Pasaran Hartanah Separuh Pertama 2025 Kekal Berdaya Tahan, Transaksi Cecah RM107.68 Bilion

PUTRAJAYA, 4 Sept (Bernama) — Pasaran harta tanah negara kekal berdaya tahan pada separuh pertama 2025 dengan nilai transaksi mencecah RM 107.68 bilion.


Menurut Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2025 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), bilangan transaksi harta tanah merekodkan sebanyak 196,232 transaksi, penyusutan sebanyak 1.3 peratus berbanding tempoh yang sama 2024.

Katanya, nilai transaksi meningkat sebanyak 1.9 peratus kepada RM107.68 bilion mencerminkan kekuatan pasaran yang berterusan walaupun berdepan ketidaktentuan global.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pasaran harta tanah negara kekal berdaya tahan di bawah sokongan berterusan kerajaan melalui pelaksanaan Belanjawan 2025 yang menyediakan Skim Step Up Financing di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) sebagai jaminan kerajaan untuk menggalakkan pemilikan rumah pertama.


Beliau berkata, turut ditawarkan pelepasan cukai ke atas faedah pinjaman yang dibuat antara 1 Jan, 2025 hingga 31 Dis, 2025 bagi kediaman bernilai RM500,000 hingga RM750,000.
Selain itu, katanya, turut menyumbang kepada daya tahan pasaran hartanah negara daripada penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus.

“Inisiatif ini dijangka meningkatkan kemampuan kewangan pembeli sekali gus merangsang permintaan pasaran harta tanah terutamanya harta tanah kediaman,” katanya ketika menyempurnakan Pelancaran Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2025 dan Sistem Property Information System Malaysia (PRISM 2.0) di Hotel Le Meridien di sini, hari ini.


Sementara itu, JPPH berkata, prestasi aktiviti pembinaan bagi harta tanah kediaman dan industri terus kukuh dengan menunjukkan pertumbuhan positif di semua peringkat pembinaan.Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) menunjukkan pertumbuhan tahunan 0.7 peratus berada pada paras 227.3 mata dengan harga purata rumah RM490,376 seunit.


JPPH turut memberitahu, segmen pelancaran baharu kediaman menunjukkan prestasi sederhana, menyusut kepada 23,380 unit dengan prestasi jualan 24.0 peratus yang mencerminkan sentimen berhati-hati dalam kalangan pemaju.


“Prestasi unit pangsapuri khidmat siap dibina tidak terjual bertambah baik pada separuh pertama 2025. Bilangan dan nilai unit siap dibina tidak terjual masing-masing berkurang 8.6 peratus dan 8.1 peratus, menyusut kepada 17,883 unit bernilai RM14.43 bilion, berbanding separuh kedua 2024.


“Sebaliknya, prestasi kediaman siap dibina tidak terjual merekodkan momentum bertentangan. Unit kediaman siap dibina tidak terjual merekodkan peningkatan kepada 26,911 unit bernilai RM16.44 bilion, naik 16.3 peratus dan 17.9 peratus dalam bilangan dan nilai berbanding tempoh sebelumnya,” katanya.


Prestasi penghunian kompleks perniagaan kekal stabil dengan kadar penghunian berada pada 78.7 peratus berbanding 78.8 peratus pada tempoh sebelumnya, begitu juga prestasi segmen pejabat binaan khas milik persendirian kekal stabil dengan kadar penghunian kekal 71.7 peratus sejak separuh kedua 2024.


“Unjuran semula ekonomi negara bagi 2025 oleh Bank Negara Malaysia kepada 4.0 peratus hingga 4.8 peratus, seiring dengan perkembangan sederhana pasaran harta tanah,” kata JPPH.

Unjuran bagi separuh kedua 2025


JPPH berkata, melangkah ke separuh kedua 2025, trajektori pertumbuhan pasaran harta tanah dijangka kekal optimistik dengan pendekatan berhati-hati selain mengambil kira cabaran ekonomi global, ketidaktentuan permintaan domestik dan risiko luaran yang sukar diramal.


“Pelan pembangunan yang direncanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) turut memberi penekanan sektor harta tanah dengan sasaran membina sejuta rumah mampu milik bagi tempoh 2026 hingga 2035.


“Langkah ini dilihat sebagai usaha strategik untuk menggalakkan pemilikan rumah sendiri terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Sokongan berterusan kerajaan melalui Program Residensi Rakyat (PRR), Projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan pembangunan infrastruktur yang strategik, terus menjadi pemangkin kerancakan aktiviti pembinaan,” katanya.


Terdahulu, selaras dengan keperluan pengumpulan data yang komprehensif dan telus, JPPH mernerusi Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) memperkenalkan PRISM 2.0, sebuah ekosistem digital bersepadu yang mengaplikasikan teknologi membangun termasuk analitik data raya.


Sistem yang dibangunkan mulai 2023 ini menzahirkan penyampaian data dan maklumat yang cekap, cepat dan efisien selari dengan aspirasi ke arah Kerajaan Digital.


Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2025 dan semua penerbitan lain boleh dilayari melalui portal rasmi NAPIC di https://napic2.jpph.gov.my.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Myra Terus Mempertingkatkan Pengalaman Pemilikan Rumah di Myra Senja Melalui Kerjasama Bersama Unity Kitchen

Shah Alam, Jun 22: Myra, segmen residensi Oriental Interest Berhad (OIB), telah berganding dengan Unity Kitchen untuk menawarkan pakej kabinet dapur yang direka khas untuk setiap unit pasaran terbuka di Myra Senja di Subang 2. Ini mencerminkan usaha pihak pemaju untuk mengurangkan keperluan pengubahsuaian selepas pembelian serta memudahkan proses peralihan ke rumah baharu dengan lebih lancar.

Terdahulu, Myra telah bekerjasama dengan Panasonic Malaysia untuk melengkapkan setiap unit Myra Senja yang layak dengan pakej peralatan asas cekap tenaga yang dipilih dengan teliti, sekali gus memperluaskan ciri-ciri standard yang ditawarkan bersama pembangunan tersebut.

Inisiatif terkini ini mencerminkan arah aliran di mana pembeli rumah semakin memberi perhatian kepada kos keseluruhan pemilikan rumah serta kemudahan untuk berpindah ke rumah baharu, di mana pengubahan ruang dapur masih menjadi satu komponen yang diutamakan oleh ramai pemilik.

Menurut Akil Hassan, Ketua Bahagian Pembangunan dan Sumber Manusia Myra, pemaju mempercaya bahawa falsafah yang mengutamakan pemilik rumah perlu melangkaui proses pembelian semata-mata, dengan pemaju memainkan peranan yang lebih besar dalam membantu pembeli menyesuaikan diri dengan kediaman
baharu mereka.

Menerima kunci rumah sepatutnya menjadi permulaan untuk menikmati kediaman baharu. Namun bagi ramai pemilik rumah, ruang penting seperti dapur masih memerlukan kerja-kerja pengubahsuaian yang memakan masa dan kos sebelum benar-benar sedia digunakan.

“Dengan mengintegrasikan ciri-ciri praktikal siap dengan rumah, kami berharap ini boleh meringankan beban yang sepatutnya ditanggung sendiri oleh pemilik rumah, membolehkan keluarga berpindah masuk dengan lebih cepat. Selaras dengan ini, kami akan terus mempertimbangkan kolaborasi dengan jenama-jenama tersohor agar dapat memberikan tambahnilai yang bermakna kepada pemilik rumah,” ujarnya. Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM400 juta, Myra Senja terdiri daripad tiga menara kediaman dengan konfigurasi tiga atau empat bilik bersaiz dari 1,101kps ke 1,409kps, dengan harga dari RM658,000 hingga RM988,200. Dengan 12 unit kediaman di setiap tingkat, pembangunan berkepadatan rendah ini dibangunkan dengan susun atur yang lebih luas dan mesra keluarga bagi memberikan fleksibiliti serta ruang yang mencukupi apabila keperluan isi rumah berubah mengikut peredaran masa

Dibawah kolaborasi ini, setiap unit pasaran terbuka akan menerima pakej kabinet dapur yang terdiri dari kabinet atas dan bawah dari Unity Kitchen, permukaan kaunter batu kuartza, hud dapur, laci dengan system penutupan perlahan (soft close), manakala unit kediaman jenis T2B dipasang dengan kaunter dapur jenis “pulau” (island). Kabinet dapur di Myra Senja juga menampilkan lampu UNS LED khas dari Unity Kitchen dan juga teknologi papan anti-lipas proprietari Unity Kitchen yang disokong oleh program Care Plus yang menawarkan jaminan sehingga 10 tahun.

Menurut Erny Looi Chee En, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Unity Kitchen Sdn Bhd, kolaborasi ini mencerminkan komitmen bersama dalam menghasilkan kediaman yang memenuhi keperluan praktikal pemilik rumah.

“Pemilik rumah inginkan dapur yang menggabungkan ciri mudah digunakan, tahan lasak, serta mudah diselenggarakan. Dengan mengintegrasikan bahan berkualiti dan reka bentuk yang praktikal dari titik permulaan, kami harap boleh mencorakkan suasana dapur yang akan memberikan kepuasan berlanjutan kepada pemilik,” ujar beliau.

Sambutan pasaran terhadap Myra Senja amat menggalakkan, dengan kira-kira 60% unit di Blok B, Fasa 1 telah terjual setakat ini. Dalam pada ini, Myra sedang membuat persiapan pelancaran Blok A pada suku tahun
tiga 2026.

Pembangunan ini turut dilengkapi dengan podium berlandskap, kolam renang 25 meter, kawasan riadah bercirikan air, gelanggang badminton, bilik bacaan, dan ruang senaman terbuka untuk kemudahan harian.
Myra Senja juga menawarkan ruang perniagaan di tingkat bawah dan hotel butik untuk sekali gus mewujudkan pembangunan bercampur yang lebih dinamik bagi meningkatkan kemudahan harian untuk penghuni serta komuniti sekeliling.

Dengan kedudukan strategik di kawasan Subang 2 yang kian berkembang dan dikelilingi kawasan matang seperti Kota Damansara, Ara Damansara, Kwasa Damansara dan Elmina, selain daripada kemudahan pendidikan, peruncitan, dan kesihatan, Myra Senja mudah diakses melalui Lebuhraya DASH. Pendaftaran minat bagi Myra Senja kini dibuka, dan maklumat lanjut boleh didapati di www.myra.com.my atau @myrahomes and @_askmyra di Instagram dan Facebook