014 sebagai ketua unit perkilangan hiliran sebelum dinaikkan pangkat sebagai ketua pegawai operasi segmen hiliran pada 2017.

Mohd Haris dilantik sebagai pengarah urusan pertama apabila kumpulan itu menggabungkan keseluruhan perniagaan hiliran Guthrie di bawah Sime Darby Oils pada 2019.

Sebelum menyertai Guthrie, beliau pernah memegang jawatan kepimpinan dalam bidang perdagangan dan pemasaran global, perolehan komoditi dan pengurusan risiko komoditi di syarikat antarabangsa seperti Cargill, Nestle dan Unilever.

Mohd Haris merupakan graduan daripada University of Arizona, Amerika Syarikat dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan dan alumni Advanced Management Programme daripada Harvard Business School.

Ketika ini beliau juga memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Lembaga Persatuan Penapis Minyak Sawit Malaysia (PORAM) selain menjadi salah seorang anggota Lembaga Pemegang Amanah Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.